Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

2 jemaah rakyat S'pura kongsi pengalaman tunaikan haji di tengah pandemik COVID-19

Antara 10,000 jemaah haji kali ini, BERITAmediacorp difahamkan terdapat tujuh warga Singapura yang terpilih untuk mengerjakan rukun Islam kelima itu.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Antara 10,000 jemaah haji kali ini, BERITAmediacorp difahamkan terdapat tujuh warga Singapura yang terpilih untuk mengerjakan rukun Islam kelima itu.

Dua daripada mereka berkongsi pengalaman menunaikan ibadah haji di tengah-tengah pandemik COVID-19 sekarang.

Apabila dipilih menjadi antara 10,000 jemaah haji tahun ini, Encik Hakeem Angullia berasa amat bersyukur kerana akhirnya dapat menunaikan haji buat pertama kalinya.

Mahasiswa Hakeem Angullia antara 7 warga S'pura yang terpilih untuk mengerjakan haji tahun ini. (Gambar ihsan: Hakeem Angullia)

Pada usia 26 tahun, mahasiswa di Universiti Islam Madinah itu terpilih selepas membuat permohonan online yang dikhaskan buat mereka yang menetap di Arab Saudi.

"Proses pemilihan jemaah haji pada tahun ini adalah sangat mudah iaitu melalui aplikasi online, isikan maklumat dan sebagainya langsung terus kepada Kementerian Haji dan Umrah," ujar Encik Hakeem.

"Tiada pihak ketiga atau pihak tengah yang menguruskan pemilihan jemaah haji pada tahun ini dan tempoh untuk memproseskan nama-nama jemaah haji yang terpilih dilakukan selama seminggu melalui pemilihan komputer

"Pada saya, haji pada tahun ini adalah haji yang sangat unik dan memberikan saya pengalaman berbeza berbanding dengan haji-haji pada tahun sebelum ini," ungkap beliau lanjut ketika diwawancara BERITAmediacorp.

Seorang lagi rakyat Singapura yang berjaya mendapatkan tempat hasil dari permohonan online ialah Encik Nadhir Hassan.

Perunding cara, Nadhir Hassan, antara 7 warga S'pura yang terpilih untuk mengerjakan haji tahun ini. (Gambar ihsan: Nadhir Hassan)

Perunding cara yang bertugas di Riyadh sejak Januari lalu itu didorong rakan-rakan sekerja untuk mendaftarkan namanya.

Memandangkan musim haji tahun ini berlaku dalam suasana pandemik, semua jemaah diwajibkan menjalani ujian COVID-19 dan perintah kuarantin sebelum mereka sampai di Makkah.

"Pertama kita mesti mengambil ujian COVID-19. Imunisasi dan kuarantin di rumah sepanjang tujuh hari. Kedua, selepas kuarantin, kita dibawa ke hotel Sheraton Makkah sepanjang empat hari untuk kuarantin. Di sini kita mengambil lagi ujian COVID-19 untuk memastikan ujian adalah negatif" kongsi Encik Nadhir.

Meskipun terkurung empat hari di dalam bilik hotel, kedua-dua Encik Nadhir dan Encik Hakeem menggunakan masa yang terluang itu untuk mengulangkaji manasik haji di samping beribadah.

"Antara pengalaman menarik yang saya boleh sebutkan untuk haji tahun ini adalah susunan daripada pihak kementerian haji dan umrah kepada jemaah haji susunan mengikut kumpulan dan zon-zon tertentu mengikut warna yang unik dan tersendiri untuk zon masing-masing," kata Encik Hakeem.

Bagi memastikan penularan COVID-19 tidak akan berlaku, para jemaah haji juga perlu menjalani kuarantin selepas selesai mengerjakan haji kelak. 

Sumber : BERITA Mediacorp/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan