Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

15 bekas pegawai pangkat tinggi SAF kini pegawai kanan awam, calon ‘terbaik' pegang jawatan, kata Chan Chun Sing

Seramai 15 bekas pegawai Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) yang berpangkat tinggi kini memegang jawatan kepimpinan kanan dalam perkhidmatan awam setakat sehingga 24 September tahun ini, kata Encik Chan Chun Sing.

Anggaran Waktu Membaca:
15 bekas pegawai pangkat tinggi SAF kini pegawai kanan awam, calon ‘terbaik' pegang jawatan, kata Chan Chun Sing

(Gambar fail: TODAY)

Diterbitkan : 05 Oct 2021 10:16AM Dikemas Kini : 05 Oct 2021 10:24AM

SINGAPURA: Seramai 15 bekas pegawai Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) yang berpangkat tinggi kini memegang jawatan kepimpinan kanan dalam perkhidmatan awam setakat sehingga 24 September tahun ini, kata Encik Chan Chun Sing.

Menteri Pendidikan merangkap Menteri Bertanggungjawab bagi Perkhidmatan Awam memberitahu Parlimen pada Isnin (4 Okt) bahawa Perkhidmatan Awam mengamalkan prinsip mencari "calon paling sesuai untuk menyandang sesuatu jawatan" semasa merekrut calon bagi jawatan kanan.

Encik Chan berkata demikian semasa menjawab tiga soalan yang diajukan oleh Anggota Parlimen (AP) Gerald Giam dari Parti Pekerja (WP).

Soalan pertama Encik Giam berkaitan dengan berapa ramai pegawai SAF yang bersara dengan pangkat Kolonel atau Pakar Tentera 7 (ME7) dan ke atas pernah menyandang jawatan kanan dalam pertubuhan sektor awam.

Soalan kedua pula bagaimana Jabatan Perkhidmatan Awam (PSD) menentukan pegawai mana yang mempunyai kecekapan yang mencukupi untuk memimpin pertubuhan-pertubuhan tersebut walaupun tidak mempunyai pengalaman kerja awam.

Soalan ketiga yang diajukan adalah sama PSD memerlukan pegawai-pegawai ini menghabiskan beberapa tahun menimba pengetahuan dan kemahiran dalam sektor awam sebelum memimpin pertubuhan-pertubuhan itu.

Dalam responsnya, Encik Chan turut mendedahkan bahawa seramai 15 bekas pegawai SAF menyandang pelbagai jawatan kepimpinan kanan sebagai setiausaha tetap, timbalan setiausaha dan ketua eksekutif, misalnya, dan mereka membentuk 10 peratus daripada pelantikan ini.

Encik Chan menambah, agensi-agensi pemerintah biasanya mempertimbangkan calon dari dalam barisan pertubuhan mereka, serta perkhidmatan awam yang lebih luas - termasuk kumpulan seragam - dan sektor swasta.

Apabila menimbangkan bekas pegawai kumpulan seragam, Encik Chan berkata agensi-agensi sektor awam akan mengambil "pandangan yang dipertimbangkan" berhubung pengalaman dan kecekapan atau mutu kerjaya seseorang pegawai bersama dengan calon-calon lain sebelum memilih calon terbaik untuk menyandang jawatan kanan.

Calon-calon dari SAF, atau daripada kumpulan seragam, termasuk Home Team, mempunyai kemahiran yang secara amnya relevan dengan jawatan pengurusan kanan dalam perkhidmatan awam, tambahnya.

Selain itu, para pegawai ini juga memiliki "pengalaman berharga dalam bekerja dengan, memahami, menggalak dan memenangi keyakinan... warga Singapura daripada pelbagai lapisan masyarakat", katanya.

Bagi pegawai yang menunjukkan kemampuan untuk menggalas jawatan kepimpinan tertinggi, mereka diuji dan disiapkan melalui "jawatan yang mencabar dan program kepimpinan", tambahnya.

Encik Chan turut menjelaskan meskipun pengetahuan dan kemahiran khusus dalam sesebuah sektor adalah sebahagian daripada pertimbangan yang diambil kira, ia bukanlah satu-satunya perkara yang dipertimbangkan.

Sumber : Today/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan