Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

2 kelompok baru COVID-19 di S'pura termasuk pusat tuisyen Learning Point dengan 5 kanak-kanak

Sebanyak 52 kes baru COVID-19 dilaporkan di Singapura, sehingga tengah hari Jumaat (14 Mei), menurut Kementerian Kesihatan (MOH), 24 daripadanya jangkitan baru dalam masyarakat.

Anggaran Waktu Membaca:
2 kelompok baru COVID-19 di S'pura termasuk pusat tuisyen Learning Point dengan 5 kanak-kanak

Orang ramai di Orchard Rd S'pura memakai pelitup di tengah COVID-19 pada 2 Sep 2020 (Gambar: Gaya Chandramohan)

Diterbitkan : 15 May 2021 12:39AM Dikemas Kini : 15 May 2021 01:11AM

SINGAPURA: Sebanyak 52 kes baru COVID-19 dilaporkan di Singapura, sehingga tengah hari Jumaat (14 Mei), menurut Kementerian Kesihatan (MOH), 24 daripadanya jangkitan baru dalam masyarakat.

Jumlah itu adalah kes harian tertinggi sejak 30 Januari, apabila 58 kes dilaporkan.

20 daripada kes baru dalam masyarakat itu dikaitkan dengan kelompok-kelompok sebelum ini, antaranya,13 kes berhubung kait dengan kelompok Lapangan Terbang Changi.

Dalam kalangan mereka, 16 kes sudah dikenakan kuarantin sebelum ini.

Empat lagi kes setakat ini tidak berhubung kait.

KELOMPOK BARU DI LEARNING POINT

Lima kes dikaitkan dengan kelompok baru di Learning Point, sebuah pusat tuisyen. Terdapat empat budak lelaki dan seorang perempuan, berusia tujuh hingga sembilan tahun. Dua daripadanya dari Sekolah St Stephen's manakala dua lagi dari Sekolah Kong Hwa. Baki kes adalah dari Sekolah Rendah St Andrew's.

Kes pertama yang dikesan dalam kelompok itu ialah Kes 63131, seorang guru tuisyen Singapura berusia 50 tahun yang bekerja di pusat itu. Beliau disahkan positif COVID-19 pada 12 Mei.

Kesemua murid itu telah mengikuti kelas dikendalikan Kes 63131 di Learning Point, yang terletak di Parkway Center.

Kelima-lima pelajar tersebut mengalami simptom koronavirus sebelum didiagnosis dengan COVID-19, seperti demam atau selesema. Kelompok itu kini mempunyai enam kes.

KELOMPOK BARU BERKAITAN JURURAWAT HOSPITAL BESAR SENGKANG

Lelaki Filipina berusia 39 tahun itu bekerja di Farmasi Unity dan merupakan kontak isi rumah Kes 63096, seorang warga Filipina yang bekerja sebagai jururawat pembedahan di Hospital Besar Sengkang.

Beliau juga merupakan anggota keluarga Kes 63122, budak lelaki Filipina berusia tujuh tahun yang merupakan pelajar di Sekolah Rendah Yio Chu Kang.

Kelompok baru itu kini mempunyai tiga kes.

KELOMPOK TTSH TAMBAH 1 - LELAKI 88 TAHUN

Satu lagi kes ditambah kepada kelompok di Hospital Tan Tock Seng (TTSH).

Lelaki Singapura berusia 88 tahun itu dimasukkan ke Wad 9D dari 19 April. Beliau dipindahkan ke Pusat Nasional bagi Penyakit Berjangkit (NCID) pada 29 April dan dirawat di sana sejak itu.

Lelaki itu diuji bagi COVID-19 setiap hari dari 2 Mei dan semua keputusan ujiannya negatif COVID-19.

Pada 12 Mei, hasil ujiannya positif. Keputusan ujian serologi beliau adalah negatif.

LAGI 13 KES DALAM KELOMPOK LAPANGAN TERBANG CHANGI

Pengetua di sebuah sekolah bahasa adalah antara 13 kes baru yang berkaitan dengan kelompok di Lapangan Terbang Changi. Seorang lagi ialah warga Singapura yang bekerja sebagai anggota pentadbiran di Kementerian Tenaga Manusia (MOM).

Kes lain termasuk pegawai perkhidmatan yang bekerja di Ngee Ann City, seorang eksekutif penjualan di Terminal 3 Lapangan Terbang Changi, dua pegawai Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) yang ditempatkan di Terminal 3, serta dua pekerja pembersihan yang bekerja di Kopitiam Square di Sengkang.

Terdapat juga seorang suri rumah berusia 91 tahun yang merupakan kontak isi rumah kes yang telah disahkan sebelum ini, seorang jurutera sokongan IT yang bekerja dengan Idemia Singapore dan bertugas di Terminal 1 dan 4 Lapangan Terbang Changi, seorang pekerja pembersihan dari Ramky Cleantech Services yang bekerja di Robinson 77, dan dua pegawai keselamatan penerbangan Certis Cisco.

EMPAT KES YANG TIDAK BERKAIT

Kes yang tidak berkait termasuk warga China yang sudah selesai menerima dua dos vaksin dan digajikan SATS Food Services sebagai cef di Penjara Changi. Satu lagi kes melibatkan lelaki Singapura yang bekerja sebagai tukang masak di WOK HEY di pusat beli-belah White Sands, dan seorang lagi pesara Singapura berusia 70 tahun.

Baki kes yang tidak berkait adalah pekerja penghantaran GrabFood tempatan. Beliau mengalami demam, batuk dan sakit tekak pada 12 Mei dan mendapatkan rawatan perubatan pada keesokan harinya.

Hasil ujiannya positif COVID-19 pada 14 Mei dan keputusan ujian serologinya masih dinantikan.

Baki 28 kes diimport, dan dikenakan Notis Jangan Keluar Rumah setiba mereka di Singapura.

19 daripada mereka adalah warga Singapura atau penduduk tetap yang pulang ke sini, jelas MOH.

Tiada jangkitan baru dikesan di dormitori pekerja asing.

Sehingga Jumaat, Singapura mencatat 61,505 kes COVID-19 kesemuanya. 

LAPORAN BERKAITAN:

Sumber : CNA/SU/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan