Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

2 bekas pegawai kanan NParks didakwa dengan tuduhan rasuah

Dua bekas pegawai kanan Lembaga Taman Negara (NParks) didakwa dengan tuduhan rasuah pada Selasa (6 Apr).

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 06 Apr 2021 04:52PM Dikemas Kini : 06 Apr 2021 10:56PM

SINGAPURA: Dua bekas pegawai kanan Lembaga Taman Negara (NParks) didakwa dengan tuduhan rasuah pada Selasa (6 Apr).

Teva Raj Palanisamy, 69 tahun, bekas pengarah kanan divisyen landskap perbandaran NParks, berdepan dengan dua tuduhan. Bekas pengarah dari divisyen yang sama, Go Kau Chai Johnny, 51 tahun, menghadapi satu tuduhan, menurut Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB).

Kedua-dua lelaki itu masing-masing didakwa dengan satu tuduhan menerima rasuah dalam bentuk penginapan hotel di Macau bernilai S$258.42 pada 2018. Rasuah itu sebagai "ganjaran untuk memajukan kepentingan perniagaan syarikat penyogok apabila berurusan dengan NParks", menurut CPIB.

Teva juga didakwa atas enam insiden yang dipercayai berlaku antara 2018 dengan 2020. Dia dituduh menerima rasuah dalam bentuk "khidmat pengangkutan" pada enam kejadian "sebagai upah untuk memajukan kepentingan perniagaan syarikat penyogok kedua dengan NParks ", tambah CPIB.

"Singapura tidak akan bertolak ansur terhadap rasuah, termasuk suapan yang dilakukan di luar negara," tegas biro itu dalam kenyataan medianya.

Sesiapa yang disabitkan dengan kesalahan rasuah boleh didenda sehingga S$100,000, atau dihukum penjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya sekali, menurut CPIB.

"Hukuman penjara maksimum bagi setiap kesalahan rasuah boleh dinaikkan sehingga tujuh tahun jika berkaitan dengan perkara atau kontrak dengan Pemerintah atau badan awam, atau sebahagian kontrak untuk melaksanakan kerja yang terkandung dalam kontrak tersebut," tambah kenyataan tersebut.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan