Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

2 lelaki didakwa setelah pistol ditemui di flat Jurong West; kes pertama dalam 10 tahun

Dua lelaki didakwa di mahkamah pada Khamis (10 Okt) berhubung sepucuk pistol yang ditemui dengan peluru hidup. Kes tersebut adalah yang pertama seumpama itu dalam tempoh sedekad.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 10 Oct 2019 10:41AM Dikemas Kini : 10 Oct 2019 10:42PM

SINGAPURA: Dua lelaki didakwa di mahkamah pada Khamis (10 Okt) berhubung sepucuk pistol yang ditemui dengan peluru hidup. Kes tersebut adalah yang pertama seumpama itu dalam tempoh sedekad.

Muhammad Ikram Abdul Aziz, 24 tahun, didakwa atas satu tuduhan memiliki senjata api secara haram di bawah Akta Kesalahan Senjata Api.

Dia dituduh memiliki pistol Shooters Sea Hawk dalam flat tingkat tiga di Blok 731, Jurong West, St 72 pada 8 Okt.

Seorang lagi lelaki, Amirul Asyraff Muhammad Junus, 25 tahun, didakwa atas satu tuduhan bersubahat dengan seseorang yang memiliki senjata api.

Dia dipercayai bersama Ikram sejak Februari tahun ini semasa Ikram memiliki senjata itu dan besar kemungkinan mengetahui tentang pistol tersebut.

Pada Isnin, polis memaklumkan Biro Narkotik Pusat (CNB) bahawa seorang lelaki 24 tahun, memiliki senjata api.

Pihak polis dan CNB menjalankan operasi pada Selasa untuk memberkas Ikram di flatnya di Jurong West. Para pegawai menjumpai pistol dalam flatnya, tetapi tiada dadah ditemui.

Amirul diberkas sehari kemudian di Woodlands, menurut satu kenyataan bersama pada Rabu oleh pihak polis dan CNB.

Kedua-dua lelaki itu direman pada Khamis untuk disiasat dan akan kembali dihadapkan ke mahkamah pada 17 Okt.

Hukuman bagi memiliki sebarang senjata api secara haram adalah hukuman penjara antara lima sehingga 10 tahun dan sekurang-kurangnya enam sebatan.

Sesiapa yang bersubahat dengan individu yang memiliki senjata api secara haram juga akan dikenakan hukuman yang sama.

Sumber : CNA/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan