Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

2 cedera dalam kemalangan di luar Jurong Point, pemandu teksi ditahan

Dua pejalan kaki cedera di luar pusat beli-belah Jurong Point pada pagi Sabtu (13 Apr) selepas dilanggar sebuah teksi.

Anggaran Waktu Membaca:
2 cedera dalam kemalangan di luar Jurong Point, pemandu teksi ditahan

Dua pejalan kaki dalam kemalangan di luar Jurong Point pada 13 April. (Gambar: Pembaca Mediacorp)

Diterbitkan : 13 Apr 2019 11:35PM Dikemas Kini : 13 Apr 2019 11:40PM

SINGAPURA: Dua pejalan kaki cedera di luar pusat beli-belah Jurong Point pada pagi Sabtu (13 Apr) selepas dilanggar sebuah teksi.

Pasukan Polis Singapura (SPF) menyatakan pihaknya dimaklumkan tentang kemalangan tersebut pada 11.36 pagi, melibatkan sebuah teksi dan dua wanita di persimpangan antara Jurong West Street 64 dengan Jurong West Central 3.

"Kedua-dua pejalan kaki, berusia 26 dan 54 tahun, berada dalam keadaan sedar semasa dibawa ke Hospital Universiti Nasional (NUH)," menurut kenyataan polis.

"Pemandu teksi berkenaan, seorang lelaki berusia 63 tahun, ditangkap kerana memandu secara berbahaya. Polis sedang menjalankan siasatan."

Dalam catatan di laman Facebook, seorang saksi, yang tidak mahu identitinya didedahkan, berkata kedua-dua mangsa itu tidak dapat bergerak atau memberi respons selepas kemalangan itu. Beberapa pejalan kaki lain juga membantu dua wanita cedera itu.

"Saya meminta tisu dan beberapa pejalan kaki lain membantu," kata seorang saksi kepada Mediacorp.

"Dua daripada mereka mengambil payung untuk memberi mereka teduh, manakala rakan-rakan sekerja saya dan seorang lagi pejalan kaki cuba menghentikan pendarahan yang daripada luka mereka."

SAKSI LAIN MEMBANTU 2 WANITA CEDERA

Beberapa saksi lain membantu mengangkat barang-barang dapur yang dibawa dua pejalan kaki itu, manakala seorang lagi mengalihkan lalu lintas dari kawasan tersebut.

Gambar-gambar yang dimuatnaik oleh seorang saksi menunjukkan mangsa-mangsa berkenaan terlantar di jalan raya dengan kecederaan di bahagian kepala, dengan dibantu beberapa pejalan kaki.

Menurut saksi tersebut, ambulans tiba sekitar 10 minit selepas kemalangan itu.

"Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) dimaklumkan mengenai insiden tersebut pada 11.36 pagi (13 Apr). SCDF membawa dua individu ke NUH," menurut SCDF.

Memberi respons kepada pertanyaan Mediacorp, ketua pegawai perhubungan kumpulan ComfortDelGro Tammy Tan berkata pemandu teksi berkenaan sudah digantung kerja.

"Kami benar-benar meminta maaf atas kemalangan ini dan pemandu tersebut sudah digantung kerja serta merta," jelas Cik Tan.

"Kebajikan kedua-dua pejalan kaki adalah keutamaan kami. Kami sudah menghubungi kedua-dua mereka dan akan membantu mereka sebanyak mungkin. Kami juga sedang membantu dalam siasatan polis."

Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan