Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

159 suspek pesalah guna dadah dicekup, termasuk remaja 13 tahun

Seramai 159 orang yang disyaki pesalah guna dadah ditangkap Biro Narkotik Pusat (CNB), termasuk seorang remaja lelaki 13 tahun, menurut kenyataan pihak berkuasa pada Jumaat (13 Sep).

Anggaran Waktu Membaca:
159 suspek pesalah guna dadah dicekup, termasuk remaja 13 tahun

Bungkusan kecil dadah Ice ditemui semasa serbuan di Fajar Road (Gambar: CNB)

Diterbitkan : 13 Sep 2019 06:29PM Dikemas Kini : 13 Sep 2019 06:33PM

SINGAPURA: Seramai 159 orang yang disyaki pesalah guna dadah ditangkap Biro Narkotik Pusat (CNB), termasuk seorang remaja lelaki 13 tahun, menurut kenyataan pihak berkuasa pada Jumaat (13 Sep).

Dalam satu serbuan di Blk 454 Fajar Road, para pegawai CNB memberkas seorang suspek perempuan 16 tahun, adik lelakinya, 13 tahun dan ibu mereka yang berusia 38 tahun, dalam satu pesta dadah.

Dua penghuni flat tersebut cuba melarikan diri dengan memanjat keluar dari tingkap, namun kemudian berubah fikiran dan masuk semula ke dalam flat itu.

Salah seorang penghuni akhirnya membuka pintu setelah diberi amaran berulang kali oleh para pegawai CNB. Seramai lapan orang disyaki pesalah guna dadah diberkas, termasuk tujuh remaja berusia 13 hingga 18 tahun.

Para pegawai turut menemui sebuah bungkusan kecil dadah Ice dan beberapa perkakas yang digunakan untuk mengambil dadah, di kawasan berumput di bawah blok. Barang-barang tersebut termasuk pemetik api dan jarum suntikan yang dicampak dari flat tersebut, menurut pihak berkuasa.

Siasatan menunjukkan salah seorang suspek, remaja lelaki berusia 17 tahun, yang juga seorang warga asing telah menjemput suspek-suspek lain ke flatnya untuk mengambil dadah. 

SERBUAN DI HADAPAN KANAK-KANAK

Dalam satu operasi berasingan, beberapa suspek diberkas di hadapan anak mereka apabila rumah mereka diserbu CNB.

Pada 2 September, para pegawai CNB menangkap dua suspek pesalah guna dadah di sebuah unit di Edgefield Walk. Kedua-duanya, lelaki berusia 33 tahun dan wanita 28 tahun itu adalah warga Singapura. Sekitar 5 gram dadah Ice dan perkakas dadah turut ditemui.

Semasa serbuan, anak pasangan itu - berusia tiga bulan, 19 bulan dan enam tahun, berada di rumah itu, menurut CNB. Anak sulung pasangan itu berada di sekolah semasa serbuan dilakukan.

"CNB bekerja rapat dengan Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga untuk menjaga kanak-kanak tersebut," menurut pihak berkuasa.

"Kanak-kanak itu akan dijaga oleh ahli keluarga terdekat mereka dengan bantuan ComCare dan sokongan sebuah Pusat Khidmat Keluarga."

Operasi merata negara selama 11 hari antara 2 hingga 13 September itu dilakukan di kawasan seperti Buangkok, Geylang, Jurong, Sembawang, Serangoon, Simei, Telok Blangah, Toa Payoh, Woodlands dan Yishun.

Kesemuanya sekitar 124g heroin, 91g Ice, 15g bahan psikoaktif baru, 8g ketamin, serta pil-pil Ecstacy, Erimin-5, tiga botol metadon dan dua bungkusan dadah LSD dirampas.

Siasatan ke atas kegiatan dadah melibatkan semua suspek yang diberkas sedang dijalankan, tambah CNB.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan