Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

2 kes COVID-19 di sektor marin mungkin langgar langkah selamat; tindakan diambil terhadap majikan

Pihak berkuasa di Singapura sedang menyiasat sama ada dua pekerja dalam sektor marin yang baru-baru ini disahkan positif COVID-19 telah melanggar langkah-langkah pengurusan selamat di tempat kerja.

Anggaran Waktu Membaca:
2 kes COVID-19 di sektor marin mungkin langgar langkah selamat; tindakan diambil terhadap majikan

Kapal-kapal maritim berlabuh di perairan Singapura berdekatan kilang penapisan petroleum di Pulau Bukom. (Gambar: ROSLAN RAHMAN/AFP)

Diterbitkan : 02 Jan 2021 10:02PM Dikemas Kini : 02 Jan 2021 10:06PM

SINGAPURA: Pihak berkuasa di Singapura sedang menyiasat sama ada dua pekerja dalam sektor marin yang baru-baru ini disahkan positif COVID-19 telah melanggar langkah-langkah pengurusan selamat di tempat kerja.

Kedua-dua pekerja itu adalah juruukur marin di Lloyd's Register Singapore yang didapati positif pada 29 Disember, dan jurutera khidmat marin di Master Systems Marine yang disahkan COVID-19 pada 26 Nov.

Juruukur marin itu adalah antara empat orang dalam kelompok jangkitan baru yang melibatkan beberapa ahli keluarganya.

"Siasatan awal menunjukkan bahawa juruukur marin, seperti juga jurutera khidmat marin yang disahkan COVID-19 pada 26 November, memakan makanan yang disediakan oleh atau bersama kru di atas kapal. Perbuatan itu bertentangan dengan langkah-langkah waspada," menurut satu kenyataan media bersama pada Sabtu (2 Jan) oleh Penguasa Maritim dan Pelabuhan Singapura (MPA), Enterprise Singapore, Lembaga Kemajuan Ekonomi Singapura (EDB) dan Kementerian Kesihatan (MOH).

"Agensi-agensi juga sedang menyiasat jika ada pelanggaran langkah-langkah pengurusan selamat COVID-19."

Bagi kes yang melibatkan jurutera perkhidmatan marin, MPA telah menghalang syarikat itu, Master Systems Marine, daripada menghantar mana-mana pegawainya untuk bekerja di atas kapal. Ini akan berterusan sehingga syarikat tersebut boleh menunjukkan bahawa pekerjanya akan mematuhi langkah-langkah pengurusan selamat di atas kapal.

Bagi kes melibatkan juruukur marin pula, Lloyd's Register Singapore telah menggantung semua kegiatan tinjauan dan audit di kapal. Syarikat itu juga akan memeriksa semua juruukur marin bagi COVID-19.

"Tindakan lanjut mungkin diambil terhadap syarikat dan individu setelah siasatan selesai," kata pihak berkuasa.

UJIAN TAMBAHAN BAGI 20,000 KAKITANGAN

Memandangkan kes baru-baru ini yang melibatkan pekerja di sektor marin, MPA akan memperketatkan rejim ujian bagi semua kakitangan yang menaik kapal membabitkan lebih 20,000 kakitangan.

Mereka perlu menjalani ujian reaksi berantai polimerase COVID-19 (PCR) dalam masa tujuh hari akan datang - antara 2 dan 8 Jan - untuk memastikan mereka bebas COVID-19.

Mereka juga harus menjalani ujian rutin dijadualkan (RRT) setiap tujuh hari dan bukannya 14 hari seperti sekarang.

"Mereka yang tidak mematuhi rejim ujian rutin berjadual tidak akan dibenarkan menaiki kapal untuk bekerja," kata pihak berkuasa.

Pada masa ini, ujian rutin berjadual dibuat bagi sekumpulan pekerja yang dianggap berisiko tinggi, seperti mereka di sektor binaan, marin dan pemprosesan.

Semua kakitangan diperlukan memberi MPA notis awal sebelum menaiki kapal untuk menjalankan kerja atau menyediakan khidmat.

Bagi limbungan kapal, EDB memperkenalkan langkah berjaga-jaga wajib pada 21 Disember 2020.

"Limbungan kapal hanya boleh mengeluarkan surat penerimaan limbungan kapal kepada kapal yang perlu diperbaiki apabila kapal berkenaan mematuhi langkah-langkah ini," menurut kenyataan media tersebut.

Selain itu, limbungan kapal hanya boleh membenarkan kakitangan yang berpangkalan di darat menaiki kapal untuk bekerja apabila semua anak kapal diuji negatif COVID-19 semasa tiba di limbungan.

MPA, EDB dan agensi-agensi yang relevan juga akan meningkatkan pemeriksaan bagi memastikan syarikat dan individu mematuhi langkah-langkah pengurusan selamat COVID-19.

Pihak berkuasa menyatakan mereka juga akan menyemak keperluan untuk mempertingkat penggunaan peralatan perlindungan peribadi dan langkah-langkah kawalan jangkitan di sektor tersebut.

Setakat Sabtu, kedua-dua kelompok COVID-19 itu masing-masing mempunyai empat kes.

Jumlah keseluruhan kes di Singapura kini sebanyak 58,662. 

LAPORAN BERKAITAN:

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan