Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

15,000 pesakit poliklinik manfaatkan AI bagi pemeriksaan mata

Pemeriksaan untuk penyakit mata kini boleh dilakukan dengan lebih cepat dan tepat, menerusi penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang menghasilkan imej retina untuk mengesan masalah pada mata.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 11 May 2019 11:20PM Dikemas Kini : 12 May 2019 01:23AM

SINGAPURA: Pemeriksaan untuk penyakit mata kini boleh dilakukan dengan lebih cepat dan tepat.

Ini dapat dilakukan menerusi penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang menghasilkan imej retina untuk mengesan masalah pada mata.

Sektor kesihatan awam sudahpun memanfaatkan teknologi AI untuk menjalankan pemeriksaan mata ke atas kira-kira 15,000 pesakit sejak tahun lalu.

Hanya dua minit saja diperlukan untuk mengetahui sama ada anda mempunyai penyakit mata seperti "retinopati diabetes".

Penyakit itu adalah penyebab utama kebutaan yang boleh dicegah dalam kalangan orang dewasa bekerja di negara ini.

Ia berlaku apabila saluran darah retina atau lapisan mata paling dalam menjadi rosak akibat kencing manis.

Sejak tahun lalu, sekurang-kurangnya 15,000 pesakit di enam poliklinik di Sengkang, Yishun, Bedok, Tampines, Ang Mo Kio dan Choa Chu Kang sudahpun menjalani pemeriksaan mata yang menggunakan AI.

Harga bagi setiap pemeriksaan mata bersubsidi adalah antara S$8 hingga S$12 atau S$25 hingga S$30 jika tanpa subsidi.

Menurut pengarah perubatan Pusat Mata Kebangsaan Profesor Wong Tien Yin, terdapat keperluan mendesak bagi penggunaan teknologi dalam sektor penjagaan kesihatan, terutama sekali bagi teknologi AI.

Para pesakit dan masyarakat umum akan dapat meraih faedah daripada kos penjagaan kesihatan yang lebih murah.

Banyak syarikat swasta juga sudah mula memperkenalkan aplikasi penjagaan kesihatan yang menggunakan teknologi AI.

Syarikat milik Singapura TeleMedC, misalnya, sudah mendapat kelulusan daripada Penguasa Sains Kesihatan (HSA) bagi sistem AI mereka.

Setakat ini, pemeriksaan mata untuk kira-kira 500 pesakit yang berusia di antara 26 hingga 70 tahun sudah dijalankan menggunakan sistem syarikat itu.

Sistem tersebut mempunyai kadar ketepatan setinggi 97 peratus untuk mengenal pasti penyakit mata. Namun masalah kesihatan yang sedia ada seperti katarak dan glaukoma masih boleh menghalang proses pengesanannya.

Walaupun begitu, lebih ramai pesakit boleh mendapat manfaat daripada sistem yang menggunakan proses AI.

Dalam usahanya untuk mengurangkan kos, syarikat setempat Skainom sedang mencipta kamera kos rendah untuk memeriksa bahagian dalam mata.

Harganya lima kali lebih rendah berbanding kamera yang ada sekarang yang berharga sekitar S$20,000.

Apabila ia siap dihasilkan nanti, lebih ramai orang dapat melakukan pemeriksaan mata yang lebih murah.

Menurut Profesor Wong lagi, imej-imej yang diperolehi dengan menggunakan AI turut mengandungi banyak data berharga yang dapat juga membantu mengesan penyakit lain seperti masalah ginjal dan jantung dengan lebih awal. 

Sumber : CNA/RR/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan