Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

13 pengendali perniagaan pelbagai sektor minat sertai tender Gedung Kuning

13 pengendali perniagaan telah mengutarakan minat mereka untuk beroperasi di premis 73 Sultan Gate yang disewa oleh Restoran Mamanda sekarang.

Anggaran Waktu Membaca:
13 pengendali perniagaan pelbagai sektor minat sertai tender Gedung Kuning

(Gambar: Laman web Mamanda)

SINGAPURA: 13 pengendali perniagaan telah mengutarakan minat mereka untuk beroperasi di premis 73 Sultan Gate yang disewa oleh Restoran Mamanda sekarang.

Ini menyusuli satu iklan notis oleh Yayasan Warisan Melayu (MHF) yang membuka tawaran kepada pihak awam untuk meneruskan sewa di bangunan warisan itu setelah Restoran Mamanda berhenti beroperasi menjelang April ini.

21 wakil perniagaan hadir siang tadi (10 Jan) untuk mendengar taklimat tender bagi Gedung Kuning yang terletak di 73 Sultan Gate.

Mereka mewakili pelbagai sektor seperti makanan dan minuman (F&B), hotel, prasekolah, pendidikan serta latihan.

Antara pihak-pihak yang dikenal pasti adalah SSA Consulting Group, Islamic Restaurant, kafe Malayan Council dan FYIGroup Vantage.

MHF PERTIMBANGKAN MODEL PERNIAGAAN, RANCANGAN PENYENGGARAAN & KONSEP SERTA PRORAM

Taklimat hampir sejam itu menjelaskan penggunaan yang dibenarkan bagi Gedung Kuning.

Di samping itu, MHF juga membutirkan kriteria-kriteria penilaian yang akan ditaksir ke atas dokumen cadangan yang dikemukakan oleh pihak-pihak berminat.

Selain harga sewa, ada tiga kriteria utama lain yang bakal dipertimbangkan MHF.

Pertama, model perniagaan mampan dengan disokong oleh unjuran kewangan yang mantap.

Kedua, rancangan pengendali untuk menyediakan rutin penyenggaraan secara konsisten agar nilai aset Gedung Kuning dapat terus dipelihara.

Ketiga, rancangan konsep dan program yang selaras dengan tujuan mewujudkan satu ruang masyarakat bersepadu sambil menyuntik kesegaran ke atas premis warisan berkenaan.

"Konsep kami adalah bergabung tenaga dan kami sudah berbual dan sedang berbincang dengan tiga hingga empat syarikat – salah satu syarikat yang buat aturcara, lagi satu restoran untuk mengendalikan restoran dan yang paling penting saya rasa adalah untuk teknologi," kongsi Shila Yatiman, Pengarah FYIGroup Vantage.

TEMPOH SEWA BARU 19 BULAN UNTUK PENGENDALI SETERUSNYA

Tender ditutup pada 15 Feburari ini, jam 3 petang.

Pihak yang berjaya memenangi tender itu nanti akan menyewa bangunan warisan tersebut selama 19 bulan, iaitu dari April ini hingga November 2020, dengan pilihan untuk memperbaharui tempoh sewa tersebut buat lagi tiga tahun berikutnya.

Gedung Kuning, yang bertingkat dua dan seluas 1,231 meter persegi, berdiri megah di tengah-tengah kawasan Kampong Gelam sejak tahun 1860-an lagi.

Ia disewa oleh Restoran Mamanda pada 2012 yang menjual hidangan-hidangan tradisional Melayu selain menganjurkan majlis perkahwinan dan acara-acara lain. Mamanda diberi notis tamat tempoh sewa pada Oktober 2018 untuk mengosongkan premis itu 31 Mac ini atas "beberapa sebab yang dikesali".

Ini termasuk kegagalan pihak Mamanda untuk mematuhi semua tanggungjawab dalam kontrak semasa tempoh sewa. Notis itu disusuli dengan beberapa lagi utusan surat guaman yang terakhir bertarikh Disember lalu.

Pengasas dan Pengarah Urusan Mamanda, Zulkarnine Hafiz, dalam satu wawancara lewat tahun lalu berkata restoran itu dalam usaha membantu para pelanggan yang terjejas untuk mencari lokasi lain yang sesuai.

Khususnya, mereka yang sudahpun membuat tempahan bagi majlis perkahwinan dan acara-acara lain selepas tarikh 1 April 2019. 

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan