Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

2 siswa ini gerakkan usaha bantu pelajar susah yang masih tiada komputer riba

Sudah kira-kira lebih setahun para pelajar acap kali perlu melakukan Pembelajaran Dari Rumah (HBL). Namun tahukah anda, masih ramai lagi kanak-kanak yang belum ada komputer riba sendiri?

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Sudah kira-kira lebih setahun para pelajar acap kali perlu melakukan Pembelajaran Dari Rumah (HBL). Namun tahukah anda, masih ramai lagi kanak-kanak yang belum ada komputer riba sendiri?

Sebuah kumpulan bantuan kebajikan malah mendapati, di Queenstown sahaja, sehingga 40 keluarga di flat-flat sewa memerlukan komputer riba.

"Sejak beberapa minggu ini, kami mendapati lebih ramai ibu bapa meminta bantuan. Buat masa ini, kami ada antara 20 hingga 40 keluarga yang memerlukan bantuan komputer riba. Mereka adalah penduduk daripada Stirling, Mei Ling dan Kim Tian. Ini di dalam kawasan Queenstown," dedah Cik Zulayqha Zulkifli.

Beliau merupakan salah seorang penggerak Project Hills, iaitu sebuah kumpulan aktivis sosial yang aktif membantu para penduduk rumah sewa dan golongan memerlukan.

APABILA KELUARGA SUSAH PERLUKAN HINGGA 4 KOMPUTER RIBA...

Cik Zulayqha akur, memang pihak sekolah dan badan-badan bantu diri ada menghulurkan bantuan kepada keluarga-keluarga seperti ini. Tetapi ada di kalangan keluarga memerlukan itu menghadapi masalah yang cukup kompleks.

"Mereka perlu lebih daripada satu komputer riba kerana mereka ada ramai anak atau adik-beradik yang tidak mampu berkongsi satu komputer riba sahaja," kata Cik Zulayqha sambil menambah bahawa setiap keluarga kurang bernasib baik itu memerlukan sehingga empat komputer riba.

(Ihsan: Project Hills)

Bagaimanapun, para pelajar kurang bernasib baik ini tidak lagi perlu bimbang.

Dua orang mahasiswa - Siti Nur Indra Jalal, 27 tahun, dan Muhammad Afiq Sumardi, 26 tahun - sedang menggerakkan satu inisiatif dipanggil 'Tech Do Good' untuk membantu mereka mendapatkan komputer riba. Menariknya, usaha itu mereka lakukan berdua sahaja tanpa bantuan mana-mana badan lain.

WALAU CUKUP SIBUK TETAP MENGUPAYA MENERUSI TECH DO GOOD

Indra dan Afiq sebenarnya pasangan tunang dan mereka sedang melanjutkan pendidikan di peringkat sarjana muda.

(Gambar: @afiqsumardi/Instagram)

Selain sibuk dengan sekolah masing-masing, mereka juga ada kesibukan lain. Indra turut bekerja sambilan sebagai seorang penasihat kewangan sementara Afiq pula seorang teknisyen, pemain e-sukan dan adakalanya menerima projek untuk menghasilkan kandungan online.

Pada waktu lapang, Indra dan Afiq juga giat berbakti kepada masyarakat dengan badan-badan kebajikan.

Mendengar sahaja pelbagai kerja yang dua belia ini sedang lakukan serentak, sudah boleh terasa 'penat' yang mereka alami. Sungguhpun begitu, tidak ada keluhan diungkapkan dan mereka sebaliknya mengorak langkah baru - menggerakkan pula Tech Do Good.

"Semasa saya bekerja sebagai penasihat kewangan saya mendapat panggilan dari seorang ibu yang meminta bantuan untuk meminjam komputer riba. Saya berasa risau kerana ada lagi keluarga di Singapura yang tidak mempunyai komputer," kata Indra ketika ditanya BERITAmediacorp mengapa mereka memulakan usaha itu.

"Kebetulan, saya dan Afiq juga melakukan kerja-kerja sukarela dengan Project Hills. Kami dapati memang ada keperluan seperti ini," tambah beliau.

Hakikatnya, sudah ada banyak usaha serupa yang dijalankan di merata Singapura. Namun demikian, ada beberapa sebab mengapa pasangan ini mahu memulakan sendiri inisiatif sebegini.

"Kami tidak mahu terhad kepada kegiatan sedia ada. Kami ingin merebut peluang untuk lebih mendekati para pelajar yang memerlukan. Dan ternyata, selepas berbual-bual bersama mereka, mereka memang tidak tahu apa-apa tentang bantuan yang ada. Mereka sendiri tidak mempunyai peranti digital," jelas Afiq.

KELUARKAN DUIT SENDIRI, KE HULU KE HILIR

Jadi bagaimana modus operandi Tech Do Good?

Sejak 18 Mei lalu, Indra dan Afiq tampil di media sosial untuk merayu orang ramai supaya mereka mendermakan peranti digital yang tidak lagi digunakan.

Tanpa disangka-disangka, mereka menerima banyak panggilan daripada orang ramai yang sama sekali tidak dikenali. Dalam lima hari sahaja mereka berjaya mengumpul 20 komputer riba!

Ini memerlukan Indra dan Afiq ke hulu ke hilir ke merata Singapura mengetuk setiap pintu rumah penderma untuk mengambil sendiri peranti yang ingin disumbangkan.

Usaha mereka tidak terhenti di situ. Adakalanya, Indra dan Afiq perlu mengeluarkan wang dari kocek mereka sendiri.

"Bila kita dapat komputer riba itu, kita harus periksa tahap fungsinya lalu mencari peralatan seperti bateri, atau spare parts (barang gantian). Untuk memperbaiki sebuah komputer, ia boleh mengambil masa antara 15 minit sehingga beberapa minggu," kata Afiq.

Aplikasi Zoom turut dimuat turun ke dalam setiap komputer riba untuk memudahkan lagi tangan yang menerimanya nanti.

Sedang tunangnya melakukan semua itu, Indra pula menguruskan segala pertanyaan dan menghasilkan sendiri catatan-catatan merayu derma peranti elektronik yang dimuat naik ke media sosial.

INGIN BANTU HINGGA 100 KELUARGA

Indra dan Afiq merancang kini sudah mendapat sumbangan lebih 20 komputer riba. Mereka mahu mengagihkan semua peranti elektronik terkumpul itu semasa cuti sekolah bulan ini supaya kanak-kanak kurang bernasib baik mempunyai komputer riba sendiri apabila penggal sekolah baru bermula.

Antara para penerima Tech Do Good. (Gambar: Indra Jalal)

Pasangan itu kini menyimpan harapan besar untuk dapat membantu sekurang-kurangnya 100 keluarga sedemikian. Ini bagaimanapun memerlukan mereka untuk mendapatkan lebih banyak bantuan.

"Buat masa ini kami lakukan semuanya sendiri. Selepas berbual dengan rakan-rakan, kami fikir perlu mencari cara untuk memastikan usaha ini dapat diteruskan buat jangka panjang," kata Indra.

"Misalnya, pada masa akan datang kita akan tetapkan suatu tempat sebagai 'drop off point', jadi saya dan Afiq tidak perlu ke sana ke mari. Kita juga merancang untuk mendapatkan lebih ramai relawan untuk membantu memperbaiki komputer riba yang diterima. Usaha kita boleh menjadi lebih lancar kalau ini dapat dilakukan."

Bagi anda yang ingin mendermakan peranti digital kepada Indra dan Afiq, anda boleh melungsuri laman Instagram ini atau menghubungi Indra menerusi 8606 2468.

Selain komputer riba, Tech Do Good juga menerima tablet, telefon bijak dan peralatan komputer seperti papan kekunci, fon kepala dan tetikus. Yang pasti, semua pemberian itu menguntungkan golongan fakir miskin dan memerlukan. 

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan