Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

2 firma privet akan kendalikan 30 ambulans SCDF, sebahagian model baru kontrak Pemerintah

Dua pengendali ambulans privet yang menandatangani kontrak dengan Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) akan memberi respons kepada panggilan kecemasan dalam uniform dan ambulans SCDF mulai Selasa (1 Dis).

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 30 Nov 2020 07:08PM Dikemas Kini : 30 Nov 2020 11:10PM

SINGAPURA: Dua pengendali ambulans privet yang menandatangani kontrak dengan Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) akan memberi respons kepada panggilan kecemasan dalam uniform dan ambulans SCDF mulai Selasa (1 Dis).

Ia sebahagian daripada kontrak baru antara SCDF dengan dua pengendali ambulans privet - Unistrong Technology dan Lentor Ambulance, menurut SCDF pada Isnin.

Di bawah model baru itu, pekerja dari dua pengendali itu akan dilatih untuk bertindak menangani pelbagai jenis kejadian lebih rumit seperti melibatkan ramai mangsa dan ancaman luar biasa melibatkan unsur-unsur kimia, biologi, radiologi dan bahan letupan.

Pada 2009, SCDF menambah jumlah khidmat perubatan kecemasan (EMS) dengan pengendali ambulans privet disebabkan oleh jumlah panggilan perubatan yang meningkat. Aturan antara SCDF dan pengendali adalah berdasarkan model kontraktor, menurut SCDF.

Para pengendali privet itu memiliki dan menyenggara ambulans masing-masing, peralatan perubatan dan komunikasi selain menyediakan pekerja untuk mengendalikan ambulans.Sejak 11 tahun lalu, pengendali ambulans privet sudah menambah jumlah ambulans daripada 10 kepada 30.

MODEL BARU PERTINGKAT RESPONS SCDF KEPADA KECEMASAN

Mulai Selasa, SCDF akan berpindah kepada model kontrak baru yang mana Pemerintah memiliki ambulans yang digunakan dengan kontraktor mengendalikannya.

Dua pengendali ambulans privet di bawah kontrak itu akan menyediakan kakitangan EMS untuk mengendalikan 30 ambulans SCDF yang diperuntukkan kepada mereka di balai bomba merata Singapura.

SCDF juga akan menyediakan lebih banyak ambulans selain daripada 30 ambulans yang diberikan kepada pengendali tersebut, yang akan berfungsi sebagai sumber tambahan. Ambulans-ambulans tersebut boleh digunakan untuk menyokong SCDF dalam keadaan kecemasan besar yang berlarutan.

PEKERJA BARU PENGENDALI AMBULANS PRIVET AKAN JALANI PROGRAM TINGKATKAN KEMAHIRAN

Mulai 2021, semua pekerja baru pengendali ambulans privet diwajibkan untuk menjalani program kemahiran baru selama tiga hari. Program itu akan melengkapkan mereka dengan kemahiran bertindak dan menangani kecemasan perubatan yang lebih rumit.

Sekitar 350 kakitangan khidmat perubatan kecemasan EMS dari dua pengendali itu sudah menjalani program tersebut sejak Jun 2020, kata SCDF.

Mereka juga harus menghadiri latihan berterusan yang relevan, serta ujian pensijilan dua kali setahun. Ujian tersebut ditadbirkan oleh SCDF. 

Sumber : CNA/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan