Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

15 pemimpin kesatuan sekerja dilantik jadi sukarelawan M³@Bandar

Dalam usaha meningkatkan daya kerja para pekerja Melayu, 15 pemimpin kesatuan sekerja dilantik sebagai sukarelawan M³@Bandar hari ini (8 Dis).

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Dalam usaha meningkatkan daya kerja para pekerja Melayu, 15 pemimpin kesatuan sekerja dilantik sebagai sukarelawan M³@Bandar hari ini (8 Dis).

Antara lain, para pemimpin kesatuan itu akan berkongsi tentang pelbagai peluang pekerjaan yang ada serta melakar pelbagai program seperti pameran pekerjaan dan peningkatan kemahiran untuk para penduduk Melayu.

Ini merupakan daya usaha terkini gerakan M³ (gabungan MUIS, MENDAKI dan MESRA) untuk meluaskan lagi jaringan sumbangan sukarelawan dan karyawan Melayu untuk membantu masyarakat.

LEBIH BANYAK PROGRAM PEKERJAAN BAKAL DILAKSANAKAN

Para pemimpin kesatuan sekerja Melayu/Islam yang dilantik semasa acara di Kelab Masyarakat Pasir Ris-Elias itu masing-masing berpengalaman dalam industri-industri seperti elektronik, pembangunan dan keselamatan.

Antaranya ialah Encik Sazali Zainal, yang juga presiden Kesatuan Sekerja Pekerja Perindustrian dan Perkhidmatan Singapura (SISEU).

"Kami akan bekerjasama dengan M³ untuk membantu masyarakat dan menangani isu-isu berkaitan dengan pekerjaan. Harapan saya mereka akan dinaik tarafkan dalam pekerjaan, dapat gaji yang baik.

"Bila mereka sudah dapat pertolongan, mereka akan tampil membantu yang lain," kata Encik Sazali penuh harapan.

Anggota Parlimen GRC Pasir Ris-Punggol, Encik Zainal Sapari berkata, wadah yang disediakan itu adalah saluran sangat baik untuk para pemimpin kesatuan menyumbang kembali kepada masyarakat.

"Pemimpin-pemimpin ini mempunyai banyak pengalaman bagaimana kita boleh membantu pekerja-pekerja yang kehilangan pekerjaan, bagaimana kita boleh membantu mereka kalau mereka mempunyai masalah-masalah di tempat bekerja.

"Jadi dengan pelantikan mereka di M³@Bandar, mereka akan mengaturkan beberapa program menurut keperluan bandar-bandar itu," jelas Encik Zainal.

WANITA KEMBALI BEKERJA HARUS BERSEDIA MENGHADAPI PERSAINGAN DENGAN GOLONGAN MUDA

Sebagai permulaan, satu sesi dialog kembali bekerja untuk kaum wanita dianjurkan bersama beberapa pemimpin kesatuan sekerja.

Barisan panelis berpengalaman termasuk Naib Pengerusi NTUC bagi Jawatankuasa Wanita, Cik Noorfarahin Ahmad, Presiden Wanita Diperkasakan untuk Pekerjaan dan Keibuaan (WEWAM), Cik Yeo Miu Ean dan Timbalan Presiden, Institut Pekerjaan dan Daya Kerja (e2i), Cik Ng Peck Kin.

Selama lebih sejam, mereka berkongsi kepakaran mereka dan sumber-sumber berguna yang boleh diambil perhatian oleh kaum hawa, serta bertukar-tukar pendapat bersama 100 hadirin.

"Jadi kebanyakan wanita-wanita yang ingin bekerja ini cabaran-cabaran yang mereka hadapi berbagai dari segi dari rumah, di tempat kerja ataupun di luar persekitaran tempat kerja itu sendiri.

"Dari segi membina daya kerja mereka, mereka harus lebih berupaya,membina kemahiran mereka itu sangat penting kerana di luar sana, kita akan menghadapi cabaran-cabaran dengan orang-orang yang lebih muda," kata Cik Noorfarahin yang juga merupakan naib presiden Gabungan Kesatuan Pekerja Awam (AUPE) dan turut menerima pelantikannya sebagai relawan M³ hari ini.

Dengan kerjasama Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC), para pemimpin ini juga akan berusaha mewujudkan kesedaran tentang hak-hak pekerja, undang-undang pekerjaan dan keahlian kesatuan. 

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan