Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

2,500 orang alami Afasia di S'pura & semakin ramai dijangka akan terkena...

Afasia suatu kondisi atau 'penyakit' yang berkait rapat dengan strok. Memang ramai orang kenal dengan serangan angin ahmar, namun sebaliknya ramai yang tidak tahu tentang Afasia yang boleh menimpa seseorang pesakit.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Pernah tidak anda mendengar tentang kondisi dipanggil Aphasia atau Afasia?

Afasia berlaku apabila seseorang mengalami kecederaan otak sehingga menjejas keupayaannya untuk bercakap dengan lancar atau memahami percakapan orang lain.

Afasia suatu kondisi atau 'penyakit' yang berkait rapat dengan strok. Memang ramai orang kenal dengan serangan angin ahmar, namun sebaliknya ramai yang tidak tahu tentang Afasia yang boleh menimpa seseorang pesakit.

BERITAmediacorp bertemu dengan seorang pemuda yang mengalami kondisi itu selepas terkena serangan angin ahmar pada usia 29 tahun.

Meskipun sudah lama disahkan mengalami degupan jantung tak nalar (irregular heartbeat), Encik Muhammad Faizal Abu Bakar seorang yang aktif dan gemar melakukan sukan air.

Bahkan, beliau bertugas sebagai seorang pegawai polis trafik yang lasak meronda di jalan-jalan raya serata Singapura - tugas yang memerlukan fizikal yang baik.

Bagaimanapun pada usia 29 tahun, Encik Faizal terkena serangan angin ahmar semasa memancing ikan bersama rakan-rakannya di Pasir Ris pada September tahun lalu. Sebaik sahaja beliau sedar di hospital, separuh badannya lumpuh.

Sembilan bulan kemudian, berbekalkan semangat kentalnya untuk pulih dan sikapnya yang rajin menjalani terapi, bapa tiga orang anak itu kini sudah mampu berjalan sendiri dan berdikari.

Namun hanya satu masalah - beliau masih sukar untuk bercakap seperti sediakala. Sebahagian pertuturannya tidak jelas.

Malah perkataan yang amat lazim dilafazkannya seperti 'kamera' kini sukar disebutnya. Yang keluar dari bibirnya ialah 'karema'. 

Itulah antara kesan yang dialami Encik Faizal mengalami kondisi dipanggil Afasia.

2,500 DISAHKAN HIDAP AFASIA SETIAP TAHUN. APA ITU AFASIA?

Fungsi dan keupayaan seseorang bercakap terletak di bahagian kiri otak. Afasia berlaku apabila seseorang mengalami kecederaan otak bahagian kiri.

Akibatnya, pesakit menjadi sukar bercakap atau sukar mengungkapkan apa yang ingin dikatakannya. Kecederaan pada bahagian ini juga boleh menjejas keupayaan si pesakit memahami percakapan orang lain.

Di Singapura sahaja, 2,500 orang disahkan menghidap Afasia setiap tahun dan serangan angin ahmar kekal sebagai punca utama penyebab Afasia.

Ketidakupayaan setiap pesakit Afasia berbeza-beza. Yang pasti, mereka boleh menjalani terapi pertuturan agar dapat bercakap dengan lebih lancar. Akan tetapi, mereka tidak boleh pulih 100 peratus. 

JUMLAH PESAKIT AFASIA DIJANGKA MENINGKAT

Dalam Laporan Tahunan Daftar Angin Ahmar Singapura yang diterbitkan tahun lalu, terdapat sekitar 20 kes serangan angin ahmar setiap hari yang ditangani hospital-hospital awam Singapura. Lebih membimbangkan lagi, trend pesakit terkena serangan angin ahmar juga terus meningkat.

Dalam tempoh sedekad sahaja jumlahnya melonjak daripada lebih 5,500 kes (bagi setiap 100,000 penduduk) pada 2007, kepada lebih 7,400 kes pada 2016.

Ini bermakna, jika trend angin ahmar itu berterusan, lebih ramai juga dijangka mengalami Afasia.

Malangnya, masyarakat kurang tahu apa itu sebenarnya Afasia apatah lagi kerana ketidakupayaan pesakit Afasia tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Pada zahirnya, pesakit Afasia kelihatan normal. Namun masalah muncul dalam aspek berkomunikasi.

Perkara ini diluahkan sendiri oleh ibu Encik Faizal, iaitu Cik Rawiah Jamil, 53 tahun.

"MEREKA INGAT DIA CACAT" 

Semasa ditemui BERITAmediacorp, Cik Rawiah menceritakan sendiri kesusahan yang perlu diharungi anaknya untuk bangkit semula.

Meskipun sedih melihat nasib yang menimpa anaknya, Cik Rawiah memilih untuk terus teguh hati kerana beliau percaya, Encik Faizal sangat memerlukan sokongan keluarga pada masa-masa sukar ini. 

Encik Faizal sukar bercakap dengan lancar. Kadangkala sukar untuk membentuk perkataan atau ayat. Serta ada ketika sukar memahami maksud orang lain.

Ditanya jika masyarakat umumnya memahami keadaan anaknya yang masih 'bertatih-tatih' untuk membina semula kehidupan, Cik Rawiah menjawab kadangkala orang luar memandang serong terhadap anaknya kerana tidak tahu duduk perkara:

"Orang-orang ni kadang dia tak faham, dia (orang ramai) ingat 'cacat agaknya dia (Faizal)'."

Cik Rawiah bagaimanapun bersyukur rakan-rakan anaknya sangat memahami. Encik Faizal sudah mula bertugas kembali pada Mei lalu - beliau tidak lagi menunggang motosikal tetapi bertugas di Ibu Pejabat Trafik Polis.

SEKUMPULAN AHLI TERAPI TAMPIL BERGABUNG BINA RANGKAIAN SOKONGAN

Menyedari pesakit Afasia di Singapura kurang mendapat sokongan, sekumpulan ahli terapi pertuturan tempatan bergabung tenaga dan menubuhkan sebuah pertubuhan bukan mencari keuntungan yang dipanggil Aphasia SG.

Aphasia SG satu-satunya pertubuhan yang menyediakan sokongan khusus bagi para pesakit Afasia. Antara inisiatifnya termasuk mengadakan sesi sembang 'Chit Chat Cafe' bagi para pesakit dan keluarga mereka pada setiap bulan.

Dalam setiap sesi seperti inilah, Encik Faizal dapat bertemu dengan mereka yang senasib dengannya dan saling berinteraksi. Ada yang dalam lingkungan usia sebaya, ada juga yang sudah agak uzur.

Aphasia SG percaya, wadah seperti ini penting kerana ia akan membantu mereka mempertingkat keupayaan bertutur dengan lebih baik.

"Kalau dalam sesi terapi, memang ada pesakit ‘terror’ (handal)..., semua boleh buat. Tapi bila kita berhubung, tidak semestinya dalam klinik atau ahli terapi pertuturan," kata Cik Siti Khairiyah Mohamed Jamil, seorang ahli terapi pertuturan dan anggota Aphasia SG.

"Komunikasi berlaku antara semua orang - apek beli air, dengan pak cik naik bas. Jadi ia sangat penting untuk mereka mendapat latihan daripada interaksi harian," jelas beliau lagi.

Lapan sesi sudah diadakan sejak Aphasia SG menganjurkan sesi pertamanya pada November 2018.

Dalam setiap sesi juga, para penjaga juga berpeluang untuk 'berpisah' buat seketika waktu daripada para pesakit Afasia. Para anggota keluarga atau penjaga mereka kemudian berkumpul untuk saling berkongsi tentang cabaran-cabaran yang mereka hadapi secara terbuka. Inilah kelompok orang yang benar-benar memahami apa yang dilalui pesakit Afasia dan keluarga mereka.

Pakar-pakar juga akan berkongsi tips bagi mereka di samping menjawab segala soalan yang diajukan, dan sesi-sesi ini yang diadakan secara percuma.  

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan