129 pelajar, 17 kakitangan sekolah positif COVID-19 sepanjang 3 bulan lalu, dedah Chan Chun Sing
Sepanjang tiga bulan lalu, seramai 129 pelajar diuji positif COVID-19, menurut Menteri Pendidikan Chan Chun Sing pada Jumaat (30 Jul).
SINGAPURA: Sepanjang tiga bulan lalu, seramai 129 pelajar diuji positif COVID-19, menurut Menteri Pendidikan Chan Chun Sing pada Jumaat (30 Jul).
Perangkaan itu membentuk 0.03 peratus daripada keseluruhan jumlah pelajar di Singapura.
Para pelajar yang terjejas terdiri daripada murid sekolah rendah hingga ke prauniversiti, tulis beliau dalam catatan Facebooknya, sambil menambah bahawa 17 kakitangan sekolah juga terjangkit COVID-19 sepanjang tempoh yang sama.
Menurut Encik Chan, Kementerian Pendidikan (MOE) akan terus mengambil pendekatan "bersasar" dalam menangani kes jangkitan COVID-19 di sekolah, seperti mengasingkan kontak rapat kes positif menerusi cuti ketidakhadiran (LOA) atau Perintah Kuarantin.
"Bagi kes-kes luar biasa di mana situasinya kurang jelas, kami mungkin akan mengarahkan seluruh sekolah menjalani pembelajaran di rumah (HBL) bagi memutuskan sebarang rantaian jangkitan untuk memberikan Kementerian Kesihatan (MOH) masa untuk menguji dan menyiasat dengan teliti sebelum membuka semula sekolah," katanya.
"Kami akan terus memantau keadaan dengan teliti dan menilai sama ada sebarang penyesuaian diperlukan sejajar dengan garis panduan peringkat nasional, terutama sekali sedang kita beralih kepada usaha menangani COVID-19 sebagai penyakit endemik."
Encik Chan berkongsi bahawa beliau turut menerima maklum balas daripada para ibu bapa yang melahirkan hasrat untuk beralih kepada pembelajaran di rumah sepenuhnya dan juga daripada mereka yang tidak bersetuju dengan pendekatan tersebut. Beliau berkata bahawa pandangan bercampur seperti itu memang difahami.
Singapura "tidak mungkin" menyaksikan sifar kes masyarakat dalam masa terdekat ini dan vaksinasi untuk kanak-kanak yang lebih kecil belum tersedia buat masa ini, katanya.
"GANGGUAN PADA KEBIASAAN"
Sungguhpun demikian, HBL sepenuhnya boleh menjejas dengan ketara pembelajaran pelajar, serta kesejahteraan sosio-emosi dan mental, tambah Encik Chan.
Selain itu, tidak semua pelajar mempunyai persekitaran rumah yang sesuai untuk pembelajaran di rumah dan terdapat ramai ibu bapa yang terpaksa membuat aturan penjagaan alternatif, dan ini mungkin tidak selamat untuk kanak-kanak.
Di samping itu, Encik Chan berkata para guru juga harus mengimbangi tuntutan tambahan dalam membuat persiapan dan menjalankan kelas secara online sambil menjaga keluarga mereka sendiri.
"Kita semua tahu bahawa gangguan terhadap kebiasaan kita boleh menimbulkan kerisauan, tekanan dan rasa putus asa, yang boleh membawa kesan yang serius dan nyata pada jangka panjang. Maka itu, apakah penyelesaian mampan untuk maju ke hadapan?" tanya Encik Chan.
"Sebagai seorang bapa, saya mahu memberikan jaminan kepada para ibu bapa yang lain bahawa sekolah-sekolah kita tetap tempat yang selamat untuk belajar. Kita juga sudah melaksanakan langkah-langkah pengurusan selamat yang ketat untuk mengurangkan risiko penularan," katanya, sambil menambah langkah pemantauan juga dilaksanakan bagi mengesan sebarang kes positif COVID-19 dengan pantas.
Encik Chan mengeluarkan komen tersebut selepas satu kelompok baru terkait dengan seorang pekerja pembersihan di Sekolah Rendah Punggol pada Selasa. Setakat Khamis, sebanyak 12 kes dikesan daripada kelompok tersebut.
Semua murid dan kakitangan sekolah akan menjalani ujian swab wajib sebagai langkah berjaga-jaga untuk melindungi mereka dan mencegah penularan lanjut dalam masyarakat, menurut MOE.
Pembelajaran di rumah akan dilaksanakan untuk semua murid sehingga 6 Ogos.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.