Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

15 pasangan bapa, anak sertai Detik Istimewa Bersama Ayah

Seramai 30 bapa dan anak perempuan mereka akan menyertai Detik Istimewa Bersama Ayah pada Ahad (12 Dis), yang bertujuan untuk memperkukuhkan hubungan pasangan anak-beranak itu.

Anggaran Waktu Membaca:
15 pasangan bapa, anak sertai Detik Istimewa Bersama Ayah

(Gambar hiasan: Juan Pablo Serrano Arenas/Pexels)

SINGAPURA: Seramai 30 bapa dan anak perempuan mereka akan menyertai Detik Istimewa Bersama Ayah pada Ahad (12 Dis), yang bertujuan untuk memperkukuhkan hubungan pasangan anak-beranak itu.

Detik Istimewa Bersama Ayah adalah sebuah acara Bulan Kebapaan Melayu/Islam, sebuah inisiatif oleh Pusat Kebapaan dan Bapa Sepanjang Hayat, yang menyasarkan untuk menggalak pelibatan lebih aktif kaum bapa Melayu/Islam.

Inisiatif itu dilancarkan pada awal September lalu dengan penganjuran siri kegiatan online dan fizikal yang akan berlangsung sehingga Disember, menurut kenyataan media Pusat Kebapaan dan Bapa Sepanjang Hayat hari ini (11 Dis).

Detik Istimewa Bersama Ayah menekankan peranan tiada galang ganti yang dimainkan seorang ayah dalam mempersiapkan anak perempuan mereka untuk melangkah ke alam dewasa sedang mereka membesar menjadi gadis lebih matang.

Direka khas buat golongan bapa bersama anak perempuan masing-masing, berusia antara 12 hingga 17 tahun, acara ini satu landasan tambahan untuk mengeratkan hubungan anak-beranak itu melalui kegiatan interaktif, perbualan bermakna dan komitmen yang dikongsi antara satu sama lain.

Sepanjang acara itu, bapa dan anak perempuan mereka akan mempelajari bahasa cinta masing-masing serta bagaimana mereka mencurahkan kasih sayang dan menegaskan hubungan sesama mereka.

"Bapa memainkan peranan penting dalam menegaskan identiti anak perempuan mereka dan menyampaikan nilai-nilai yang bakal menjadi pegangan hidup tatkala mereka melalui peralihan dan mengharungi cabaran. Memori yang tercipta antara bapa dengan anak perempuan mereka semasa acara ini tentu sekali akan menjadi satu peristiwa penting lagi berharga dalam hubungan mereka," kata Encik Bryan Tan, Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Kebapaan, Ibu Sepanjang Hayat dan Bapa Sepanjang Hayat.

"Ia juga adalah tanggungjawab bapa untuk membesarkan anak-anak lelaki mereka untuk menghargai dan menghormati wanita, dengan menjadi peran contoh bagaimana kita menghargai ibu anak-anak kita serta menghormati isteri kita," tambah beliau.

Untuk menyokong bapa dalam perjalanan mereka membina hubungan lebih utuh bersama anak-anak, Pusat Kebapaan ditubuhkan pada 2000 bagi menangani isu keluarga tanpa sosok seorang ayah di Singapura. Pusat itu memperkasa lebih ramai bapa untuk menjadi teladan yang lebih baik dan sumber inspirasi kepada anak-anak mereka.

Setiap tahun, Pusat Kebapaan dan Bapa Sepanjang Hayat mendampingi 300,000 bapa Melayu/Islam dan anggota keluarga melalui bengkel kebapaan serta kegiatan merapatkan hubungan antara ayah dengan anak.

Acara Detik Istimewa Bersama Ayah, yang diadakan di Asli Village di Downtown East, akan diserikan oleh Presiden Halimah Yacob selaku tetamu terhormat.

Sumber : BERITA Mediacorp/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan