Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

2 lelaki didenda perangkap burung di tempat awam

Dua lelaki didenda di mahkamah pada Rabu (16 Sep) kerana memerangkap burung-burung dalam kes-kes yang tidak berkaitan. Salah seekor burung itu mati dalam perangkap dawai. 

Anggaran Waktu Membaca:
2 lelaki didenda perangkap burung di tempat awam

Buurng merpati yang dikesan mati dalam perangkap dan pelbagai peralatan perangkap lain. (Gambar: NParks)

Diterbitkan : 16 Sep 2020 09:31PM Dikemas Kini : 16 Sep 2020 09:34PM

SINGAPURA: Dua lelaki didenda di mahkamah pada Rabu (16 Sep) kerana memerangkap burung-burung dalam kes-kes yang tidak berkaitan. Salah seekor burung itu mati dalam perangkap dawai.

Koay Soon Lye, 68 tahun, didenda S$800 kerana memerangkap seekor burung sepah merah di kawasan Jalan Kayu pada Mac tahun lalu.

Lim Thiam Hay, 67 tahun, didenda S$1,200 kerana menggunakan perangkap dawai untuk menangkap seekor burung merpati di kawasan rumput di Taman West Coast pada September tahun lalu. Burung itu mati dalam perangkap tersebut dan didapati mengalami dehidrasi berdasarkan hasil bedah siasat.

Koay mengaku bersalah atas satu tuduhan di bawah Akta Haiwan Liar dan Burung kerana memerangkap seekor burung. Sementara itu, Lim mengaku bersalah atas satu tuduhan di bawah Peraturan Taman dan Pokok kerana menggunakan perangkap untuk menangkap seekor haiwan di taman awam.

Dalam kes Koay, Lembaga Taman Negara (NParks) menerima maklum balas daripada seorang anggota awam tentang insiden memburu hidupan liar berdekatan 1 Brompton Road di Seletar.

Para pegawai NParks menemui Koay dengan seekor burung sepah merah yang masih hidup di dalam beg jaring nylon bersama-sama dengan perkakas perangkap seperti gam, renda dawai dan alat elektronik untuk memikat burung.

Siasatan mendedahkan Koay adalah seorang "penggemar burung" yang keluar rumah pada hari itu untuk memerangkap burung liar.

Dia mengaku memerangkap burung sepah itu berdekatan sebuah kuil di Jalan Kayu dan berkata dia pergi ke Brompton Road untuk menangkap lebih banyak burung hidup namun tidak berjaya.

PASANG PERANGKAP DAWAI

Bagi kes Lim, seorang anggota awam menghubungi polis tentang perangkap burung haram di Taman West Coast pada 18 September tahun lalu.

Lim pergi ke kawasan rumput di taman tersebut dan memasang perangkap dawai untuk menangkap burung merpati.

Dia pulang sekitar dua jam kemudian dan menemui burung merpati yang dikesannya terperangkap dalam perangkap itu tetapi ia sudah mati. Dia menanam bangkai burung itu di satu tempat berdekatan sebelum polis tiba.

Hasil bedah siasat oleh Khidmat Haiwan dan Veterinar NParks mendapati burung merpati itu dalam keadaan kekurangan air.

Pendakwa meminta denda dikenakan ke atas kedua-dua lelaki itu, sambil menarik perhatian bahawa terdapat peningkatan pada kes memerangkap burung.

Lim boleh didenda sehingga S$5,000 kerana menggunakan sebuah perangkap ke atas haiwan di taman awam manakala Koay boleh dipenjara sehingga S$1,000 kerana mengambil burung liar.  

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan