Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

12 kertas kajian para mahasiswa dibentangkan dalam Seminar Manuskrip Melayu 2017

Peluang ini bukan sahaja akan mendorong para pelajar untuk menghayati manuskrip Melayu tetapi mereka juga boleh menimba pengalaman sejarah masyarakat. 

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAMediacorp: Seramai 100 pelajar menghadiri Seminar Manuskrip 2017 sempena pameran ‘Tales of the Malay World: Manuscripts and Early Books’ yang sedang berlangsung di Perpustakaan Negara (NLB).

Seminar anjuran bersama Jabatan Bahasa dan Kebudayaan Melayu NIE/NTU dan NLB itu disokong Jawatankuasa Pembelajaran dan Penggalakan Penggunaan Bahasa Melayu (MLLPC).

Ia diadakan khusus bagi para pelajar institusi pengajian tinggi, maktab rendah dan menengah atas.

SUDUT PANDANGAN PARA PELAJAR DIKETENGAHKAN

Tetamu terhormat Setiausaha Parlimen Kanan Pendidikan Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim mengalu-alukan usaha untuk menggalakkan belia dan para pelajar Melayu membaca manuskrip Melayu.

(Gambar-gambar: Dr Sa'eda Buang)

Menurutnya peluang ini bukan sahaja akan mendorong para pelajar untuk menghayati manuskrip Melayu tetapi mereka juga boleh menimba pengalaman sejarah masyarakat.

Bertemakan ‘Oleh Pelajar Untuk Pelajar’, seminar itu juga memberi ruang kepada para pelajar untuk berkongsi penghayatan mereka mengenai manuskrip Melayu.

“Pada mulanya saya mahu mengkaji teks yang dalam tulisan Jawi. Tetapi selepas meneliti teks itu saya menghadapi cabaran untuk membacanya dan kemudian saya mengambil keputusan untuk mencari teks yang berupa dalam tulisan Rumi,” kata Nur Liyana Osman, mahasiswa tahun akhir NIE/NTU yang membentangkan kertas kajian mengenai konsep ‘keadilan’ dalam teks Hikayat Hang Tuah.

(Gambar-gambar: Dr Sa'eda Buang)

TIDAK IKUTI KURSUS SASTERA, TIDAK MENGAPA

Bahkan, mahasiswa yang tidak mengikuti sebarang kursus bahasa atau sastera Melayu di universiti juga diberi peluang untuk turut sama mengkaji dan membentangkan kertas kajian mereka di seminar tersebut.

“Ia memberi peluang kepada para pelajar untuk bersuara dalam satu bidang yang dahulunya dikatakan hanya dikendalikan ataupun disuarakan oleh para akademik. Tetapi kali ini mereka diberikan suara untuk menyatakan sudut pandangan mereka terhadap manuskrip,” kata Dr Sa'eda Buang, Pengurusi Seminar Manuskrip Melayu 2017.

(Gambar-gambar: Dr Sa'eda Buang)

Sebanyak 12 kertas seminar berkenaan manuskrip Melayu dibentangkan.

Selain para mahasiswa universiti tempatan, turut diundang adalah mahasiswa dari Universiti Malaya dan Universiti Sains Malaysia Malaysia.

Pihak penganjur merancang untuk mengadakan seminar serupa pada masa depan.

Hasil penyelidikan 12 mahasiswa itu juga bakal dibukukan pada tahun depan.

Pameran “Tales of the Malay World: Manuscripts and Early Books” berlangsung di NLB sejak Ogos lalu hingga Februari 2018.  

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan