Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

2 AP Melayu dijangka 'pindah' GRC; 4 wajah baru ini bakal calon PAP dalam GE2020?

Sehingga dua Anggota Parlimen (AP) Melayu/Islam dijangka berpindah ke kawasan undi baru, sementara empat orang karyawan Melayu pula kini dikenal pasti sebagai berpotensi menjadi calon dalam GE2020.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Sehingga dua Anggota Parlimen (AP) Melayu/Islam dijangka berpindah ke kawasan undi baru, sementara empat orang karyawan Melayu pula kini dikenal pasti sebagai berpotensi menjadi calon dalam Pilihan Raya Umum akan datang (GE2020).

Demikian menurut sumber-sumber dan para aktivis akar umbi kepada BERITAmediacorp. Antara wajah-wajah baru yang dilihat bergerak di peringkat akar umbi dan mungkin diturunkan sebagai calon Parti Tindakan Rakyat (PAP) termasuklah seorang ahli korporat wanita bernama Mariam Jaafar.

Dua AP yang dijangka akan berpindah ke kawasan undi lain pula ialah Encik Amrin Amin dan Encik Zaqy Mohamad.

AMRIN AMIN PINDAH KE MANA?

Beberapa sumber akar umbi yang dihubungi BERITAmediacorp mengesahkan bahawa AP penggal pertama bagi GRC Sembawang, Amrin Amin, bakal berpindah ke kawasan undi lain. Namun mereka tidak pasti ke mana destinasi seterusnya AP berusia 42 tahun itu.

Semasa ditemui pihak kami di Sesi Bertemu Penduduk (MPS) di Woodlands malam semalam (23 Mac), Encik Amrin bagaimanapun enggan mengulas persoalan tersebut ataupun diwawancara.

Gambar fail Setiausaha Parlimen Kanan Kesihatan merangkap Ehwal Dalam Negeri Amrin Amin.

Encik Amrin Amin, yang juga Setiausaha Parlimen Kanan Kesihatan merangkap Ehwal Dalam Negeri.

AP yang sentiasa murah dengan senyuman itu merupakan antara AP yang paling aktif di media sosial, khususnya di Facebook. Sebilangan penduduk memberitahu BERITAmediacorp pula "rajin" dan "kerap dilihat bertemu para penduduk" untuk bertanya khabar.

SIAPA MARIAM JAAFAR?

Sumber-sumber akar umbi juga memberitahu BERITAmediacorp semalam bahawa bakal pengganti Encik Amrin di GRC Sembawang, Cik Mariam Jaafar, turut berada di sesi MPS di Woodlands St 83 itu malam semalam untuk meninjau keadaan.

Wanita berambut panjang itu adalah seorang ahli korporat yang bertugas sebagai Rakan Kongsi dan Pengarah Urusan syarikat The Boston Consulting Group (BCG) - iaitu firma perundingan teknologi, media dan telekomunikasi serta amalan-amalan institusi kewangan.

Cik Mariam Jaafar. (Gambar: Laman BCG)

Cik Mariam Jaafar. (Gambar: Laman BCG)

Menurut laman BCG, Cik Mariam merupakan "anggota teras" firma berkenaan dan sudah bertugas di situ sejak tahun 2006. Beliau juga memimpin segmen pengurusan kekayaan bagi BCG bagi rantau Asia Pasifik.

Sebelum menyertai BCG, Cik Mariam pernah menjadi Ketua Pegawai Operasi bagi Barclays Wealth Management bagi Asia, Timur Tengah dan Africa.

Lulusan ijazah sains Universiti Stanford dan Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) dari Sekolah Perniagaan Harvard itu kini adalah anggota lembaga GovTech, selain pernah menjadi anggota Jawatankuasa Ekonomi Masa Hadapan (CFE) yang ditubuhkan oleh Perdana Menteri Lee Hsien Loong pada 2015.

Kami bagaimanapun tidak dapat mewawancara beliau semasa sesi MPS tersebut.

ZAQY 'PINDAH' KE MARSILING?

Sumber-sumber juga menyatakan, seorang lagi AP Melayu yang dijangka berpindah ke kawasan undi lain ialah Zaqy Mohamad - iaitu dari GRC Chua Chu Kang ke GRC Marsiling-Yew Tee.

Gambar Encik Zaqy Mohamad. (Gambar: CNA / Lam Shushan)

Encik Zaqy Mohamad. (Gambar: CNA / Lam Shushan)

Menteri Negara Pembangunan Negara merangkap Tenaga Manusia itu memimpin kawasan Keat Hong, tetapi mula memimpin juga kawasan Marsiling pada 2017 selepas AP GRC itu, Puan Halimah Yacob melepaskannya untuk bertanding dalam Pilihan Raya Presiden.

Encik Zaqy kini dijangka 'berpindah' ke Marsiling. Beliau yang juga Timbalan Whip Pemerintah dalam parlimen sudah menjadi AP GRC Chua Chua Kang sejak tahun 2011.

PEGUAM ZHULKARNAIN RAHIM GANTI ZAQY DI GRC CHUA CHU KANG?

Muka baru yang dilihat mungkin menggantikan Encik Zaqy di Keat Hong ialah Zhulkarnain Abdul Rahim - seorang peguam. Beliau adalah seorang Rakan dalam syarikat Dentons Rodyk sejak tahun 2006 dan pernah diiktiraf sebagai dalam kalangan 40 peguam muda bijak di bawah usia 40 tahun pada tahun 2015 dan 2016.

(Gambar: AMP)

Encik Zhulkarnain Abdul Rahim. (Gambar: AMP)

Pemerhatian BERITAmediacorp mendapati, Encik Zhulkarnain hadir dalam banyak acara kemasyarakatan di kawasan undi itu sejak dua tahun lalu. Semasa dihubungi BERITAmediacorp, Encik Zhulkarnain mengatakan beliau tidak dapat memberikan komen kepada soalan-soalan yang kami ajukan.

Yang pasti, mantan Pengerusi AMP itu kini merupakan Pengerusi M³@Chua Chu Kang dan anggota CCC Keat Hong.

Beliau sudah bergiat aktif dalam kegiatan-kegiatan akar umbi sejak 2017 lagi.

MANTAN PENGERUSI MASJID & MANTAN KOLONEL SAF

Lagi dua karyawan Melayu yang kini disebut-sebut mungkin diturunkan sebagai calon PAP dalam Pilihan Raya Umum akan datang, adalah mantan Kolonel Angkatan Bersenjata Singapura (SAF), Encik Fahmi Aliman dan seorang ahli akademik, Dr Wan Rizal Wan Zakariah.

Dr Wan Rizal, yang bertugas sepenuh masa sebagai Pensyarah Kanan di Politeknik Republik, adalah anggota CCC Pasir Ris East dan Punggol East serta aktif dalam kegiatan akar umbi di kawasan tersebut.

Encik Wan Rizal Wan Zakariah. (Gambar: Wan Rizal Wan Zakariah)

Encik Wan Rizal Wan Zakariah. (Gambar: Wan Rizal Wan Zakariah)

Apabila ditanya BERITAmediacorp, sama ada beliau bakal menyertai pilihan raya akan datang jika diberi peluang, Encik Wan Rizal setakat berkata bahawa beliau perlu berbincang dengan anggota keluarganya terlebih dahulu.

Beliau pernah bergiat aktif dalam kegiatan-kegiatan masyarakat Melayu/Islam selaku Pengerusi Masjid Al-Islah (2015-2016) dan tahun lalu berucap di konvensyen PAP.

Encik Fahmi Aliman (Gambar: MUIS)

Encik Fahmi Aliman. (Gambar: MUIS)

Encik Fahmi Aliman pula kini disebut-sebut sebagai kemungkinan menjadi antara wajah baru bagi Pilihan Raya Umum akan datang bagi PAP, setelah dua petanda besar muncul dalam tempoh dua hari ini sahaja.

Pertama sekali, kelmarin (22 Mac) Menteri Kanan Emeritus (ESM) Goh Chok Tong membuat catatan Facebook di mana beliau menulis tentang "pasukan impian" beliau "di GRC West Coast atau di mana-mana".

Catatan tersebut disertakan sekeping gambar yang turut memaparkan Encik Fahmi di samping ESM Goh dan dua Anggota Parlimen lain iaitu Tin Pei Ling dan Lim Biow Chuan.

Petanda kedua yang lebih besar adalah apabila Encik Fahmi meletak jawatan sebagai Timbalan Ketua Eksekutif MUIS berkuat kuasa hari ini - jawatan yang baru disandangnya tahun lalu.


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Google dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini virus korona COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp 

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan