Images
  • singapore boys home
    Rumah tumpangan remaja lelaki, Boys' Home. (Gambar fail: TODAY)

2 remaja yang terbabit dalam rusuhan di Boys' Home dikenakan latihan pemulihan

SINGAPURA: Dua daripada 14 remaja yang tahun lalu terbabit dalam rusuhan di rumah tumpangan remaja lelaki, Singapore Boys' Home (SBH), hari ini (12 Sep) diperintah menjalani latihan pemulihan selama setahun.

Kedua-dua remaja berusia 17 tahun itu perlu menjalani sebuah program pemulihan ketat, yang dikenakan ke atas para pesalah di bawah usia 21 tahun yang melakukan jenayah agak serius.

Antara kesalahan sekumpulan 14 remaja lelaki itu termasuk menyemburkan sabun di sepanjang koridor, memecahkan sebuah lokar menggunakan alat pemadam api dan menyerang seorang pegawai polis tambahan dengan kayu floorball.

Tiga lelaki yang bekerja di Boys' Home itu mengalami beberapa kecederaan setelah diserang manakala pegawai polis berkenaan mungkin mengalami kecederaan mata yang kekal.

Rusuhan tersebut menyebabkan kerosakan bernilai S$10,642 bagi Boys' Home, yang terletak di Jurong West dan dikendalikan oleh Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF).

Tujuh daripada remaja berkenaan, ketika itu berusia antara 14 hingga 17 tahun, didakwa di mahkamah pada September tahun lalu kerana merusuh menggunakan senjata. Nama nama kesemua remaja itu tidak dapat didedahkan kerana masih di bawah umur.

Dua daripada remaja itu adalah yang pertama dalam kalangan kumpulan berkenaan untuk dihadapkan ke mahkamah hari ini.

Remaja ketiga yang terlibat, kini berusia 18 tahun, mengaku bersalah di Mahkamah Negara bulan lalu.

Remaja itu ditetapkan untuk dihukum pada Khamis namun Timbalan Pendakwa Raya Grace Chua berkata dia diberkas sehari sebelumnya kerana melakukan kesalahan baru berkaitan dadah. Dia akan kembali menghadap mahkamah pada 10 Oktober.

Kes lagi empat remaja lain masih lagi tergantung.

MULAKAN PERTENGKARAN PALSU, SERANG 3 DEWASA

Sebelum ini, mahkamah diberitahu bahawa pada 16 September 2018, beberapa penghuni Boys' Home terjebak dalam satu pergaduhan yang kecoh dan mereka dikenakan perintah berkurung selama sehari.

Tidak berpuas hati dan marah dengan perintah berkurung itu, tujuh daripada remaja berkenaan membincangkan satu rancangan merusuh.

Salah seorang daripada mereka mencadangkan mereka menghentakkan barang-barangan di dalam bilik asrama dan menyebabkan kerosakan.

Perintah berkurung itu bagaimanapun berakhir dan mereka berkeputusan untuk tidak menjalankan rancangan tersebut.

Bagaimanapun, remaja-remaja itu meneruskan jua rancangan mereka dua hari kemudian. Mereka bersepakat untuk mencetuskan kekecohan dan memusnahkan sebanyak mungkin harta benda di dalam rumah tumpangan itu.

Pada 28 September tahun lalu sekitar jam 5.50 petang, pegawai pembimbing Boys' Home, Encik Saravanan Ramasamy, memberitahu semua orang untuk berkumpul di halaman rumah tumpangan tersebut.

Dua daripada lelaki itu kemudian memulakan satu pertelingkahan palsu. Salah seorangnya menumbuk pegawai pembimbing berusia 33 tahun itu apabila beliau bergegas untuk memisahkan remaja-remaja itu daripada terus bergaduh. Hal itu menyebabkan para remaja lelaki yang lain untuk ikut sekaki dalam serangan tersebut.

Encik Lim Kung Fu, 45 tahun, seorang pengurus pembantu Boys' Home, cuba untuk membantu namun mereka menyerangnya dan menyebabkan alat walkie-talkienya terjatuh.

Pegawai polis pembantu berusia 44 tahun, Yong Chee Kin, mengeluarkan belantannya dan menjerit ke arah para remaja itu supaya mereka meletakkan senjata. Namun, mereka berpaling ke arah Yong lalu menumbuk dan menendangnya sehingga belantan itu terjatuh.

Salah seorang remaja itu mengangkat belantan tersebut dan mencabar para kakitangan lain di Boys' Home tersebut untuk berlawan dengannya.

Ketiga-tiga lelaki yang diserang itu dihantar ke Hospital Besar Ng Teng Fong.

Kesemua remaja itu masuk ke dalam bilik asrama masing-masing setelah mendapat tahu bahawa polis sudah tiba.

Beberapa di antara mereka membuka rangka katil dan menggunakannya sebagai penghadang di pintu masuk asrama untuk menghalang pihak-pihak berkuasa daripada memasuki kawasan mereka sementara salah seorang daripadanya pula menggunakan belantan Encik Yong untuk memecahkan kamera litar tertutup (CCTV).

Mahkamah juga diberitahu kumpulan remaja itu bernyanyi-nyanyi dan memekik sekuat hati sementara menunggu polis datang untuk menangkap mereka di dalam asrama itu. 

LAPORAN BERKAITAN:

- TODAYonline/FZ/fz

Top