Images
  • gavel court
    Gambar hiasan. 

15 tahun kumpul taruhan 4D secara haram, lelaki diarah bayar S$1 juta kepada Pemerintah

SINGAPURA: Seorang lelaki berusia 60 tahun diarahkan supaya membayar lebih S$1 juta kepada Pemerintah bagi hasil yang diperolehinya dengan mengumpul wang taruhan 4D secara haram selama 15 tahun, menurut Pasukan Polis Singapura (SPF) pada Khamis (17 Jan).

Isterinya, Tin Suh Chyong, yang berusia 55 tahun pula diarahkan supaya membayar hampir S$30,000.

Sebelum ini, pasangan rakyat Singapura itu disabit kesalahan dan dijatuhi hukuman pada Mac 2018 kerana "membantu menjalankan kegiatan loteri awam serta menguruskan kegiatan perjudian jarak jauh dengan mengumpul wang taruhan menerusi wadah-wadah kiriman mesej segera," menurut polis dalam satu kenyataan media.

Pada masa itu, Heng Ee Howe dijatuhi hukuman penjara selama tiga bulan dan didenda S$36,000 manakala isterinya pula dijatuhi hukuman penjara selama dua minggu dan didenda S$100,000.

HENG KUMPUL WANG TARUHAN 4D SECARA HARAM SELAMA 15 TAHUN: POLIS

Hasil siasatan mendedahkan bahawa Heng, dengan bantuan isterinya, mengumpul wang pertaruhan 4D secara haram selama 15 tahun bagi seorang individu yang hanya dikenali sebagai "Ah Gu", menurut polis.

Semasa menjalankan siasatan kewangan terhadap Heng dan Tin, pihak pendakwa raya memperolehi arahan sekatan ke atas akaun-akaun bank pasangan itu serta "arahan mendakwa" ke atas unit kondominium mereka "bagi mencegah kehilangan harta benda," menurut polis.

Mereka mendapati bahawa Heng dan Tin masing-masing memperolehi wang bernilai sekitar S$1.1 juta dan kira-kira S$29,700 antara 1 Jun 2010 hingga 3 Jun 2015.

"Sesiapa yang disabit kesalahan berat akan dirampas faedah yang diraihnya daripada perbuatan jenayah," menurut polis.

Selain itu, sesiapa yang didapati bersalah membantu menjalankan kegiatan loteri awam boleh dijatuhi hukuman penjara sehingga lima tahun dan didenda antara S$20,000 hingga S$200,000.

Mereka yang didapati bersalah menyediakan khidmat perjudian jarak jauh secara haram bagi orang lain boleh dijatuhi hukuman penjara sehingga lima tahun, didenda antara S$20,000 hingga S$200,000 ataupun kedua-duanya sekali. 

- CNA/AI/ai

Top