Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

17 pekerja SMRT sedang raikan sambutan Krismas apabila pokok tumbang di Sembawang Park

Seramai 17 kakitangan SMRT sedang meraikan sambutan Krismas apabila sebuah pokok tumbang di atas sebuah astaka di Sembawang Park semasa cuaca hujan lebat pada Khamis (20 Dis), menyebabkan bumbungnya runtuh.

Anggaran Waktu Membaca:
17 pekerja SMRT sedang raikan sambutan Krismas apabila pokok tumbang di Sembawang Park

Sebatang pokok tumbang di atas sebuah tempat teduh di Sembawang Park semasa cuaca hujan lebat, mencederakan 14 orang. (Gambar: Raj Nadarajan/TODAY)

Diterbitkan : 20 Dec 2018 11:47PM Dikemas Kini : 20 Dec 2018 11:49PM

SINGAPURA: Seramai 17 kakitangan SMRT sedang meraikan sambutan Krismas apabila sebuah pokok tumbang di atas sebuah astaka di Sembawang Park semasa cuaca hujan lebat pada Khamis (20 Dis), menyebabkan bumbungnya runtuh.

Meskipun tiada sesiapa yang terperangkap akibat insiden itu, 14 orang mengalami kecederaan dan dikejarkan ke Hospital Khoo Teck Puat.

Insiden berkenaan berlaku pada sekitar 5.30 petang di Beualieu Road, yang terletak berhampiran sebuah restoran makanan laut di taman itu.

Lembaga Taman Negara (NParks) menyatakan bahawa dua pokok tumbang dalam kejadian tersebut - iaitu sejenis pokok Tabebuia rosea setinggi 18 meter dan sejenis pokok Erythrophleum suaveolens setinggi 21 meter.

Pokok Erythrophleum suaveolens adalah pokok yang tumbang di atas astaka tersebut.

Apabila Mediacorp mengunjungi tempat kejadian, para pekerja dilihat memotong pokok tersebut dan sedang cuba membersihkan kawasan berkenaan di tengah-tengah hujan renyai.

Lagi tiga kakitangan SMRT yang tidak dihantar ke hospital juga masih lagi berada di taman tersebut, dan mereka kelihatan terganggu akibat kejadian yang menjejas 14 rakan sekerja mereka.

Seorang lelaki dalam lingkungan 40-an tahun, yang hanya ingin dikenali sebagai Encik Lee, berkata isterinya rebah dan mengalami kecederaan pada bahagian kepalanya akibat insiden tersebut.

Menurut beliau, sesetengah daripada rakan sekerja isterinya terpaksa menerima jahitan manakala tulang bahagian lengan seorang lagi terkehel akibat kejadian itu.

Encik Lee, yang berasa marah terhadap NParks berhubung insiden berkenaan, memberitahu Mediacorp: "Saya tidak faham bagaimana pokok itu boleh tumbang. Berdasarkan gambar, saya boleh lihat akar-akar pokok itu tidak begitu mendalam!

"Saya memerlukan jawapan. Isteri saya kini cedera akibat insiden itu. Saya tidak berasa begitu selesa."

Sebuah van SMRT juga dilihat di Sembawang Park.

NParks menyatakan bahawa semasa insiden itu berlaku, bahagian utara Singapura dilanda cuaca hujan lebat berserta guruh dan tiupan angin kencang.

Menurut NParks, pihaknya sedang menyiasat punca mengapa pokok itu tumbang. Lembaga itu juga sedang berusaha menghubungi para keluarga mangsa-mangsa yang cedera.  

Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan