Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

19 diberkas kerana disyaki terlibat dalam penipuan gaji lumayan

Seramai 19 orang diberkas kerana disyaki terlibat dalam kes penipuan melibatkan tawaran pekerjaan selepas beberapa mangsa disuruh membayar yuran keahlian untuk mendapatkan komisen bagi pekerjaan online.

Anggaran Waktu Membaca:
19 diberkas kerana disyaki terlibat dalam penipuan gaji lumayan

Petikan skrin syarikat-syarikat dalam aplikasi pekerjaan palsu. (Sumber: SPF)

Diterbitkan : 13 Oct 2021 08:11PM Dikemas Kini : 13 Oct 2021 08:14PM

SINGAPURA: Seramai 19 orang diberkas kerana disyaki terlibat dalam kes penipuan melibatkan tawaran pekerjaan selepas beberapa mangsa disuruh membayar yuran keahlian untuk mendapatkan komisen bagi pekerjaan online.

Seramai 16 lelaki dan tiga wanita, berusia antara 18 dengan 35 tahun, diberkas menyusuli satu operasi yang dilancarkan di seluruh negara pada 11 dan 12 Oktober.

Demikian menurut pihak polis dalam kenyataan medianya pada Rabu (13 Okt).

Siasatan awal menunjukkan bahawa syarikat-syarikat palsu dipercayai "mengendalikan skim-skim penipuan di mana wang digunakan untuk membayar komisen yang dijanjikan kepada pemegang pekerjaan sedia ada," menurut polis.

19 orang dipercayai membantu untuk mempermudahkan skim itu dengan membuka akaun bank korporat dan peribadi, mengiklan dan merekrut pemohon kerja sambilan di samping mendaftar dan membekalkan secara palsu talian telefon bimbit.

"Sesetengah daripada mereka dipercayai menyewakan atau menjual akaun bank mereka kepada para penipu," menurut polis.

Siasatan polis terhadap individu-individu tersebut masih diteruskan, dedah pihak polis.

TAWARAN PEKERJAAN PALSU

Antara 8 Oktober dengan 10 Oktober, polis menerima beberapa aduan di mana mangsa menerima kiriman mesej tanpa diminta melalui WhatsApp, catatan Facebook atau Instagram, atau iklan online yang menawarkan kerja sambilan yang lumayan bagi pekerjaan yang berkaitan dengan pemasaran.

Para penipu akan menawarkan pekerjaan palsu yang memerlukan mangsa untuk menamatkan tugasan mudah seperti mengikuti sebilangan akaun media sosial dan menyukai sesetengah catatan media sosial untuk meningkatkan jumlah penonton.

Untuk melaksanakan tugas dan mendapatkan komisen mereka, mangsa diarahkan supaya mendaftar akaun keahlian secara percuma melalui laman web dan aplikasi mudah alih yang disediakan oleh para penipu itu, menurut polis.

Selepas mendaftar bagi keahlian percuma itu, mereka ditawarkan pakej ahli yang berbeza, yang berharga antara S$10 hingga beberapa ribu dolar, dengan jumlah komisen yang berbeza bagi setiap tugas.

Para mangsa dikehendaki membayar yuran keahlian mereka melalui mata wang kripto ataupun menerusi pemindahan dana bank kepada individu yang tidak dikenali sebelum mereka boleh memulakan pekerjaan untuk memperolehi komisen.

"Bagi kebanyakan kes, para mangsa akan berasa yakin seolah-olah ia adalah pekerjaan yang sah apabila mereka menerima bayaran komisen dan keuntungan pada peringkat awal keahlian mereka," lapor polis.

Para mangsa hanya menyedari bahawa mereka sudah ditipu apabila tidak lagi menerima komisen ataupun tidak dapat mengeluarkan wang daripada akaun keahlian mereka.

Polis mengingatkan para pemohon kerja supaya "terus berwaspada terhadap iklan-iklan pekerjaan yang menjanjikan keselesaan bekerja dari rumah dan ditawarkan gaji yang lumayan bagi pekerjaan yang agak mudah".

"Perniagaan yang sah tidak akan memerlukan para pemohon kerja untuk menggunakan akaun bank mereka sendiri untuk menerima wang bagi pihak perniagaan tersebut. Ataupun membuat bayaran pendahuluan bagi mendapatkan pekerjaan dan meraih komisen."

Menurut polis, penipuan-penipuan seumpama ini "biasa digunakan sebagai muslihat" untuk mengumpan mangsa supaya menyertai skim atau penipuan mereka.

Orang ramai juga diingatkan supaya menolak sebarang permintaan untuk menggunakan akaun bank peribadi untuk menerima atau memindahkan dana bagi pihak orang lain supaya mereka tidak terjebak dalam kegiatan pengubahan wang haram.

Sesiapa yang didapati bersalah atas tuduhan menipu boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun dan didenda. Atas kesalahan menerima hasil curian, tertuduh boleh dijatuhi hukuman penjara sehingga lima tahun, didenda, atau kedua-duanya sekali.

Bagi kesalahan mengubah wang haram, pesalah boleh dipenjara sehingga 10 tahun, didenda sehingga S$500,000, atau kedua-dua hukuman tersebut.

Sumber : CNA/RB/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan