Images
  • club peacher
    (Gambar: STB)

14 cawangan F&B didenda kerana langgar peraturan COVID-19

SINGAPURA: Pesalah berulang Club Peaches, Alive @ SG Pub dan Tangmen Restaurant merupakan antara 14 kedai makanan dan minuman yang didenda kerana melanggar peraturan COVID-19 pada hujung minggu lalu, menurut Kementerian Kemampanan dan Sekitaran (MSE) pada Isnin (4 Mei).

Sebelas individu juga didenda kerana melanggar langkah pengurusan selamat di premis-premis itu, manakala lagi 63 individu didenda kerana melanggar peraturan COVID-19 di taman dan pantai, menurut MSE dalam satu kenyataan media.

KEDAI-KEDAI DIARAH TUTUP

Club Peaches di Concorde Hotel and Shopping Mall diarah tutup untuk 30 hari dari 3 Mei hingga 1 Jun oleh Lembaga Pelancongan Singapura (STB). MSE menyatakan kelab itu telah membenarkan perhimpunan melebihi lapan orang dan gagal menghadkan interaksi antara para pekerja dengan pelanggan.

Ini merupakan kesalahan ketiga oleh kelab itu. Sebelum ini, ia diarah tutup untuk 20 hari pada Februari lalu setelah kakitangannya didapati bergaul dengan beberapa kumpulan pelanggan yang duduk di meja-meja berasingan. Ia juga didenda S$1,000 kerana membenarkan lebih daripada lima individu duduk semeja semasa Fasa 2 dan menyediakan permainan kepada para pelanggan pada 18 Dis tahun lalu.

Alive @SG Pub di Lucky Plaza diarah tutup untuk 20 hari dari 1 Mei hingga 20 Mei setelah ia didapati membenarkan para pelanggan bermain permainan dadu pada 30 April.

Sebelum ini, ia diarah tutup untuk 10 hari pada April.

STB juga mengarahkan Tangmen Restaurant di Orchard Plaza supaya ditutup untuk 20 hari dari 1 Mei hingga 20 Mei setelah ia didapati menghidangkan minuman keras kepada para pelanggan selepas pukul 10.30 malam pada 30 April.

Ia sebelum ini diarah tutup untuk 10 hari pada Disember tahun lalu.

Satu lagi cawangan yang diarah tutup adalah Club Empire di Orchard Plaza kerana membenarkan pelanggan daripada kumpulan-kumpulan berlainan saling bergaul. Ini merupakan kesalahan pertama kelab itu dan ia akan ditutup untuk 10 hari dari 2 Mei hingga 11 Mei.

DENDA BAGI KEDAI MAKAN, INDIVIDU

Sepuluh cawangan lain dikenakan denda. Lapan didenda S$1,000 setiap satu kerana melanggar peraturan termasuk membenarkan kumpulan pelanggan duduk para jarak kurang satu meter di antara mereka, menayangkan video untuk pelanggan dan menawarkan permainan dadu.

Dua cawangan didenda S$2,000 setiap satu atas kesalahan berulang menempatkan kumpulan-kumpulan pelanggan pada jarak kurang 1 meter.

Berikut adalah senarai cawangan-cawangan tersebut:

1. Beastro LLP di 50 Punggol East (kesalahan kedua)
2. Cable Car 1890's Saloon di 49 Cuppage Road
3. Hermess 8 di 5 Koek Road
4. Five Tapas Bar di Cuppage Terrace
5. Miami Bistro di 50 Punggol East
6. Hai Bin Punggol di 6 Tebing Lane
7. Herbal Bar di 9 Raffles Place
8. Kin Kao Mai Thai Restaurant di 50 Punggol East (kesalahan kedua)
9. LOL Bar di 42 Prinsip Street
10. Shun Fa Restaurant di 74 Pagoda Street

Sembilan pelanggan Club Peaches didenda S$300 setiap seorang.

Dua individu di Pusat Tekka didenda S$300 setiap seorang kerana tidak memakai pelitup apabila tidak makan atau minum, meskipun diberi amaran berkali-kali oleh pegawai penguatkuasaan.

Seramai 63 individu didenda kerana melanggar peraturan COVID-19 di taman dan pantai yang diuruskan oleh Lembaga Taman Negara pada 1 Mei dan 2 Mei. Pelanggaran peraturan itu termasuk berkumpul dalam kumpulan melebihi lapan individu dan memasuki kawasan yang ditutup kepada orang awam.

"Kami menggesa para pengunjung taman supaya mengamalkan tanggungjawab sosial dan memastikan ruang-ruang hijau kami selamat untuk semua orang," menurut MSE.

TEMPAT-TEMPAT DIKUNJUNGI KES COVID-19 TERKAIT KELOMPOK HOSPITAL

Sebanyak 26 tempat awam yang dikunjungi oleh kes-kes berhubung kait kelompok jangkitan Hospital Tan Tock Seng semasa tempoh berjangkit mereka sudah pun menjalani pembersihan dan pembasmian kuman menyeluruh, menurut MSE.

Para pegawai Agensi Sekitaran Kebangsaan dikerah untuk memantau dengan teliti kerja-kerja pembersihan dan pembasmian kuman bagi memastikan ia dilakukan mengikut garis panduan agensi berkenaan, tambahnya.

"Sejajar dengan langkah berjaga-jaga lebih ketat bagi mengurangkan penularan COVID-19 dalam masyarakat, para pemilik perniagaan dan premis diingatkan supaya mempertingkatkan piawai kebersihan dan melaksanakan langkah-langkah bagi memastikan tahap kebersihan yang baik, seperti membersihkan tempat-tempat disentuh ramai dengan lebih kerap, serta mematuhi "langkah pengurusan selamat", menurut MSE.

"Ini adalah penting kerana sekitaran yang selamat akan memberikan ketenangan kepada para pengunjung dan kakitangan dan ia juga baik untuk perniagaan."

Menurut MSE: "Kami memohon kerjasama semua orang supaya terus mengamalkan tanggungjawab sosial dan teguh dalam perjuangan kita menentang COVID-19."

- CNA/HA/ha

Top