Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

2 lelaki lampiaskan nafsu seks terhadap anak tiri masing-masing dikena hukuman berat

 Mahkamah Tinggi pada Selasa (11 Feb) mendengar dua kes lelaki yang mengambil kesempatan ke atas anak tiri masing-masing bagi memenuhi nafsu seks serakah mereka.

Anggaran Waktu Membaca:
2 lelaki lampiaskan nafsu seks terhadap anak tiri masing-masing dikena hukuman berat

Gambar hiasan.

Diterbitkan : 11 Feb 2020 10:33PM Dikemas Kini : 11 Feb 2020 10:50PM

SINGAPURA: Mahkamah Tinggi pada Selasa (11 Feb) mendengar dua kes lelaki yang mengambil kesempatan ke atas anak tiri masing-masing bagi memenuhi nafsu seks serakah mereka.

Lelaki pertama dikenakan hukuman penjara 12 tahun dan 13 kali rotan, manakala lelaki kedua dipenjara 13 tahun 6 bulan, selain 21 kali rotan.

Kedua-dua mereka tidak boleh dinamakan atas arahan mahkamah demi melindungi identiti mangsa.

KES PERTAMA - LELAKI 39 TAHUN, MANGSA BERUSIA 10 TAHUN

Kes pertama membabitkan seorang lelaki berusia 39 tahun yang mula mengambil kesempatan ke atas anak tirinya yang berusia 10 tahun ketika itu. Dia menyuruh anaknya melakukan seks oral ke atasnya di tandas rumah mereka, sedang dua lagi anak kecil lelaki berkenaan menonton televisyen di bilik tamu.

Lelaki itu juga tergamak mengambil gambar ketika anaknya itu melakukan aksi seksual itu ke atasnya untuk tontonannya.

Ibu kanak-kanak perempuan itu - yang dikahwini lelaki itu pada tahun 2005 ketika kanak-kanak perempuan itu berusia lima tahun - hanya mengetahui tentang gambar-gambar aksi seks itu sebelum anaknya memasuki Darjah 6. Beliau kemudian bersemuka dengan suaminya dengan kehadiran anaknya itu.

Si ibu (yang kini berusia 37 tahun)bagaimanapun memutuskan untuk merahsiakan kejadian itu kerana bimbang ia akan merosakkan reputasi keluarganya.

Kanak-kanak perempuan itu juga bersetuju untuk tidak menyebut lagi isu itu. Selepas itu, bapa tirinya juga berhenti melakukan pencabulan seksual terhadapnya.

Perkara hitam itu bagaimanapun timbul semula tahun lalu - iaitu sekitar 10 tahun kemudian - setelah si ibu melahirkan seorang bayi dan memberitahu seorang pekerja sosial tentang perbuatan suaminya dahulu.

Suaminya akhirnya dikenakan tuduhan bagi perbuatannya itu dan empat lagi tuduhan mencabul kehormatan kerana menyuruh anak tirinya itu melancapnya pada empat waktu berbeza.

Mangsa kini berusia 20 tahun. Dia turut hadir di mahkamah hari ini dan bercakap dengan baik dengan ayah tirinya itu selepas hukuman dijatuhkan.

Dia dikenakan 12 tahun penjara dan 13 kali rotan.

Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Eugene Teh berkata bahawa semasa kesalahan berlaku, si mangsa mendengar suruhan ayah tirinya yang dipanggil "daddy" dan melakukan sebagaimana disuruh kerana dia takut dengan tertuduh yang lazimnya bersikap tegas.

Anak tirinya itu juga "tidak tahu atau faham apa yang tertuduh lakukan ke atasnya" tambah DPP Teh.

DPP Gail Wong pula berkata si ayah tiri sudah mencabuli kepercayaan terhadap anak tirinya itu sambil menarik perhatian bahawa kepercayaan bukan ditentukan oleh pertalian darah. Tetapi kedudukan si pesalah dalam keluarga berkenaan dan kaitannya kepada si mangsa.

"Seorang ayah tiri berada dalam kedudukan kuasa yang sama seperti seorang ayah... Si tertuduh diharapkan supaya melindungi kesemua anaknya daripada bahaya tanpa pengecualian," tambah DPP Wong.

"Dia bukan sahaja gagal berbuat demikian, tetapi mengambil kesempatan kedudukannya yang memikul kuasa dan kepercayaan, yang memberinya akses kepada si mangsa... Rumahnya adalah syurga palsu," ujarnya lagi.

Berhubung perbuatannya mengambil gambar di mangsa semasa seks oral dilakukan terhadapnya, DPP mengatakan: "Sememangnya dia mencipta pornografi kanak-kanak terhadap anak tirinya sendiri. Gambar-gambar itu membolehkannya mengulang tayang dan mengulang pemangsaan.

KES KEDUA - LELAKI BERUSIA 36 TAHUN INI BARU 4 BULAN KAHWINI IBU MANGSA

Dalam kes kedua pula, Mahkamah Tinggi diberitahu bahawa seorang lelaki berusia 36 tahun mula mendera anak tiri perempuannya pada Julai 2018.

Dia ketika itu baru sahaja berhenti kerja dan mula mempunyai lebih banyak masa di rumah sementara mencari kerja baru. Ketika itu dia baru empat bulan mengahwini ibu budak perempuan itu.

Lelaki itu memulakan perbuatan kejinya itu dengan menggesek alat sulit mangsa dari luar pakaiannya. Dia kemudian menjadi lebih berani sebulan selepas itu dan meminta anak tirinya itu melakukan seks oral terhadapnya.

Mahkamah diberitahu bahawa lelaki tersebut akan mendekati anak tirinya itu semasa ibunya bekerja.

Dia akan mendera anak tirinya itu di salah satu daripada dua bilik flatnya. Flat itu juga dikongsi bersama dua iparnya.

Mahkamah mendengar bahawa si mangsa tidak memberitahu sesiapa tentang kejadian itu kerana dia bimbang bahawa ibunya tidak akan percayai. Dia juga enggan menyebabkan perpecahan di kalangan anggota keluarganya.

Akibatnya, anak tiri tersebut melukakan dirinya sebagai mekanisme cuba menangani masalah itu. Perbuatannya diketahui guru sekolahnya yang kemudian merujukkan kanak-kanak perempuan itu kepada kaunselor sekolahnya. Kejadian tersebut kemudian dirujukkan pula kepada Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF).

Satu laporan polis akhirnya dibuat pada 25 Sep 2018 yang menyatakan bahawa kanak-kanak itu disuruh melakukan aksi-aksi seks terhadap bapa tirinyanya. Bapa tiri berkenaan kemudian diberkas pada hari yang sama.

Dr Parvathy Pathy, seorang konsultan kanan di Klinik Bimbingan Kanak-Kanak, Institut Kesihatan Mental (IMH) yang merawat kanak-kanak perempuan itu pada Februari 2019 menulis bahawa budak perempuan itu berasa mual, marah dan sedih di atas perbuatan bapa tirinya itu.

Kanak-kanak itu juga memberitahu Dr Pathy bahawa dia akan menyalahkan dirinya sendiri jika ibu dan ayah tirinya bercerai disebabkan perkara tersebut.

DPP Selene Yap dan Colin Ng menegaskan bahawa kanak-kanak bawah umur seperti si mangsa "memerlukan dan harus diberikan perlindungan sepenuhnya oleh undang-undang".

Ini kerana kesalahan yang menunjukkan penderaan oleh orang yang sepatutnya dipercayai dalam konteks keluarga adalah "sukar dikesan". Ini kerana si mangsa mungkin tidak bersedia atau ragu-ragu untuk melaporkannya kepada pihak berkuasa atas pelbagai alasan.

"Kepentingan awam memerlukan hukuman yang sepadan dengan keadaan serius kesalahan tersebut... terhadap kesalahan-kesalahan seksual yang dilakukan terhadap kanak-kanak bawah umur," menurut mereka lagi.

Lelaki tersebut akhirnya dikenakan hukuman penjara 13 tahun dan enam bulan, serta 21 kali rotan. Ini setelah dia mengaku bersalah bagi tiga tuduhan mencabuli kehormatan dan satu tuduhan penderaan seksual dengan melakukan penetrasi seks. 

Sumber : Today/DY/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan