Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

18 banduan wanita tamat Program Perniagaan Mikro dari dalam penjara

Seramai 18 banduan wanita dari Kompleks Penjara Changi (CPC) menjadi kumpulan pertama berjaya menamatkan kursus kemahiran perniagaan makanan dari rumah di bawah Program Perniagaan Mikro, anjuran AMP hari ini (3 Mac).

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Seramai 18 banduan wanita dari Kompleks Penjara Changi (CPC) menjadi kumpulan pertama berjaya menamatkan kursus kemahiran perniagaan makanan dari rumah di bawah Program Perniagaan Mikro, anjuran AMP hari ini (3 Mac).

Program perintis itu dijalankan buat julung-julung kalinya bagi banduan-banduan wanita di dalam penjara tahun ini hasil kerjasama AMP dengan Reben Kuning Singapua (YRSG).

Tujuannya adalah untuk melengkapkan para banduan wanita dengan kemahiran berniaga dari rumah (HBB) apabila mereka bebas nanti, supaya mereka dapat berdikari dan membina kehidupan baru.

AMP sejak 2005 menjalankan program itu untuk anggota masyarakat awam, khususnya untuk individu dari keluarga berpendapatan rendah. Secara tradisinya, Program Perniagaan Mikro itu dijalankan selama enam bulan.

Namun, bagi edisi pertama untuk banduan di penjara ini, ia dijalankan selama enam minggu sahaja. Iaitu dari 19 Januari hingga 2 Mac tahun ini.

"Ini merupakan salah satu usaha kami untuk memberi lebih ramai orang mendapat manfaat daripada program ini. Program ini juga kami harap dapat memberi pesalah peluang untuk berdikari untuk masa depan bagi keluarga mereka dan diri sendiri," kata Pemangku Pengarah Eksekutif AMP, Cik Zarina Yusof.

'NURIN' ANTARA YANG LULUS...

Bagi 'Nurin', bukan nama sebenar, sudah lebih sedekad lamanya dia meringkuk dalam penjara akibat penyalahgunaan dadah.

Akan dibebaskan tahun ini, wanita berusia 39 tahun itu bertekad membuka lembaran baru kehidupannya dengan memulakan perniagaan dari rumah seperti menjual kek dan biskut.

Nurin bertuah kerana terpilih mengikuti Program Perniagaan Mikro anjuran AMP dengan kerjasama Reben Kuning Singapura (YRSG). Dia sebelum ini tidak pernah terfikir pun untuk berniaga, malah seringkali gagal apabila cuba membuat kek atau biskut.

(Gambar-gambar: Jabatan Penjara Singapura)

"Apabila saya mendapat tahu tentang program perniagaan mikro ini saya amat terperanjat. Sebab di penjara ini pun ada program tersebut," cerita Nurin yang mengaku banyak "cabaran" yang perlu dilaluinya sebagai pelajar kursus itu.

"Cabaran pertama, saya tidak mempunyai kemahiran dalam Microsoft Word atau Excel. Semasa jurulatih menunjuk ajar, seperti membuat iklan, promosi, pemasaran, dan menaip secepat mungkin pada dasarnya saya keliru dan tidak mungkin dapat saya lakukan. Sebab saya sudah berada dalam penjara selama lebih 10 tahun dan ia bukanlah mudah untuk saya.

"Saya tetap cuba dan cuba dan akhirnya berjaya membuatnya sendiri," kongsi Nurin yang berlatih antara tiga hingga empat jam bagi menguasai kemahiran digital yang pernah dipelajarinya sebelum ini.

Cabaran kedua, kata Nurin, adalah apabila dia membuat kek kerana tidak ada pengalaman membuat kek.

"Kalau kek itu terbantut pun malu. Secara tidak langsung selepas saya menghadiri kelas 'baking' ini, cara-cara membuat kek sebenarnya mudah kalau kita menimbang bahan-bahannya," katanya lagi kepada BERITAmediacorp.

BELAJAR 4 'P' UNTUK BERNIAGA DARI RUMAH

Lantaran itulah, Nurin bersyukur mendapat bimbingan daripada program Perniagaan Mikro itu, yang disifatkannya sebagai satu batu lompatan untuk meningkatkan diri dan kini mempunyai pelbagai kemahiran berniaga dari rumah.

Secara keseluruhannya, Nurin dan 17 banduan lain diajar membuat kuih, diasuh kemahiran pemasaran menerusi media sosial dan kemahiran asas berniaga serta pengurusan kewangan, selain cara untuk melakarkan perancangan perniagaan.

"Saya belajar membuka perniagaan dari rumah dan tentang 4 P - Pricing, Product, Place, Promotion (harga, produk, tempat dan promosi," ujar Nurin.

BIMBINGAN LANJUTAN HBB SETELAH KELUAR PENJARA

Bukan itu sahaja.

Setelah dibebaskan nanti pula, 'Nurin' dan para peserta lain akan diberi bimbingan lanjutan untuk terus menajamkan kemahiran mereka. Hasil kerjasama AMP dengan Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura, mereka akan dibimbing pula oleh pakar-pakar dari Pusat SME DPPMS selama enam bulan tentang selok belok berniaga dari rumah.

"Masa yang diberikan kepada mereka (semasa dalam penhara) untuk menyesuaikan diri kepada maklumat dan kemahiran adalah pendek. Sebab itulah, kita berikan mereka pembimbing jadi apabila mereka dibebaskan, mereka boleh mendapatkan nasihat melangkah ke hadapan," kata Cik Zarina.

Menurut Cik Zarina lagi, langkah untuk menyediakan pembimbing perniagaan adalah agar para peserta program itu mendapat galakan untuk memulakan perniagaan dari rumah secepat mungkin selepas mereka dibebaskan.

Bagi Nurin, selain berniaga makanan kecil-kecilan, dia juga berhasrat melanjutkan pelajaran dalam peringkat GCE 'O'.

PELATIH MEMBUAT KEK YAKIN DENGAN POTENSI PARA PESERTA BANDUAN WANITA

Sjuffriani Abdul Khalid, 54 tahun, adalah bekas lulusan Program Perniagaan Mikro. Dari peserta program pada tahun 2014, beliau kini menjadi jurulatih program itu dengan AMP.

Beliau merupakan satu-satunya jurulatih program sulung perniagaan mikro itu di penjara dan bertanggungjawab mengongsi kemahiran membuat kuih kepada para peserta program tersebut - antaranya kek gulung dan biskut.

Berbekalkan pengalaman membuat kuih selama 30 tahun, Cik Sjuffriani melahirkan rasa kagum dengan kumpulan peserta itu, malah merasakan mereka mempunyai minat yang besar dalam bidang itu.

Kongsi Cik Sjuffriani: "Apabila saya kongsi pengalaman atau resipi-resipi, mereka dengan gigih mengambil nota dan ada di antara mereka yang sudah mempunyai perancangan untuk memulakan perniagaan mereka dari rumah selepas mereka dibebaskan kelak."

Beliau juga akur akan pentingnya untuk terus membantu masyarakat secara amnya.

Cik Sjuffriani berkata: "Pada saya sangat penting terutama sekali untuk kaum ibu dan hawa untuk mempunyai kemahiran. Dengan kemahiran membuat kek ini, mereka boleh memulakan perniagaan membuat kek dari rumah dan meningkatkan ekonomi keluarga mereka."

Beliau kini malah bersedia untuk menyediakan latihan amali untuk para peserta itu di studio membuat kuihnya sendiri, Lydia's Oven, yang ditubuhkan empat tahun lalu.

DR FAISHAL SAMBUT BAIK

Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri Dr Faishal Ibrahim hari ini (3 Mac) turut mengucapkan tahniah kepada 18 banduan yang berjaya menamatkan program itu.

Dr Faishal juga berasa berbesar hati melihat kerjasama yang dijalin antara agensi-agensi masyarakat dan rakan masyarakat untuk membantu golongan banduan wanita merebut peluang bagi diri mereka dan keluarga mereka.

Beliau berikrar akan mengembangkan lagi program perniagaan mikro ini sebagai sebahagian daripada proses pemulihan dan integrasi semula banduan ke pangkuan masyarakat selepas dibebaskan.

Pada masa depan, menurut YRSG dan AMP, badan-badan itu mungkin menawarkan kemahiran perniagaan dalam bidang lain seperti menjahit serta kraf tangan dan aksesori perkahwinan.  

Sumber : BERITA Mediacorp/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan