Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

2 kedai 7-Eleven antara 6 peruncit yang digantung lesen jual rokok kepada pembeli bawah umur

Lesen menjual tembakau beberapa peruncit, termasuk dua cawangan 7-Eleven di Punggol dan Anchorvale, digantung selepas mereka didapati menjual rokok kepada pembeli berusia bawah 18 tahun.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 10 Oct 2018 12:25PM Dikemas Kini : 10 Oct 2018 11:18PM

SINGAPURA: Lesen menjual tembakau beberapa peruncit, termasuk dua cawangan 7-Eleven di Punggol dan Anchorvale, digantung selepas mereka didapati menjual rokok kepada pembeli berusia bawah 18 tahun.

Demikian menurut Penguasa Sains Kesihatan (HSA) dalam kenyataan medianya yang dikeluarkan hari ini (10 Okt).

Para penjual di cawangan-cawangan terbabit tidak meminta pembeli menunjukkan sebarang bentuk pengenalan diri untuk memeriksa usia mereka, atas alasan terlalu sibuk atau kerana pembeli kelihatan lebih tua daripada umur sebenar mereka, menurut HSA.

Cawangan 7-Eleven yang terletak di 639 Punggol Drive juga didapati menjual tembakau kepada seorang remaja berusia 17 tahun, yang membelinya untuk seorang budak 14 tahun.

Empat cawangan lain yang digantung lesennya adalah: SM Mart di 38 Teban Gardens Road, Ibrahim Trading di 411 Commonwealth Avenue West, Gui Bin Minimart di 296A Bukit Batok Street 22 dan Big Retail Supermarkets di 764 Choa Chu Kang North 5.

Lesen menjual tembakau peruncit-peruncit itu digantung selama enam bulan.

"Penjual mengambil risiko melanggar undang-undang sekiranya mereka hanya menilai umur pembeli berdasarkan penampilan fizikal mereka," menurut HSA.

Sejak 2015, 79 lesen menjual tembakau peruncit digantung dan 11 lagi dibatalkan oleh HSA.

Sesiapa yang didapati menjual produk-produk tembakau kepada pembeli berusia bawah 18 tahun boleh didenda sehingga S$5,000 bagi kesalahan pertama dan sehingga S$10,000 bagi kesalahan kedua dan seterusnya.

Di samping itu, lesen menjual tembakau pesalah juga akan digantung selama enam bulan bagi kesalahan pertama dan dibatalkan sekiranya peruncit mengulangi kesalahan itu.

Namun, jika peruncit didapati menjual produk tembakau kepada pembeli bawah 18 tahun yang memakai seragam sekolah, atau mereka yang berusia bawah 12 tahun, lesennya akan ditarik secara serta-merta.

Orang ramai juga akan dihukum sekiranya membelikan produk tembakau bagi individu bawah umur 18 tahun.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh didenda sehingga S$2,500 bagi kesalahan pertama dan sehingga S$5,000 jika mengulangi kesalahan itu.

Mereka yang ditangkap memberi atau membekalkan produk tembakau kepada seseorang yang berusia bawah 18 tahun juga boleh didenda sehingga S$500 bagi kesalahan pertama dan sehingga S$1,000 bagi kesalahan selanjutnya.

18 orang ditangkap melakukan kesalahan seumpama itu sejak 2015.

Bermula 1 Januari tahun usia minimum untuk membeli produk tembakau dinaikkan kepada 19 tahun .

Ia kemudian akan dinaikkan kepada 20 tahun bermula 1 Januari 2020 dan kepada 21 tahun setahun kemudian.  

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan