Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

13,000 rakyat S'pura lakukan umrah hujung tahun ini

Jumlah warga Singapura yang mengerjakan umrah pada musim cuti sekolah November-Disember tahun ini, kekal tinggi.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Jumlah warga Singapura yang mengerjakan umrah pada musim cuti sekolah November-Disember tahun ini, kekal tinggi.

Presiden Ejen-ejen Pelancongan Islam Singapura, Ustaz Tengku Mohd Fouzy Jumat mendedahkan, 13,000 jemaah Singapura sudahpun membuat pendaftaran untuk menunaikan ibadah umrah dalam dua bulan terakhir itu.

Kerja-kerja peningkatan di Masjidil Haram yang hampir siap dan kemudahan baru seperti kereta api laju ulang-alik Makkah dan Madinah merupakan antara tarikan baru bagi para jemaah.

Daripada 13,000 jemaah Singapura yang sudah dan akan menunaikan umrah pada bulan November dan Disember tahun ini, 50 peratus merupakan golongan jemaah yang pernah menunaikan umrah dalam tempoh dua tahun yang lalu.

JEMAAH TIDAK KEBERATAN BAYAR KOS TAMBAHAN

"Kalau jemaah melakukan umrah dalam tempoh dua tahun yang sudah, mereka dikenakan bayaran (yuran tambahan) 2,000 Riyal (S$740)," kata Ustaz TM Fouzy sebagai memperingati mereka yang berniat untuk menunaikan ibadah umrah sekali lagi.

(Gambar: BERITAmediacorp)

(Gambar: BERITAmediacorp)

Menurut beberapa GSA yang BERITAmediacorp temui, para jemaah Singapura rata-rata sedia membayar lebih meskipun terjejas dengan peraturan Arab Saudi tidak menggalakkan jemaah melakukan ibadah umrah berulang kali.

"Walaupun jemaah perlu membayar 2,000 Riyal, mereka tahu macam mana nak mengatasi masalah itu kerana apa nikmatnya, keadaan kemudahan yang baik, harga yang baik," jelas Pengurus Urusan Shahidah Travel, Encik Ayoob Angullia.

Ustaz TM Fouzy turut akur bahawa kemudahan-kemudahan sedia ada di tanah suci sekarang ini memudahkan para jemaah.

"Prasarana untuk para jemaah umrah semuanya sudah ada daripada segi kenderaan, hotel dan perkhidmatan yang disediakan di tanah suci. Jadi para jemaah tidak akan menghadapi apa-apa masalah dari segi perkhidmatan untuk menjalankan ibadah umrah," kata beliau.

JEMAAH NIKMATI KHIDMAT KERETA API LAJU

Salah satu perkhidmatan baru yang mula dinikmati para jemaah Singapura adalah khidmat kereta api laju ulang alik dari Makkah ke Madinah.

(Gambar: Bandar Aldandani/AFP)

(Gambar: Bandar Aldandani/AFP)

Rata-rata para jemaah gembira dengan khidmat kereta api laju yang baru ditawarkan itu. Malah, ada yang menyifatkannya sebagai "menyenangkan", apatah lagi bagi mereka yang kali pertama menjejakkan kaki di tanah suci. Jemaah Singapura yang berangkat ke Arab Saudi beberapa hari lalu menjadi antara kumpulan pertama yang dapat merasakan pengalaman baru itu.

Perjalanan sehala dari Makkah ke Madinah menggunakan khidmat kereta api berkenaan mengambil masa kira-kira dua jam berbanding sekurang-kurangnya lima jam jika menaiki bas seperti lazimnya, atau kereta.

(Gambar: Bandar Aldandani/AFP)

(Gambar: Bandar Aldandani/AFP)

Sekitar 800 jemaah Shahidah Travel dijangka menikmati perjalanan kereta api laju, sehingga hujung tahun ini.

Khidmat tambahan ini akan dilanjutkan ke musim umrah Ramadan sehingga akhir Syawal.

Kerajaan Arab Saudi dalam pada itu mendedahkan kelmarin bahawa hampir sejuta visa umrah dikeluarkan sejak lewat Oktober lalu.

Saudi Gazette melaporkan bahawa jumlah visa terbanyak dikeluarkan untuk jemaah dari Pakistan, iaitu sekitar 262,700. Jemaah Indonesia merupakan yang ketiga paling ramai mendapatkan visa umrah (131,900) dan jemaah Malaysia pula di tangga kelima (21,770).

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan