Images
  • selarang3
    Dua bekas pesalah berkongsi dengan BERITAmediacorp pengalaman mereka kembali ke pangkal jalan. (Gambar-Gambar: Ira Musfirah)  

2 bekas pesalah dadah kongsi pengalaman kembali ke pangkal jalan

SINGAPURA: Rumah Tumpangan Selarang kini mempunyai sekitar 140 bekas pesalah dadah.

Menteri Undang-Undang merangkap Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam memuji sokongan pemulihan berstruktur yang disediakan Perkhidmatan Penjara Singapura dalam membantu pesalah daripada terjebak semula ke dalam kancah tersebut.

Dua bekas pesalah berkongsi dengan BERITAmediacorp pengalaman mereka kembali ke pangkal jalan.


"ASHRAF": KENAPA MESTI SAYA AMBIL BALIK?

Mula mengambil dadah sejak 16 tahun dan pernah meringkuk di penjara tujuh kali. Inilah antara liku yang dihadapi "Ashraf" akibat menyalah guna dadah dan mencuri.

Kini seorang penghuni di Rumah Tumpangan Selarang, Ashraf yang dipenjara 40 bulan bagi hukuman terbaru, cekal enggan masuk semula ke dalam penjara.

"Saya kata pada diri sendiri kenapa mesti saya nak ambil balik, sedangkan saya sudah susah-payah di dalam dan saya kehilangan banyak orang yang saya sayangi. Kenapa saya mesti jalani dugaan ini lagi?" kongsinya.

"DANIAL": TETAP BERJUANG DEMI ANAK, ISTERI

"Danial", yang menyalah guna dadah sejak berusia 14 tahun pula, dipenjara 38 bulan dan kini di bawah Skim Tahanan Rumah.

"Takut kita jatuh sekali lagi. Tapi cabarannya adalah saya akan tetap berjuang kerana yang beri motivasi adalah anak dan isteri saya," ujarnya.

Dalam usaha membantu bekas pesalah kembali ke pangkuan masyarakat, seboleh mungkin, pegawai kes yang sama akan ditugaskan membantu sehingga mereka dibebaskan.

Mereka juga diberi bantuan kewangan menerusi kad EZ-Link, bantuan makanan dan mencari pekerjaan sebagai sebahagian daripada peluasan program masyarakat Perkhidmatan Penjara Singapura. 

- BERITAmediacorp/IM/ai

Top