Images
  • money
    Gambar fail mata wang Singapura. (Gambar: Roslan Rahman/AFP).

2 rakyat S'pura bersubahat tipu 3 bank lebih S$1.7 juta


SINGAPURA: Dua rakyat Singapura dikenakan tuduhan di mahkamah pada Khamis (11 Jul) kerana bersubahat untuk menipu DBS Bank, Malayan Bank (Singapore) dan Standard Chartered Bank (Singapore) dengan membuat permohonan pinjaman perniagaan bernilai lebih S$1.7 juta.

Tan You Jia, 48 tahun, and Lee Beng Yong, 50 tahun, juga didakwa menyogok dua pegawai bank.

Polis dimaklumkan bahawa kenyataan-kenyataan bank palsu diserahkan untuk menyokong permohonan pinjaman perniagaan di tiga bank, menurut Pasukan Polis Singapura (SPF) dan Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB) dalam satu kenyataan media bersama.

Kesalahan-kesalahan itu dilakukan antara 2014 hingga 2015.

Menurut polis dan CPIB, hasil siasatan mendedahkan bahawa Tan dan Lee mendampingi individu-individu yang kurang mahir atau tiada pengalaman dalam urus niaga untuk menjadi pengarah syarikat.

Tan dan Lee didakwa membantu pengarah-pengarah itu dalam permohonan pinjaman dari bank-bank tersebut, bernilai antara S$50,000 hingga S$500,000 setiap satu.

"Pinjaman-pinjaman itu pada hakikatnya tidak digunakan untuk perniagaan syarikat," menurut kenyataan media tersebut.

Tan dan Lee juga didakwa memberi sogokan bernilai S$10,500 kepada dua pegawai bank dari Malayan Bank dan StanChart. Ini adalah bagi layanan istimewa dalam memproses permohonan oleh pengarah-pengarah tersebut, menurut polis dan CPIB.

Jika sabit kesalahan atas kesalahan rasuah, mereka boleh dipenjara sehingga lima tahun dan didenda hingga S$100,000.

Atas kesalahan menipu dan memperdaya penyerahan harta benda secara tidak jujur, mereka boleh dipenjara sehingga 10 tahun dan didenda.

- CNA/ZM/zm

Top