Images
  • seniors vaccination
    (Gambar: TODAY)

15 penyuntik vaksin COVID-19, jururawat dengan isu bayaran tertunggak diberi 'bayaran muhibah'

SINGAPURA: Parkway Shenton akan memberi "bayaran muhibah" kepada para pekerja di pusat vaksinasi COVID-19 Kelab Masyarakat Bukit Timah, yang gajinya tidak dibayar oleh subkontraktor kumpulan jagaan kesihatan itu.

Ini walaupun Parkway Shenton sudah membuat bayaran kepada subkontraktor berkenaan, kata Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) Ng Chee Meng phari ini (15 Sep).

Bayaran muhibah itu sama dengan jumlah yang belum dibayar kepada para pekerja, kata Encik Ng.

Kementerian Tenaga Manusia (MOH) dan Perikatan Tiga Pihak Bagi Menghuraikan Pertikaian (TADM) pada Julai menyatakan bahawa mereka sedang menyiasat dua syarikat setelah sekumpulan pekerja di sebuah pusat vaksinasi mengadu bahawa mereka belum dibayar gaji sekurang-kurangnya lebih sebulan, menurut satu laporan TODAY.

Dua syarikat yang sedang disiasat dilaporkan sebagai Megamanpower dan Persatuan Ambulans Singapura.

Para pekerja terjejas diambil bekerja sebagai penyuntik vaksin dan jururawat di pusat vaksinasi Kelab Masyarakat Bukit Timah, kata Encik Ng dalam satu catatan Facebook hari ini.

Seramai 15 pekerja sudah memfailkan tuntutan di mana kebanyakannya merupakan pelajar, menurut ketua NTUC.

"Tindakan sedemikian oleh para majikan tidak jujur (yang merupakan subkontraktor Parkway Shenton) tidak boleh diterima dan NTUC tampil ke hadapan bersama MOM dan Parkway Shenton untuk menghulurkan bantuan kepada para pekerja untuk menyelesaikan isu bayaran tertunggak," kata Encik Ng.

"CEO Parkway Shenton Edmund Kwok, bersama dengan kakitangan dari NTUC dan MOM berjumpa dengan beberapa pekerja terjejas dan memberikan komitment beliau untuk memberikan bayaran muhibah (serupa dengan bayaran yang tertunggak) dalam masa terdekat ini," katanya.

Para pekerja terjejas "jelas berterima kasih dan lega" dengan bantuan yang diterima, kata Encik Ng.

"Kami akan mengambil semua langkah untuk menangani para majikan tidak jujur seperti Persatuan Ambulans Singapura yang jelas tidak memperlakukan para pekerja ini dengan baik," katanya.

- CNA/HA/ha

Top