Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

2 kematian dilaporkan; kekerasan Myanmar terhadap penunjuk perasaan 'tidak dapat diterima' - MFA

Penggunaan senjata berbahaya di Myanmar terhadap orang awam yang tidak membawa senjata "tidak dapat diterima", menurut Kementerian Ehwal Luar Singapura (MFA) pada Sabtu (20 Feb) selepas terdapat laporan mengenai dua kematian di bandar Mandalay.

Anggaran Waktu Membaca:
2 kematian dilaporkan; kekerasan Myanmar terhadap penunjuk perasaan 'tidak dapat diterima' - MFA

(Gambar: AP)

Diterbitkan : 20 Feb 2021 11:55PM Dikemas Kini : 20 Feb 2021 11:57PM

SINGAPURA: Penggunaan senjata berbahaya di Myanmar terhadap orang awam yang tidak membawa senjata "tidak dapat diterima", menurut Kementerian Ehwal Luar Singapura (MFA) pada Sabtu (20 Feb) selepas terdapat laporan mengenai dua kematian di bandar Mandalay.

Pasukan keselamatan Myanmar melepaskan tembakan menggunakan peluru hidup dan getah untuk menyuraikan para penunjuk perasaan anti rampasan kuasa di sebuah limbungan kapal, sekali gus menyebabkan sekurang-kurangnya dua terbunuh dan sekitar 30 lagi cedera, menurut pekerja perubatan.

"Kami kecewa dengan laporan mengenai orang awam yang menjadi mangsa menyusuli penggunaan kekerasan oleh pasukan keselamatan terhadap para penunjuk perasaan di Myanmar," menurut seorang jurucakap MFA.

MFA menggesa pihak berkuasa Myanmar supaya mengelakkan keganasan dan pertumpahan darah yang lebih dahsyat.

"Semua pihak harus berusaha mencapai huraian politik bagi perdamaian negara, termasuk proses demokratik dikembalikan di Myanmar, menerusi dialog, bukan keganasan," menurut jurucakap itu.

"Jika keadaan terus memuncak, akan berlaku akibat yang serius bagi Myanmar dan rantau ini."

Kedutaan Singapura di Yangon sudah menghubungi rakyat Singapura di Myanmar, menurut MFA.

"Disebabkan oleh keadaan yang tidak menentu, rakyat Singapura di Myanmar dinasihatkan supaya sejauh mungkin jangan keluar rumah dan elak daripada pergi ke kawasan di mana sedang berlaku bantahan. Selain itu, mereka juga diingatkan supaya kekal berwaspada dan mengikuti dengan teliti perkembangan berita tempatan, " menurut MFA.

Rakyat Singapura juga harus mengambil langkah berjaga-jaga yang sewajarnya bagi menjaga keselamatan diri, dan segera mendaftar secara online supaya MFA boleh menghubungi mereka sekiranya timbul keperluan kelak.

Sumber : CNA/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan