Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

132 pelajar menerima Biasiswa dan Anugerah MOE

Seramai 132 pelajar berpeluang menjadikan impian mereka untuk menjadi pendidik masa hadapan satu kenyataan setelah dipilih menerima anugerah dan biasiswa Kementerian Pendidikan (MOE) tahun ini.  

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Seramai 132 pelajar berpeluang menjadikan impian mereka untuk menjadi pendidik masa hadapan satu kenyataan setelah dipilih menerima anugerah dan biasiswa Kementerian Pendidikan (MOE) tahun ini.

Anugerah dan biasiswa yang diberikan termasuk Biasiswa Suruhanjaya Perkhidmatan (PSC) dan Biasiswa Merit Pendidikan.

Kesemua anugerah dan biasiswa itu bertujuan memikat golongan muda berbakat dengan semangat mengajar untuk menjadi guru masa hadapan.

BERITAmediacorp bertemu dengan dua penerima yang sudah menyimpan hasrat dan bercita-cita menjadi seorang pendidik sejak dari kecil lagi.

NURUL'AIN NAZRIN INGIN JADI GURU YANG BERDEDIKASI

Sejak di sekolah rendah lagi, Nurul'Ain Nazrin, 20 tahun amat kagum dengan dedikasi guru-gurunya yang tidak putus-putus membimbing beliau.
Merekalah yang menjadi sumber inspirasi baginya untuk menjadi guru dan impian itu semakin hampir menjadi kenyataan.

Anugerah MOE yang diterimanya menampung yuran kursus selama empat tahun di samping menyediakan program-program mempertingkatkan diri semasa pengajiannya di NTU-NIE.

Nurul'Ain berkata: "Saya berasa sangat bersyukur pertama sekali kerana saya telah menerima anugerah ini kerana ia bukan sesuatu perjalanan yang mudah kerana kita harus mengharungi pelbagai cabaran."

Mahasiswi tahun pertama di NTU-NIE dalam bidang Pendidikan Bahasa Melayu itu berkata anugerah yang diterimanya merupakan satu motivasi untuk terus menjadi seorang pendidik yang tidak lelah membantu murid-muridnya kelak.

Mentelah lagi, semangat untuk membantu memang terserlah dalam dirinya.

Beliau sudah menjadi sukarelawan di Kelab Masyarakat Marsiling selama empat tahun, memberi tuisyen kepada murid-murid Darjah 1 hingga ke Menengah Dua.

Selepas tamat pengajiannya di NTU-NIE, beliau akan memulakan langkah membantu anak didiknya supaya cemerlang dalam pelajaran dan kehidupan.

"Saya ingin menjadi guru yang amat berdedikasi kerana di maktab rendah saya berjumpa dengan guru-guru yang berdedikasi dan ia telah membantu saya dalam perjalanan saya untuk menjadi seorang murid yang lebih baik dan mendapat markah yang lebih bagus dan ia merupakan impak yang kuat kepada murid-murid apabila mereka mendapat guru yang berdedikasi."

NUR JASMINE ROSLAN GURU SUBJEK KIMIA YANG 'FUN'

Antara penerima Biasiswa Merit Pendidikan MOE ialah Nur Jasmine Roslan, 19 tahun.

"Saya berasa amat bersyukur atas peluang ini kerana pertama sekali impian saya adalah untuk menjadi seorang guru. Dengan biasiswa ini saya dapat memastikan impian saya tercapai. Selain itu biasiswa ini dapat membantu meringankan beban kewangan keluarga saya juga," kata Jasmine.

Dalam mengorak langkah untuk mencapai impiannya, beliau juga menerima peluang untuk terus mempertingkatkan kemahirannya untuk menggalas tugas sebagai pendidik generasi masa depan.

Beliau berkata: "Saya rasa biasiswa ini memberi saya banyak peluang seperti mengajar di sekolah menengah dan bekerja di ibu pejabat MOE.Dengan peluang-peluang ini, saya harap ia akan mendedahkan diri saya kepada sifat pekerjaan untuk menjadi guru. Ini mungkin dapat memupuk nilai-nilai yang penting, untuk menjadi seorang cikgu seperti tanggungjawab dalam diri saya."

Mahasiswi tahun pertama di Universiti Nasional Singapura (NUS) dalam jurusan Sains (Kimia) itu pernah menjalani latihan amali di Sekolah Menengah Punggol.

"Pengalaman masuk kelas banyak membuka mata saya dan kita harus mempunyai minda yang terbuka. Saya harus pandai menyesuaikan diri. Dalam satu kelas ada ramai pelajar yang berlainan personaliti," katanya.

"Sebagai guru, saya hendak menjadi seorang guru yang 'fun'. Saya hendak murid-murid saya datang ke kelas dengan gembira, tidak rasa bosan. Saya rasa dengan ini saya boleh menjadi inspirasi kepada pelajar-pelajar saya supaya mereka dapat berjaya dan mencapai impian mereka," ujarnya. 

Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan