Images
  • depression
    (Gambar fail: AP)

14% penduduk S'pura pernah alami masalah mental

SINGAPURA: Satu kajian terbaru Institut Kesihatan Mental (IMH) mendapati lebih ramai penduduk Singapura menghadapi masalah kesihatan mental.

Lebih 14 peratus pernah mengalami gangguan mental dalam tempoh hayat mereka di mana mereka mengalami salah satu atau lebih gangguan perasaan muram, rasa cemas dan keresahan atau ketagihan arak.

Peratusan itu lebih tinggi berbanding sekitar 12 peratus kes dalam kajian serupa yang dijalankan pada 2010.

Kajian terbaru IMH turut mendapati lebih 75 peratus pesakit mental Singapura tidak mendapatkan bantuan.

KIAN RAMAI JALANI RAWATAN

Lebih 6,000 orang yang ditinjau mengalami masalah kemurungan, ketagihan arak dan gangguan obsesif kompulsif (OCD) sebagai masalah kesihatan mental yang paling biasa berlaku di negara ini dengan ketiga-tiganya mencatat kenaikan.


Gambar fail. 

Bagi kelompok ini sahaja, lebih 78 peratus tidak mendapatkan rawatan. Meskipun jumlahnya tinggi, ia masih lebih rendah berbanding 82 peratus yang dicatatkan pada 2010.

Seorang pakar statistik bio dari IMH yang ditemui BERITAmediacorp menjelaskan beberapa faktor yang membantu menggalak lebih ramai pesakit supaya mendapatkan rawatan.

"Faktor utama adalah tahap kesedaran masyarakat Singapura terhadap kesihatan mental yang meningkat berbanding tahun-tahun sebelumnya. Ini sekaligus membuktikan secara tidak langsung kalau beberapa program yang dilancarkan oleh Kementerian Kesihatan berkesan," kata Dr Edimansyah Abdin.

Mereka yang menjalani rawatan juga didapati mendapatkan bantuan perubatan lebih awal.

PESAKIT OCD 'LAMBAT' JALANI RAWATAN

Bagaimanapun, kajian itu mendedahkan bahawa pesakit OCD menunggu lebih lama - sehingga 11 tahun - sebelum mendapatkan rawatan berbanding sembilan tahun seperti yang didapati dalam kajian pada 2010.

"Apabila OCD mula-mula berlaku, keadaannya tidak begitu serius. Misalnya, pesakit hanya kerap membasuh tangan dan mereka akan menganggap tindakan itu sebagai untuk menjaga kebersihan," kata Pengarah Jabatan Penyelidikan IMH Dr Mythily Subramaniam.

"Tetapi keadaannya akan menjadi bertambah buruk dari semasa ke semasa."

YANG MUDA MUDAH TERTEKAN

Golongan muda dalam lingkungan usia antara 18 hingga 34 tahun pula lebih mudah mengalami tekanan jiwa.

Ini, kata Presiden Kelab HEAL Dr Radiah Salim, mungkin ekoran trend gaya hidup di Singapura yang terlalu pantas.


(Gambar hiasan: Jeremy Long)

"Saya rasa kian ramai orang yang jatuh sakit kerana mungkin gaya hidup kita di Singapura dengan alam digital semuanya nak dilakukan dengan lebih cepat jadi sama ada di tempat kerja atau di sekolah "pressure" atau tekanan terhadap pekerja mahupun pelajar menjadi lebih berat," jelas Dr Radiah.

KELUARGA, INDIVIDU PERLU MAIN PERANAN

Beliau menambah, selain rawatan menerusi ubat-ubatan ataupun terapi, sokongan keluarga dan teman-teman juga penting dalam proses pemulihan pesakit.

"Kita harus perkukuhkan institusi keluarga supaya ahli keluarga itu berkomunikasi antara satu sama lain dengan lebih baik," katanya

Dr Radiah juga menekankan pentingnya penduduk mengimbangi keperluan diri, keluarga, dan kerjaya.  

- BERITAmediacorp/aq

Top