Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

16 saranan dibentang bagi tingkat perlindungan mangsa, adakan pemulihan pemangsa

Memperketat hukuman atau langkah penguatkuasaan, tetapi juga memperkukuh pemulihan bagi mereka yang melakukan keganasan keluarga.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Memperketat hukuman atau langkah penguatkuasaan, tetapi juga memperkukuh pemulihan bagi mereka yang melakukan keganasan keluarga.

Selain itu, pelaku keganasan keluarga juga hendaklah diwajibkan menjalani penilaian dan rawatan. Mengengkarinya adalah satu kesalahan.

Itulah antara 16 saranan yang dibentangkan Pasukan Bertindak bagi Keganasan Keluarga dan didedahkan hari ini (23 Sep).

Ia sebahagian daripada kajian dan saranan yang dibuat semasa Perbincangan tentang Pembangunan Wanita Singapura yang akan dijadikan Kertas Putih dan dibentangkan di parlimen tahun depan.

KES KEGANASAN KELUARGA BARU NAIK 24%

Saranan-saranan tersebut dibuat sedang pusat-pusat yang mengendalikan keganasan keluarga menyaksikan lebih banyak kes dan pertanyaan antara 2018 hingga 2020.

Pertanyaan mengenai keganasan keluarga naik 57% dari sekitar 2,900 kes kepada hampir 4,580 kes. Manakala kes-kes baru keganasan keluarga pula naik 24% daripada sekitar 890 kepada lebih 1,100 kes.

Pasukan Bertindak itu menyatakan ia disebabkan oleh tekanan-tekanan dek COVID-19.

Kesedaran tentang keganasan keluarga yang kian meningkat serta lebih banyak usaha pendekatan yang dijalankan turut menyumbang kepada kenaikan tersebut.

BERLAKU KITARAN KEGANASAN DALAM KALANGAN KELUARGA

Sejak setahun setengah yang lalu, lebih 7,000 kes keganasan keluarga dikaji menurut pasukan bertindak tersebut, dan antara lain ia mendapati berlakunya kitaran keganasan.

Bermakna, mereka yang pernah memohon bagi perintah perlindungan peribadi (PPO) juga lebih cenderung dikenakan sendiri PPO terhadap mereka pada kemudian hari.

Pasukan bertindak menyatakan ini adalah maklum balas yang dikumpulkan daripada trend-trend terbaru dalam keganasan keluarga. Ia termasuk kes-kes di mana ibu bapa didera oleh anak dewasa mereka.

TINGKATKAN KESEDARAN & KUKUHKAN SIKAP MASYARAKAT TERHADAP KEGANASAN

Pasukan Bertindak membahagikan 16 saranan tersebut kepada empat teras. Teras pertama adalah untuk mengesan dan menghindar berlakunya keganasan keluarga.

Pasukan Bertindak bagi Keganasan Keluarga menyarankan agar terus meningkatkan kesedaran tentang keganasan keluarga menerusi kempen-kempen pendidikan awam.

Ini termasuklah memanfaatkan pertubuhan-pertubuhan seperti sekolah, pertubuhan akar umbi, pertubuhan keagamaan dan entiti swasta bagi mengukuhkan pengesanan keganasan keluarga di kalangan masyarakat.

Satu lagi saranan adalah memperbaiki program persiapan perkahwinan bagi pasangan yang mungkin menghadapi cabaran lebih besar dalam perkahwinan mereka.

JADIKAN LEBIH MUDAH MANGSA & MASYARAKAT LAPOR KEGANASAN

Teras kedua saranan Pasukan Bertindak bagi Keganasan Keluarga adalah memperbaiki cara untuk membantu para mangsa dan masyarakat dapatkan bantuan segera.

Satu saranan adalah meningkatkan Talian Bantuan Anti-Keganasan Nasional bagi memberikan pelbagai cara untuk melaporkan keganasan keluarga.

Satu lagi saranan termasuk mengukuhkan respons kecemasan untuk insiden-insiden keganasan keluarga.

Ini dengan meningkatkan cara para pegawai barisan hadapan memberikan respons mereka terhadap kes-kes sedemikian.

PERKUKUH PERLINDUNGAN & SOKONGAN TERHADAP MANGSA

Pasukan Bertindak itu berpendapat adalah penting untuk mengurangkan risiko berulangnya keganasan keluarga. Ini dengan memperkukuh perlindungan dan sokongan terhadap mereka.

Ia menyarankan agar pindaan dibuat kepada Piagam Wanita bagi meningkatkan penalti kepada mereka yang melanggar Perintah Perlindungan Peribadi (PPO) dan memberikan kuasa kepada pihak ketiga untuk memohon PPO bagi mangsa keganasan keluarga.

Satu lagi saranan adalah meningkatkan latihan bagi pihak Polis untuk menangani keperluan mangsa dan pemangsa dengan lebih baik dan melengkapkan Pusat Khusus Keganasan Keluarga dengan kemahiran dalam menangani para mangsa dan pemangsa yang mengalami keadaan kesihatan mental.

Pasukan Bertindak juga menyarankan agar diperbaiki perkongsian maklumat kes antara Pemerintah dengan rakan-rakan masyarakat bagi menyokong intervensi kes yang lebih bersepadu dan pantas.

Ia juga mahu memastikan agensi-agensi dilengkapi sepenuhya dalam hal menangani keperluan para mangsa keganasan keluarga serta pemangsa.

TINGKATKAN KEBERTANGGUJAWABAN PEMANGSA & PERKUKUH PEMULIHAN

Teras keempat memberi tumpuan kepada pemangsa keganasan keluarga dengan tujuan meningkatkan kebertanggungjawaban mereka dan memperkukuh pemulihan untuk mengurangkan berulangnya insiden keganasan.

Saranan-saranannya termasuklah membolehkan Mahkamah untuk mengarahkan penilaian mandatori dan perintah rawatan bagi responden PPO dengan keadaan kesihatan mental yang boleh dirawat, mengadakan program kaunseling mandatori, memperbaiki pemulihan dan rawatan pemangsa bagi mengurangkan risiko berulangnya insiden keganasan.

Ia turut menyarankan agar diasingkan si pemangsa dengan mangsa bagi memastikan keselamatan dan dalam masa yang sama memberikan intervensi dan pemulihan kepada si pemangsa.

Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri Dr Muhd Faishal Ibrahim yang merupakan pengerusi bersama Pasukan Bertindak bagi Keganasan Keluarga berkata saranan-saranan tersebut adalah untuk memastikan keluarga dilindungi dan pada masa yang sama memberikan peluang bagi keluarga yang terjejas bersatu semula.

"Kita harap akan mengukuhkan proses pembangunan keluarga dan memberi sokongan, pertolongan kepada mangsa dan memberikan ruang kepada mereka yang melakukan keganasan ini," kata Dr Faishal.

"Tetapi yang penting bagaimana kita boleh memberikan ruang untuk meningkatkan kesedaran di kalangan masyarakat tentang isu keganasan keluarga," tambahnya lagi.

ULASAN PEGUAM SYAFIQAH AHMAD FU'AD

Memberikan reaksinya dalam satu wawancara secara langsung menerusi siaran BERITA 8.00 di SURIA, peguam keluarga Syafiqah Ahmad Fu'ad mengalu-alukan saranan-saranan yang diberikan.

Antara yang menarik perhatian beliau termasuklah usaha untuk meningkatkan kesedaran tentang keganasan keluarga.

"Ini sangat penting kerana sampai sekarang adanya segelintir orang yang tidak tahu bahawa mereka tidak keseorangan dan boleh mendapatkan pertolongan dalam isu ini," kata Cik Syafiqah.

Beliau turut menggariskan betapa pentingnya saranan untuk menjadikan program kaunseling bagi pemangsa sebagai mandatori kerana menurutnya langkah tersebut adalah "sangat penting kerana perintah kaunseling amat berguna untuk mereka pulih".

Ditanya tentang sejauh mana saranan-saranan sedemikian dapat membantu mencegah atau menangani dengan lebih baik isu keganasan keluarga, Cik Syafiqah berkongsi pengalaman beliau sendiri menangani beberapa insiden keganasan keluarga.

Menurut beliau, antara keluhan yang diluahkan anak-anak guamnya adalah kesukaran mendapatkan bantuan apabila mereka melaporkan kes keganasan kerana ia termasuk dalam apa yang disifatkan sebagai "masalah domestik".

Ini bukan salah pihak-pihak tersebut, kata beliau, kerana terhad dari segi kedudukan mereka untuk menghulurkan bantuan.

Oleh itu, dengan adanya saranan-saranan seperti meningkatkan cara para pegawai barisan hadapan memberikan respons mereka terhadap kes-kes keganasan keluarga, ia akan dapat membantu para mangsa.

"Mungkin dengan penubuhan pasukan tindak balas kecemasan baru yang terdiri daripada para karyawan perkhidmatan sosial yang akan bekerjasama dengan pihak-pihak seperti pihak polis untuk menangani kes kecemasan ini untuk memastikan mangsa selamat.

"Dan salah satu juga untuk melatih pegawai polis untuk mempunyai pengetahuan dan juga kemahiran untuk menyiasat kes keganasan keluarga. Mungkin dengan ini, ia boleh membantu mencegah atau menangani isu ini dengan lebih baik," jelas Cik Syafiqah lagi.  

Sumber : BERITA Mediacorp/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan