Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

2 lelaki didakwa selepas 39 individu termasuk pekerja hijrahan didapati tinggal di 2 rumah kedai

Dua lelaki didakwa pada Selasa (5 Okt) selepas 39 individu, termasuk beberapa pekerja hijrahan didapati tinggal di dua rumah kedai, menurut Kementerian Tenaga Manusia (MOM) dan Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA).

Anggaran Waktu Membaca:
2 lelaki didakwa selepas 39 individu termasuk pekerja hijrahan didapati tinggal di 2 rumah kedai

Petikan dari Google Map.

Diterbitkan : 05 Oct 2021 09:35PM Dikemas Kini : 05 Oct 2021 09:43PM

SINGAPURA: Dua lelaki didakwa pada Selasa (5 Okt) selepas 39 individu, termasuk beberapa pekerja hijrahan didapati tinggal di dua rumah kedai, menurut Kementerian Tenaga Manusia (MOM) dan Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA).

Lau Liang Thye, 42 tahun, didakwa atas 11 tuduhan bersubahat dengan majikan untuk menempatkan pekerja hijrahan di tempat tinggal yang tidak sesuai dan satu tuduhan menggajikan secara haram seorang pekerja hijrahan tanpa pas kerja yang sah.

Kesalahan-kesalahan itu boleh dikenakan hukuman di bawah Akta Pengambilan Kerja Tenaga Kerja Asing.

Lau juga didakwa di bawah Akta Perancangan atas tiga tuduhan melakukan kerja-kerja pembangunan tanpa izin di beberapa unit perumahan privet. Ia merujuk kepada kerja-kerja yang didakwa dilakukan untuk mengubah unit perumahan privet menjadi tempat penginapan dormitori tanpa kelulusan.

Selain itu, Tay Kim Kiat, 58 tahun, didakwa di bawah Akta Perancangan atas tiga tuduhan melakukan kerja-kerja pembangunan tanpa kebenaran di beberapa unit perumahan privet.

"Ini bagi kesalahan mengubah sebuah unit perumahan privet untuk menyediakan tempat penginapan dormitori tanpa kelulusan dan membenarkan Lau menyediakan penginapan dormitori di lagi dua unit," menurut MOM dan URA.

39 PENGHUNI TINGGAL DI DUA RUMAH KEDAI

Pada 3 Disember 2018, pegawai MOM dan URA melakukan pemeriksaan bersama di dua rumah kedai tiga tingkat di 32 dan 34 Lorong 23 Geylang.

Semasa pemeriksaan itu, pihak berkuasa mendapati 39 individu tinggal di dua unit berkenaan, yang sudah pun dipasang tembok pembahagi. Jumlah itu melebihi had peraturan penginapan URA iaitu tidak lebih daripada enam penghuni tanpa kaitan dibenarkan tinggal di setiap premis perumahan privet.

"Siasatan menunjukkan bahawa Lau menyewa tingkat dua dan tiga kedua-dua premis itu dari Tay lalu menyewakannya semula kepada beberapa penghuni lain termasuk 22 pekerja hijrahan," menurut MOM dan URA.

"Selain itu, Lau dipercayai menyewakan bilik-bilik yang dipasang tembok pembahagi di bumbung kedua-dua premis itu tanpa pengetahuan Tay."

Menyusuli pemeriksaan bersama MOM dan URA, majikan pekerja hijrahan itu diarah untuk memindahkan kesemua pekerja yang terjejas ke "tempat penginapan yang diluluskan" dalam masa dua minggu, menurut pihak berkuasa.

Lau juga dituduh menggajikan salah seorang penyewa itu, seorang warga China berusia 46 tahun, Zhu Guangpeng sebagai tukang bersih rumah dan pengumpul sewa sebagai ganti dikurangkan bayaran sewa. Zhu tidak mempunyai pas kerja yang sah untuk melakukan demikian, menurut MOM dan URA.

Di bawah peraturan URA, hartanah perumahan privet pada masa ini tertakluk kepada had penginapan seramai enam individu tanpa kaitan. Kesemua penyewa harus tinggal di premis itu selama tempoh sekurang-kurangnya tiga bulan berturut-turut.

"Pemilik hartanah harus melakukan pemeriksaan bagi memastikan hartanah mereka tidak digunakan oleh penyewa bagi tujuan yang tidak dibenarkan," menurut pihak berkuasa.

"Pemilik rumah privet yang menyewakan hartanah mereka perlu mengesahkan nama pemegang pas kerja yang berdaftar di alamat mereka dengan menggunakan khidmat pertanyaan penyewa pekerja hijrahan.

"Dengan berbuat demikian ia memastikan bahawa hartanah itu disewa secara bertanggungjawab dan tidak disalah guna. Para pemilik juga perlu melakukan pemeriksaan di premis itu dari semasa ke semasa bagi sebarang ancaman kebakaran dan kesesakan."

Mengikut undang-undang, majikan perlu memastikan bahawa pekerja hijrahan yang digajikan diberi "tempat tinggal sesuai", menurut MOM dan URA.

Majikan yang gagal berbuat demikian dianggap sudah melakukan kesalahan di bawah Akta Pengambilan Kerja Tenaga Kerja Asing. Jika sabit bersalah, majikan itu boleh didenda sehingga S$10,000, dipenjara sehingga 12 bulan atau kedua-duanya sekali bagi setiap tuduhan.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan