Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

2 rumah jagaan baru akan dibuka di Bukit Batok, Bukit Panjang jelang 2020

Dua rumah jagaan yang baru, dengan sebanyak 570 katil, akan dibuka di Bukit Batok dan Bukit Panjang menjelang hujung 2020.

Anggaran Waktu Membaca:
2 rumah jagaan baru akan dibuka di Bukit Batok, Bukit Panjang jelang 2020

Bangunan Rumah Jagaan Bukit Batok yang bakal dibangunkan. (Gambar: MOH)

Diterbitkan : 16 Oct 2018 01:56PM Dikemas Kini : 16 Oct 2018 01:59PM

SINGAPURA: Dua rumah jagaan yang baru, dengan sebanyak 570 katil, akan dibuka di Bukit Batok dan Bukit Panjang menjelang hujung 2020.

Kedua-dua rumah jagaan, yang akan dikendalikan oleh Vanguard Health, akan menyediakan kemudahan-kemudahan untuk menampung para pesakit demensia, menurut Kementerian Kesihatan (MOH) dalam kenyataan medianya pada Selasa (16 Okt).

Sebagai contoh, wad-wad akan direka sedemikian rupa agar ia dapat menyediakan kemudahan-kemudahan seperti ruang tamu bagi menggalak interaksi dalam kalangan penduduk, dedah MOH.

Kedua-dua rumah jagaan akan ditempatkan dengan pusat-pusat jagaan warga tua dalam estet-estet perumahan Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB).

Ini "menawarkan banyak pilihan kepada warga tua, dari pusat jagaan siang hari hingga ke pusat jagaan penduduk dalam daerah yang sama," menurut MOH.

Rumah Jagaan Bukit Batok (BBCH) yang dijangka dibuka pada pertengahan tahun depan, akan dilengkapi dengan 220 katil, sementara pusat jagaannya pula menawarkan 60 tempat bagi jagaan siang hari.

Bagi menggalak integrasi dalam masyarakat, rumah jagaan itu akan memperkenalkan "sempadan tanpa pagar", di mana para penduduk yang tinggal di estet-estet berdekatan boleh keluar masuk rumah jagaan tersebut untuk pergi ke taman berdekatan atau sebuah sekolah yang bakal dibina di kawasan tersebut.

BBCH juga akan dilengkapi dengan sebuah plaza masyarakat yang akan menggalak interaksi antara para pengguna rumah jagaan dan pelanggan pusat jagaan warga tua dengan masyarakat di sekeliling mereka.

Rumah Jagaan Senja (SJCH) pula dijangka dibuka menjelang hujung 2020, yang akan menawarkan sebanyak 350 katil. Ia akan ditempatkan bersama dengan sebuah poliklinik dalam Kemudahan Jagaan Kesihatan Bersepadu setinggi 12 tingkat, menurut MOH, yang turut mendedahkan bahawa sebanyak 60 tempat bagi jagaan siang hari akan disediakan oleh pusat tersebut.

Bagi memenuhi permintaan untuk khidmat jagaan warga tua, MOH mendedahkan bahawa rancangannya untuk menyediakan 17,000 katil di rumah-rumah jagaan masih menepati sasarannya, dengan 6,200 tempat bagi jagaan siang hari dan 10,000 tempat jagaan di rumah bakal disediakan menjelang 2020.

Vanguard Health ditubuhkan oleh MOH dan MOH Holdings pada 2015 sebagai sebahagian daripada pelan untuk mengembangkan dan menyokong khidmat jagaan warga tua di Singapura.

Sumber : CNA/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan