Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

2 kumpulan seni Melayu antara penerima Dana Mengekalkan Seni NAC

Sekitar S$4 juta berjaya dikumpulkan menerusi Dana Mengekalkan Seni (stART Fund) sejak ia mula dilancarkan pada Mac 2020. Ia bagi membantu sektor seni dan budaya mengharungi kesan COVID-19.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Sekitar S$4 juta berjaya dikumpulkan menerusi Dana Mengekalkan Seni (stART Fund) sejak ia mula dilancarkan pada Mac 2020. Ia bagi membantu sektor seni dan budaya mengharungi kesan COVID-19.

Ia diumumkan Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia merangkap Menteri Kedua Undang-Undang Edwin Tong semasa acara perasmian dana itu pada hari ini (13 Jan).

Hampir 20 kumpulan-kumpulan seni mendapat manfaatkan daripada bantuan dana tersebut.

Salah sebuah kumpulan yang meraih bantuan stART Fund bernilai antara S$20,000 hingga S$50,000 ialah Teater Ekamatra. Disebabkan COVID-19, Teater Ekamatra terpaksa membuat beberapa keputusan sukar.

"Teater Ekamatra terjejas teruk dari pembatalan dua pertunjukan besar dan juga aktiviti-aktiviti lain yang telah dirancang. Untuk meringankan beban kewangan kami, kami kurangkan kakitangan dan sekarang hanya dua orang kakitangan dalam kumpulan kami," kata Pengarah Urusan Teater Ekamatra, Cik Shaza Ishak.

Buat masa ini, hanya dua kakitangan sahaja yang mendukung Teater Ekamatra - Cik Shaza dan juga Encik Mohd Fared Jainal selaku Pengarah Artistik. 

Studio dan pejabat mereka di Aliwal Arts Centre juga sepi kerana tiada sebarang pertunjukan 'live' yang dapat dipentaskan.

INGIN CAPAI STATUS IPC

Dengan stART Fund yang diterima dari Majlis Seni Kebangsaan (NAC) itu, Teater Ekamatra antara lain dapat meneruskan pementasan kanak-kanaknya, 'Mat Champion', yang akan diadakan secara online pada Februari 2021.

(Petikan Skrin: Teater Ekamatra)

(Petikan Skrin: Teater Ekamatra)

Ia juga merancang mendapatkan seorang pegawai untuk menguruskan usaha-usaha pengumpulan dana bagi mendapat status Institusi Bertaraf Awam (IPC).
"Dana stART Fund ini akan membolehkan kami terus berjuang dan berkarya dalam masa yang agak sukar. Kami berharap status IPC ini akan menyenangkan proses pengumpulan dana kami kerana penderma kami juga akan mendapat insentif iaitu pemotongan cukai," tambah Cik Shaza.

Dengan lebih banyak dana, Cik Shaza berharap ia dapat menjadi pemacu bagi Teater Ekamatra menyemarakkan lagi industri teater tanahair di pentas antarabangsa.

"Sejujurnya kami perlukan lebih wang dan juga pertolongan dari masyarakat untuk memperluaskan lagi jangkauan kami. Kerana sebagai kumpulan yang kecil, jangkauan kami agak terhad. Dan wang akan menolong kumpulan-kumpulan kami menjadi lebih profesional dan meluaskan lagi karya-karya kami bukan sahaja di Singapura tapi juga di luar negeri," kata Cik Shaza.

Sebuah lagi badan seni yang meraih manfaat menerusi dana stART Fund ialah Era Dance Theatre, yang ditubuhkan sejak 2009 dan bergerak sebagai sebuah badan amal. 

Setiap tahun, ia membelanjakan sekitar S$500,000 hingga S$600,000 untuk menampung kos-kos operasi dan pelaksanaan program-programnya.

(Petikan Skrin: Era Dance Theatre)

(Petikan Skrin: Era Dance Theatre)

Dengan pelbagai acara terpaksa berpindah kepada wadah online, kumpulan tarian Melayu ini juga tidak terkecuali. Lantaran itu, dana tersebut datang tepat pada masanya kerana ia membantu menampung kos-kos baru acara 'Muara Festival' anjurannya yang tahun lalu masuk tahun ke-10.

"Beralih kepada wadah digital ini bukan satu kepakaran kami. Bermakna kami harus dapatkan pakar-pakar dalam bidang video untuk membantu. Hal ini semua meningkatkan kos dan untungnya dengan adanya stART Fund itu, ia menjadi semacam pelincir," kata Pengarah Eksekutif Era Dance Theatre, Encik Azrin Abdul Rahim.

GABUNGAN TARIAN MELAYU KE DALAM TERAPI

Bagi meningkatkan lagi keupayaan para penarinya dan status tarian tradisional di Singapura, Era Dance Theatre merancang menggabungkan tarian tradisional ke dalam terapi demi membantu masyarakat.

"Apabila masyarakat dapat melihat ‘oh tarian Melayu dapat digunakan sebagai alat terapi dalam membantu orang-orang yang berpenyakit demensia’ misal kata, dan masyarakat akan mula akan rasa terangsang ‘oh ya, kita wajar sokong kegiatan-kegiatan seperti ini’. Tarian tidak akan lagi dilihat sebagai sebuah aktiviti yang diperlekehkan," ujar Encik Azrin.

LAPORAN BERKAITAN:

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan