Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

2 bekas pengurus sekolah privet penjara di bawah Akta Pendidikan Privet

Dua bekas pengurus institusi pendidikan privet Kings International Business School (KIBS) didakwa melakukan kesalahan di bawah akta Pendidikan Privet (PE), menurut kenyataan SkillsFuture Singapore pada Khamis (4 Jul).

Anggaran Waktu Membaca:
2 bekas pengurus sekolah privet penjara di bawah Akta Pendidikan Privet

(Gambar: Mediacorp)

Diterbitkan : 04 Jul 2019 09:44PM Dikemas Kini : 04 Jul 2019 09:52PM

SINGAPURA: Dua bekas pengurus institusi pendidikan privet Kings International Business School (KIBS) didakwa melakukan kesalahan di bawah akta Pendidikan Privet (PE), menurut kenyataan SkillsFuture Singapore pada Khamis (4 Jul).

Pada April 2015, KIBS didapati menganugerahkan diploma dalam pengajian maritim kepada para pelajarnya tanpa mewajibkan mereka menghadiri kelas atau menjalani peperiksaan oleh Majlis Pendidikan Privet (CPE) ketika itu. Pendaftaran KIBS dibatalkan bermula 5 Mei 2015.

CPE mengarahkan bekas pengurus KIBS untuk meletakkan pelajar dalam rekod mereka di sekolah lain ataupun mengembalikan yuran penuh kepada mereka sebelum 3 Julai 2015. Bagaimanapun, KIBS tidak mematuhi arahan dan gagal memulangkan yuran sejumlah S$174,138.50 kepada 34 pelajar.

Pek Siew Gek dijatuhi hukuman penjara 10 minggu selepas didakwa pada 24 April 2019 atas tiga kesalahan di bawah akta PE. Kesalahan-kesalahan tersebut termasuk gagal mematuhi arahan CPE untuk memulangkan wang atau menempatkan pelajar ke sekolah lain, dan menyerahkan 10 kertas peperiksaan palsu dan enam senarai kehadiran palsu kepada CPE.

Tan Yudong dijatuhi hukuman penjara empat minggu selepas didakwa pada 4 Julai 2019 kerana gagal mematuhi arahan CPE supaya memulangkan wang atau menempatkan pelajar ke sekolah lain.

10 dakwaan lain diambil kira semasa menjatuhi hukuman.

Kedua-dua individu juga dikenakan satu pendakwaan setiap satu di bawah Kanun Keseksaan pada 22 Mei 2018 dan dijatuhi hukuman pada 27 Julai 2018. Rayuan mereka terhadap dakwaan dan hukuman ditolak pada 10 Jun 2019.

"Walaupun sektor pendidikan privet sudah semakin baik saban tahun, kita perlu kekal berwaspada terhadap Institusi-Institusi Pendidikan Privet yang menyeleweng," tegas Cik Hui Mei Shan, Pengarah Kumpulan (Kawal Selia, Penipuan dan Penguatkuasaan), SkillsFuture Singapore.

"Orang awam harus berjaga-jaga dan jangan menerima tawaran pensijilan yang tidak memerlukan mereka menghadiri kelas dan/atau mengambil peperiksaan, ujian atau bentuk penilaian lain. Kami menasihati mereka untuk mengutarakan kes-kes tersebut kepada perhatian kami."

Pembatalan pendaftaran KIBS adalah yang pertama sejak penubuhan CPE pada Disember 2009, yang melibatkan sebuah institusi pendidikan privet ditarik balik pendaftarannya kerana mengeluarkan diploma dengan tidak memastikan para pelajarnya melalui pelajaran atau penilaian sewajarnya.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan