Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

2 pelajar Madrasah Irsyad ini raih skor sempurna - 4 mata sahaja - bagi PSLE

Tiga minggu sebelum bermulanya PSLE, Madrasah Irsyad Zuhri Al-Islamiah diisytiharkan sebagai sebuah kelompok COVID-19. Namun, kesemua 190 murid PSLE madrasah itu lulus. Malah keputusannya di bawah sistem penskoran baru PSLE itu lebih baik daripada purata nasional.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Tiga minggu sebelum bermulanya Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE), Madrasah Irsyad Zuhri Al-Islamiah diisytiharkan sebagai sebuah kelompok COVID-19.

Sebilangan guru dikenakan Perintah Kuarantin dan kelas tambahan bagi para pelajar Darjah 6 sempena cuti sekolah September itu terpaksa beralih online.

Sungguhpun demikian, kesemua 190 murid PSLE madrasah itu lulus. Malah keputusannya di bawah sistem penskoran baru PSLE itu lebih baik daripada purata nasional. Di peringkat nasional, 98.4 peratus pelajar berjaya melangkah ke sekolah menengah kali ini, namun Madrasah Irsyad Zuhri mencatat 100 peratus.

Secara keseluruhannya juga, prestasi madrasah ini lebih baik berbanding tahun lalu.

"Tahun lalu skor mereka berdasarkan pemarkahan-T (T-score) dan markah purata mereka adalah 210 secara keseluruhannya. Kami diberitahu 210 itu setara dengan Peringkat Pencapaian (AL) 18. Tahun ini purata AL kami adalah 17. Masya Allah saya rasa ini satu peningkatan," kongsi mudir Madrasah Irsyad, Encik Noor Isham Sanif, kepada BERITAmediacorp.

Kohort murid PSLE tahun ini merupakan kumpulan pelajar pertama yang dinilai menggunakan sistem penskoran baru. Skor AL 1 hingga AL 8 diperkenalkan dengan 1 adalah terbaik sementara 8 merupakan skor terendah.

Jika para pelajar Madrasah Irsyad mendapat purata 17, bermakna kebanyakan pelajarnya mendapat markah 75 dan ke atas bagi setiap subjek.

(Infografik: TODAY)

"Alhamdulillah kohort Darjah 6 ini telah diperkenalkan kepada sistem AL sejak mereka di dalam Darjah 3 lagi. Anak-anak ini perlu sedikit penyesuaian kerana ia (awalnya) sesuatu yang sukar difahami," tambah Encik Isham yang menyifatkan sistem penskoran sekarang sebagai satu cabaran "baru" khususnya buat para pelajar cemerlang.

Sebabnya, gred 'A' dalam sistem pemarkahan PSLE lama seolah-olah dipecahkan kepada empat peringkat pencapaian berbeza.

Pelajar-pelajar pintar boleh sahaja diberi AL 4 sedangkan kalau mengikut sistem pemarkahan lama, hanya gred 'A' tertulis dalam sijil mereka.

Mujur, menurut Encik Isham, tiada kekeliruan mengenai sistem AL baru PSLE dalam kalangan para pelajar dan ibu bapa. Pihak madrasah juga dapat sedikit sebanyak mengurus jangkaan mereka.

"Kita buat 'target setting' (tetapkan sasaran) berdasarkan sistem AL. Kita anggarkan seberapa ramai akan dapat AL 1, AL 2. Jadi dengan itu, kita buat penyesuaian."  

2 PELAJAR MADRASAH IRSYAD DAPAT MARKAH SEMPURNA

Lebih mengagumkan bagi Madrasah Irsyad adalah, dua pelajarnya - Laiqa Rasyiqah Muhammad Ridzwan dan Muhammad Mu'adz Mohamed Jufri - mendapat markah sempurna dan mengumpul 4 mata sahaja.

Ini bermakna, mereka mendapat AL 1 bagi semua subjek. Dalam erti kata lain, markah yang diraih bagi setiap kertas yang mereka duduki adalah 90 dan ke atas.

Bukan itu sahaja, Laiqa dan Mu'adz juga cemerlang dalam mata pelajaran ukhrawi dan muncul sebagai antara 10 pelajar terbaik Peperiksaan Penyaluran Pengajian Islam (ISPE) yang keputusannya turut dikeluarkan hari ini (24 Nov).

ISPE melibatkan mata pelajaran ukhrawi dan keputusannya digunakan untuk memasuki madrasah lain pada peringkat menengah.

(Gambar: MUIS)

"Saya jangkakan saya akan dapat skor 5 atau 6 kerana subjek bahasa Inggeris dan Sains sedikit sukar untuk saya. (Tapi) saya membuat kertas latihan, dan saya mengulang kaji sebelum PSLE supaya saya boleh mempelajari daripada kesilapan saya," kata Laiqa.

Anak sulung tiga beradik itu kini merancang untuk memasuki Madrasah Al-Arabiah Al-Islamiah pula dan terus memburu cita-citanya untuk menjadi seorang doktor.

(Gambar: MUIS)

Mu'adz juga tidak menjangkakan dia akan mendapat markah sempurna kerana menurutnya, "tidak mudah untuk mendapat AL 1" terutama sekali bagi Bahasa Inggeris.

Yang pasti, berkat usaha gigih dan sokongan ibu bapa yang sering membantunya dalam pelajaran, Mu'adz cemerlang dalam PSLE. Dengan keputusan itu, Mu'adz membulatkan tekadnya untuk memasuki Madrasah Aljunied Al-Islamiah.

"Saya bercita-cita untuk menjadi seorang saintis. Tapi saya ingin meneruskan pelajaran di Madrasah Aljunied kerana saya lebih minat pelajaran ukhrawi," kongsi Mu'adz.

PELAJAR TERBAIK MA'ARIF RAIH AL 6

Dalam pada itu, pelajar terbaik Madrasah Al-Ma'arif Al-Islamiah turut meraih skor satu angka sahaja.

Faaliha Fazular Rahman mencatat 6 mata - AL 1 bagi dua subjek dan AL 2 bagi dua subjek lain. Jadi, markah yang diraihnya adalah 85 dan ke atas bagi keempat-empat subjek yang dia duduki.

"Saya suka belajar pada waktu pagi. Senang untuk hadam apa yang dipelajari. Tapi saya juga suka guna peta minda dan menggunakan warna apabila saya ingin cuba memahami suatu konsep," kata Faaliha mengenai 'rahsia' kejayaannya.

(Gambar: Madrasah Al-Ma'arif Al-Islamiah)

Cara menggunakan warna itu dia sering gunakan terutama sekali bagi mata pelajaran sains.

"Ia membantu saya menggambarkan sesuatu perkara dan menghafal dengan lebih baik."

Faaliha berazam untuk menjadi seorang peguam yang memperjuangkan keadilan dalam kes-kes jenayah apabila dewasa kelak.  

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan