Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

15% warga S'pura guna kotak TV strim bahan cetak rompak

Seramai 15 peratus warga Singapura menggunakan kotak TV yang boleh menstrim kandungan televisyen dan video cetak rompak, menurut satu tinjauan yang ditugaskan oleh Perikatan Menentang Cetak Rompak (CAP) pada Rabu (28 Nov).

Anggaran Waktu Membaca:
15% warga S'pura guna kotak TV strim bahan cetak rompak

(Gambar hiasan: Unsplash)

Diterbitkan : 28 Nov 2018 06:53PM Dikemas Kini : 28 Nov 2018 06:56PM

SINGAPURA: Seramai 15 peratus warga Singapura menggunakan kotak TV yang boleh menstrim kandungan televisyen dan video cetak rompak, menurut satu tinjauan yang ditugaskan oleh Perikatan Menentang Cetak Rompak (CAP) pada Rabu (28 Nov).

Tinjauan yang ditugaskan oleh CAP dan dilaksanakan oleh firma penyelidikan pasaran YouGov - juga mendapati lebih daripada suku pengguna kotak TV sedemikian membatalkan langganan mereka dengan khidmat video sah di Singapura kerana memiliki peranti itu.

"Kotak-kotak TV itu membolehkan pengguna mendapat akses kepada ratusan saluran television dan kandungan video cetak rompak, selalunya pada harga langganan tahunan yang rendah," menurut CAP dalam satu kenyataan media.

"Kotak-kotak TV selalunya sudah dimuatkan dengan aplikasi tidak sah yang memberikan akses kepada bahan cetak rompak."

MyIPTV, UBTV, WorldTV, MoonHD dan Infinity TV antara aplikasi paling popular di kalangan pengguna di Singapura, menurut tinjauan tersebut.

Lebih 1,000 pengguna mengambil bahagian dalam tinjauan itu. Anggota-anggota CAP termasuk Discovery, The Walt Disney Company, FOX Networks Group, HBO Asia, La Liga, NBCUniversal, Netflix dan Liga Perdana.

PEMBELIAN DI PAMERAN IT, KEDAI

Hasil tinjauan itu didedahkan seminggu selepas Mahkamah Tinggi Singapura mengarahkan penyedia-penyedia khidmat Internet menyekat akses aplikasi kotak TV.

Tinjauan tersebut juga mendapati 62 peratus pengguna kotak TV membelinya dari "dua gedung e-dagang terbesar di Asia Tenggara".

Lebih sepertiga (38 peratus) daripada mereka juga melaporkan membeli peranti sedemikian dari pameran-pameran IT atau kedai-kedai di Singapura. 21 peratus pula berkata mereka membeli peranti-peranti tersebut menerusi "salah satu wadah media sosial paling popular di dunia".

Kenyataan media yang dikeluarkan tidak mendedahkan nama gedung e-dagang atau wadah media sosial tersebut.

"Penjualan terbuka alat penstriman haram di pusat-pusat beli belah dan pameran IT di Singapura adalah satu kebimbangan besar bagi industri kandungan," menurut pengurus besar CAP Neil Gane.

"Malangnya tiada huraian mudah untuk mengekang kegiatan cetak rompak kerana ekosistemnya berbeza-beza.

"Apa yang diperlukan adalah penyelesaian menyeluruh yang merangkumi penguatkuasaan, kerjasama dengan wadah teknologi dan pihak 'orang tengah' dan menyekat akses kepada kandungan cetak rompak menerusi penghalang laman web dan pendampingan pengguna," tambah beliau.

LANGGANAN DIBATALKAN

Tinjauan juga mendapati 28 peratus pemilik kotak TV membatalkan langganan dengan penyedia khidmat berasaskan video di Singapura kerana memiliki alat itu.

Hampir satu daripada lima (18 peratus) responden juga berkata mereka membatalkan khidmat-khidmat antarabangsa dan rentas Asia serta memilih untuk membeli kotak TV.

CAP mendapati bahawa Singapura mempunyai belasan khidmat disahkan yang menyediakan kandungan siaran langsung sukan, saluran TV dan video "pada pelbagai harga fleksibel".

"CAP akan terus menghalang dan mengganggu penstriman haram siaran langsung sukan, saluran TV dan video menerusi perintah sekatan mahkamah terhadap aplikasi cetak rompak," kata Encik Gane.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan