Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

2 pekerja diselamatkan dari gondola rosak di Yishun Ring Road

Dua orang pekerja yang sedang mencuci bahagian luar Blok 451 Yishun Ring Road diselamatkan anggota bomba pada Isnin (15 Apr) setelah gondola yang mereka naiki mengalami kerosakan teknikal.

Anggaran Waktu Membaca:
2 pekerja diselamatkan dari gondola rosak di Yishun Ring Road

(Gambar: Alif Amsyar/CNA)

Diterbitkan : 16 Apr 2019 12:38AM Dikemas Kini : 16 Apr 2019 12:43AM

SINGAPURA: Dua orang pekerja yang sedang mencuci bahagian luar Blok 451 Yishun Ring Road diselamatkan anggota bomba pada Isnin (15 Apr) setelah gondola yang mereka naiki mengalami kerosakan teknikal.

Akibat kerosakan itu, kedua-dua lelaki tidak dapat menurunkan gondola dan terperangkap sekitar 20 minit menurut saksi-saksi kejadian.

"Dua pekerja terperangkap di atas gondola yang senget, tidak boleh digerakkan dan tergantung antara tingkat lima dan enam," menurut SCDF yang dimaklumkan tentang insiden tersebut pada sekitar 12.00 tengah hari.

"Seorang pekerja diselamatkan oleh SCDF menggunakan alat aerial manakala yang lagi satu diselamatkan menerusi tingkap sebuah unit di tingkat enam yang SCDF masuki secara paksa," menurutnya lagi.

Salah seorang pekerja mengalami kecedaraan ringan dan dibawa ke Hospital Khoo Teck Puat. Pekerja kedua tidak cedera.

SEMUA KERJA LIBATKAN GONDOLA AKAN DIHENTI

Majlis Perbandaran Sembawang dalam jawapannya kepada soalan CNA menyatakan bahawa para pekerja itu dilantik oleh kontraktor Choice Decor Co-operative Society, untuk menjalankan kerja-kerja pembaikan dan hias semula di blok itu.

"Mereka sedang membasuh bahagian luar bangunan sebelum dicat," menurut majlis itu.

"Sedang punca insiden masih disiasat Kementerian Tenaga Manusia, kami mengarahkan kesemua kerja-kerja melibatkan gondola dihentikan serta-merta sehingga dimaklumkan lagi," menurutnya lagi.

DISELAMATKAN DALAM 10-15 MINIT

Pengurus projek di tapak itu yang hanya ingin dikenali sebagai Encik Kwa, berkata bahawa insiden tersebut berlaku sekitar tengah hari.

"Para pekerja dibawa turun dalam masa 10 hingga 15 minit. (SCDF) juga membuka beg (keselamatan) sebagai langkah berjaga-jaga. Namun para pekerja kami juga memakai abah-abah dan tali keselamatan jadi kesemuanya selamat," kata beliau.

"Gondola itu tergerak dan salah seorang tercedera apabila kepalanya terhantuk. Hanya luka kecil tapi beliau tidak apa-apa."

PINTU, PAGAR, TINGKAP PECAH

Cik Lee, 50 tahun, seorang penduduk di blok 451, berkata SCDF terpaksa memecah masuk ke dalam flatnya untuk menjalankan operasi menyelamat kerana beliau tiada di rumah pada ketika itu.

"Gondola tergantung di hadapan unit rumah saya dan mereka perlu memecahkan pintu, pagar dan tingkap bilik. Saya sedang bekerja ketika itu dan tiba di rumah sekitar 1.30 petang," kata Cik Lee.

(Gambar: Alif Amsyar/CNA)

Di bawah pindaan terbaru Akta Pertahanan Awam, para pegawai SCDF kini secara jelas dibenarkan memecah masuk sesebuah rumah dan mengalihkan sebarang benda yang boleh menghadang mereka melakukan operasi kecemasan dan menyelamat dalam kes-kes bukan melibatkan kebakaran.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan