Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

19 stesen MRT ditutup 2 hari dan waktu operasinya lebih pendek pada Disember

17 stesen MRT Laluan Timur-Barat (EWL) dan dua stesen MRT Laluan Utara-Selatan (NSL) akan ditutup sepenuhnya pada 10 Disember dan 17 Disember ini bagi memperuntukkan lebih banyak masa untuk kerja-kerja kejuruteraan.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 21 Nov 2017 07:21PM Dikemas Kini : 21 Nov 2017 10:05PM

SINGAPURA: 17 stesen MRT Laluan Timur-Barat (EWL) dan dua stesen MRT Laluan Utara-Selatan (NSL) akan ditutup sepenuhnya pada 10 Disember dan 17 Disember ini bagi memperuntukkan lebih banyak masa untuk kerja-kerja kejuruteraan.

Demikian menurut pengendali kereta api SMRT dan Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) dalam satu kenyataan bersama hari ini (21 Nov).

Di samping itu, dari 8 hingga 31 Disember, 17 stesen EWL dari Tiong Bahru ke Tuas Link serta stesen Bukit Batok dan Bukit Gombak di NSL akan ditutup lebih awal pada setiap hari Jumaat dan Sabtu (jam 11.00 malam). Stesen-stesen itu juga akan dibuka lebih lewat pada setiap hari Sabtu dan Ahad (jam 8.00 pagi), menurut kenyataan itu.

Waktu operasi yang lebih pendek memberi lebih banyak masa bagi para jurutera bertugas agar dapat "mempercepat" kerja-kerja isyarat pada EWL, tambah LTA dan SMRT.

Stesen Bukit Batok dan Bukit Gombak terjejas kerana kerja-kerja kejuruteraan akan dilanjutkan ke stesen MRT Jurong East, iaitu stesen persimpangan antara NSL dengan EWL, demikian menurut LTA dan SMRT.

Dengan lebih banyak masa untuk kerja-kerja kejuruteraan bermula dari Disember 2017, penyempurnaan kerja-kerja pemasangan sistem isyarat pada EWL akan "jauh lebih pantas" iaitu dari penghujung 2018 kepada Jun 2018, tambah pihak berkuasa itu. Kerja-kerja bagi NSL dijangkakan selesai pada bulan depan.

Pada separuh pertama 2018, masa operasi khidmat kereta api lebih pendek juga akan diadakan di sepanjang Laluan Utara-Selatan dan Timur-Barat (NSEWL). Perkhidmatan bas ulang-alik akan disediakan di stesen MRT yang terjejas dalam tempoh masa tersebut dan tambang akan dikenakan mengikut susunan tambang khidmat kereta api.

Langkah ini ekoran gangguan pada perisian sistem isyarat EWL yang menyebabkan dua kereta api berlanggar di stesen MRT Joo Koon minggu lepas, sehingga 38 orang cedera.

Menurut pihak berkuasa, perlanggaran terjadi akibat sofwe ciri keselamatan yang dimatikan "dengan tidak sengaja". Masalah itu terjadi kerana sebuah kereta api rosak dalam fasa peralihan dari sistem isyarat lama kepada yang baru, demikian menurut LTA sebelum ini.

Dua sistem isyarat digunakan di EWL - Sistem Kawalan Kereta Api Berasaskan Komunikasi (CBTC) yang baru dan sistem isyarat lama yang mengawal pergerakan kereta api antara stesen Pioneer dengan Pasir Ris. CBTC aktif di antara stesen Tuas Link dan Pioneer.

Jadual kejuruteraan yang diumumkan hari ini (21 Nov) akan mempercepatkan kerja-kerja pembaikan semula pada EWL, "supaya perkhidmatan kereta api di sepanjang laluan, termasuk Lanjutan Tuas West (TWE), boleh berjalan lancar dengan sistem CBTC yang baru," demikian menurut kenyataan bersama itu.

Ini juga akan memberikan lebih banyak masa untuk projek pembaharuan dan kerja penyelenggaraan lain untuk "meningkatkan mutu perkhidmatan" NSEWL.

Ketua Eksekutif LTA, Encik Ngien Hoon Ping, berkata butiran lebih lanjut akan diumumkan pada masa akan datang dan LTA akan "bekerjasama dengan pengendali pengangkutan awam" untuk memastikan ada alternatif bagi penumpang di sepanjang kawasan terbabit.

"Waktu tambahan ini sangat berharga bagi LTA, SMRT dan (kontraktor sistem isyarat) Thales," kata Encik Ngien. "Ini akan mempercepat pelaksanaan sistem isyarat baru untuk EWL dan menyediakan masa penyelenggaraan tambahan untuk seluruh rangkaian NSEWL."

"Kami memilih bulan Disember untuk segera melaksanakan beberapa rancangan ini," katanya kepada para wartawan. "Disember merupakan tempoh di mana ramai rakyat Singapura tidak berada di Singapura."

Pihak berkuasa menambah bahawa mereka juga sedang dalam pertimbangan untuk menutup stesen-stesen EWL yang lain.

CIRI "RUANG KESELAMATAN" DIMATIKAN OLEH "GANGGUAN" PADA PERALATAN KERETA API

LTA, SMRT dan Thales juga mengesahkan bahawa perlanggaran Joo Koon disebabkan oleh "ciri-ciri keselamatan yang dimatikan secara mendadak" pada kereta api berkenaan.

Kereta api itu mula beroperasi pada jam 5.38 pagi dari Depoh Ulu Pandan bagi pengguna menuju Pasir Ris dan kemudian kembali ke Tuas Link, demikian menurut pihak berkuasa.

Penemuan siasatan menunjukkan bahawa "gangguan pada peralatan isyarat CBTC pada kereta api berkenaan" mematikan sebuah ciri yang direka untuk mewujudkan "ruang keselamatan" di bagi kereta api yang terjejas untuk memastikan adanya jarak yang selamat dengan kereta api lain.

Apabila ini berlaku, sistem CBTC seharusnya segera mewujudkan "ruang keselamatan" kedua untuk menggantikan yang pertama, tambah pihak berkuasa.

Bagaimanapun, gelembung kedua ini "dimatikan secara mendadak" ketika kereta api melalui "peranti tepi landasan" di Clementi yang masih belum diubah suai mengikut sistem CBTC yang baru.

Apabila kereta api tiba di stesen MRT Pioneer, di mana ia beralih ke sistem CBTC yang baru di TWE, pemandu kereta api "mengesan dengan tepat" keadaan yang tidak normal dan melaporkannya ke Pusat Kawalan Operasi, menurut pihak berkuasa.

Kereta api itu diarahkan ke stesen MRT Joo Koon untuk membolehkan penumpang turun.

Apabila ia berhenti di stesen tersebut, pintu dibuka secara manual dan ciri perlindungan "landasan ditutup" diaktifkan secara automatik untuk menghalang kereta api lain daripada memasuki atau meninggalkan platform.

Apabila perlindungan ini dimatikan untuk membolehkan kereta api pertama meninggalkan stesen, kereta api kedua pula "mula bergerak ke hadapan secara automatik" kerana ia tidak dapat mengesan sebarang "ruang keselamatan" pada kereta api pertama sehingga terjadi perlanggaran, jelas pihak berkuasa.  

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan