Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

18 huraian teknologi bagi sektor F&B dihasilkan 75 belia

Sebagai sebahagian usaha mengatasi cabaran yang membelenggu perusahaan makanan dan minuman (F&B), sebuah pertandingan 'Hackathon' khusus untuk industri ini dianjurkan hari ini (9 Mei).

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Sebagai sebahagian usaha mengatasi cabaran yang membelenggu perusahaan makanan dan minuman (F&B), sebuah pertandingan 'Hackathon' khusus untuk industri ini dianjurkan hari ini (9 Mei).

Hackathon ini, yakni cabaran membangunkan huraian inovatif dalam masa singkat, disahut 75 belia yang terdiri dari golongan penuntut dan karyawan.

Dalam masa kurang 48 jam, 18 huraian prototaip berjaya dihasilkan para peserta.

INOVASI DARI MINDA MUDA

Salah satu pasukan peserta, yang terdiri daripada lima pelajar ITE Kolej Barat, memanfaatkan pengalaman rakan sebaya dalam membangunkan aplikasi 'FreeLuncher'.

Golongan seperti ini, menurut pasukan itu, ingin bekerja untuk waktu yang amat singkat, agar boleh mengimbangi tuntutan di tempat kerja dan sekolah.

Lantaran itu, aplikasi FreeLuncher menyediakan wadah sehenti untuk memadankan pemohon kerja dengan restoran-restoran yang terdekat dengan rumah mereka agar para pelajar dapat mencari kerja dengan mudah, dan jimat waktu perjalanan ke kerja.

"Untuk rakan sebaya kita, kami kadang-kadang perlukan duit sendiri, kerana kita ada yang datang dari keluarga susah, jadi kita perlu kumpul duit sendiri untuk kegunaan sendiri.

"Melalui aplikasi 'FreeLuncher’ ini, kita boleh bekerja selama 2 jam dan dalam jarak 5 kilometer, jadi bila kita balik pun kita cukup tidur untuk sekolah," kongsi peserta Muhammad Arshad Mohd Yasid, 18 tahun, yang juga merupakan penuntut kursus Operasi F&B.

HURAIAN TURUT BERSIFAT KEMASYARAKATAN

Bagi pasukan 'AHA Agency' dari Politeknik Republic pula, huraian yang dibangunkan terbit dari pengalaman mereka bekerja lebih tiga tahun di pelbagai restoran.

Aplikasi yang mereka usulkan pertama sekali memenuhi keperluan majikan mencari lebih banyak pekerja berkemahiran dan terlatih dalam bidang ini.

Pada masa yang sama, ia mempunyai aspek sosial - yakni memberi latihan asas percuma bagi pekerja baru - untuk membantu mereka yang kurang berkemahiran, untuk mula bekerja.

"Menerusi aplikasi ini, ia boleh memberikan pekerja-pekerja latihan untuk bekerja dalam bidang F&B ini. Dan selepas menghadiri kursus yang kita berikan secara percuma, mereka boleh memahami dan bekerja di pusat F&B, dan mencari rezeki untuk keluarga mereka," kongsi salah satu ahli kumpulan, Encik Muhd Herwan Shah Zaurin, 24 tahun.

SOKONGAN PEMAIN INDUSTRI

Kesemuanya 18 pasukan membentangkan pelbagai huraian yang menangani isu-isu utama industri F&B seperti tenaga kerja, peningkatan kos barang mentah, dan kenaikan kos sewa.

Kehadiran pemilik perniagaan F&B yang turut turun padang, satu peluang keemasan untuk saling mencungkil idea dari minda-minda yang muda dan mapan.

"Kita lihat teknologi di hackathon ini ada 18 yang dibentangkan di sini. Kita cuma ingin belajar ini dan perlahan-lahan melaksanakan konsep serupa dalam EsTeler. Mungkin kalau kita laksanakan mungkin ada 5% penjimatan, contohnya, tapi masalah yang lebih besar masih belum boleh diatasi," ulas Encik Galvin Widjaja, pengarah urusan restoran 77 Es Teler.

Anjuran Persatuan Restoran Singapura (RAS) dengan sokongan SPRING, SINGTEL dan e2i, acara ini juga termasuk sesi perkongsian dan lawatan belajar ke restoran-restoran agar peserta dapat lebih mendalami masalah yang dihadapi perusahaan ini.

Di akhir acara, hadiah sebanyak $9,000 disampaikan kepada tiga pasukan terbaik hari ini.

Sumber : BERITA Mediacorp
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan