Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

117 kes baru COVID-19 dalam masyarakat; 2 kelompok baru dikesan

Singapura melaporkan 117 kes baru COVID-19 dalam masyarakat setakat 12.00 tengah hari Ahad (25 Jul), termasuk 46 kes yang terkait dengan kelompok Pelabuhan Perikanan Jurong dan lima lagi dengan kelompok KTV.

Anggaran Waktu Membaca:
117 kes baru COVID-19 dalam masyarakat; 2 kelompok baru dikesan

Kerja-kerja pembersihan di Pelabuhan Perikanan Jurong. (Gambar: Grace Fu/Facebook)

Diterbitkan : 26 Jul 2021 07:56AM Dikemas Kini : 26 Jul 2021 07:59AM

SINGAPURA: Singapura melaporkan 117 kes baru COVID-19 dalam masyarakat setakat 12.00 tengah hari Ahad (25 Jul), termasuk 46 kes yang terkait dengan kelompok Pelabuhan Perikanan Jurong dan lima lagi dengan kelompok KTV.

Sebanyak 43 jangkitan dikaitkan dengan kes-kes terdahulu dan sudah dikuarantin dan 36 dikesan menerusi ujian pemantauan.

Baki 38 jangkitan tidak berhubung kait dengan kes-kes terdahulu, menurut Kementerian Kesihatan (MOH).

Dua kes melibatkan warga emas berusia 70 tahun ke atas yang tidak divaksin atau belum divaksin sepenuhnya dan berisiko menghidap penyakit serius, tambah MOH.

MOH juga melaporkan dua kelompok baru yang masing-masing mempunyai tiga jangkitan. Kelompok-kelompok baru itu terkait dengan Kes 65893 dan 65846.

MOH bagaimanapun tidak memberikan maklumat lebih lanjut mengenai kedua-dua kes ini.

Tiga kelompok sudah ditutup setelah tiada kes terkait dengannya selama dua tempoh inkubasi, tambah kenyataan MOH itu lagi.

Kelompok-kelompok tersebut adalah terkait dengan 115 Pasar dan Pusat Penjaja Bukit Merah, 119 Bukit Merah View dan Kes 64394.

Sebanyak 94 kes berhubung kait dengan kelompok jangkitan di 115 Pasar dan Pusat Penjaja Bukit Merah, sementara lapan dikaitkan dengan 119 Bukit Merah View.

Kementerian Kesihatan menyatakan bulan lalu bahawa jangkitan COVID-19 di pasar dan pusat penjaja mungkin menular disebabkan oleh barisan orang yang beratur panjang dan permukaan di tandas.

Terdapat empat kes dalam kelompok jangkitan yang berhubung kait dengan Kes 64394, seorang pesara warga tempatan berusia 81 tahun yang belum selesai divaksin sepenuhnya. Dia disahkan positif COVID-19 pada 22 Jun.

Buat masa ini terdapat 25 kelompok aktif COVID-19 di Singapura, dengan setiap satu melaporkan antara tiga hingga 792 kes.

Dengan 792 jangkitan, kelompok Pelabuhan Perikanan Jurong/ Pasar dan Pusat Penjaja Hong Lim adalah kelompok aktif terbesar di Singapura.

KIT UJIAN KENDIRI ART BAGI PENDUDUK BERDEKATAN 2 PASAR BARU

Menurut MOH, ia sedang bekerjasama dengan Persatuan Rakyat (PA) untuk mengagihkan kit ujian pantas antigen(ART) kepada para individu yang telah mengunjungi pasar dan pusat penjaja tertentu dalam tempoh 14 hari lalu.

Ia adalah sebahagian daripada siasatan kementerian itu ke atas kes-kes jangkitan COVID-19 yang melibatkan pasar dan pusat penjaja yang berkemungkinan tercetus melalui penjual ikan yang mengunjungi Pelabuhan Perikanan Jurong untuk mengambil bekalan dan menjual bekalan mereka di pasar-pasar dan pusat-pusat penjaja.

Pengambilan kit ART itu akan dijalankan dari 26 Jul hingga 27 Julai di Pusat Jawatankuasa Penduduk berdekatan dua pasar baru - Pasar dan Pusat Penjaja Geylang Bahru dan 146 Pasar Teck Whye Avenue.

MUNGKIN LEBIH BANYAK KES DALAM BEBERAPA HARI MENDATANG: MOH

MOH menyatakan jumlah keseluruhan kes baru dalam masyarakat meningkat dari 324 pada minggu sebelumnya kepada 1,056 kes pada minggu lalu.

"Kita mungkin akan menyaksikan lebih banyak kes dalam masa beberapa hari mendatang sedang kami meningkatkan usaha untuk mengesannya bagi mengekang penularan dalam masyarakat," tambah MOH.

Jumlah kes tanpa hubung kait dalam masyarakat juga meningkat dari 24 kes pada minggu sebelumnya kepada 136 kes pada minggu lalu.

Sebanyak 524 kes kini dirawat di hospital, dengan kebanyakannya sedang beransur pulih dan terus dipantau.

Kini terdapat 12 kes serius yang memerlukan sokongan oksigen dan dua lagi yang dalam keadaan kritikal di unit jagaan rapi. Kesemua 14 kes itu belum divaksin sepenuhnya.

Tujuh daripada mereka berusia lebih 60 tahun, yang tidak divaksin atau belum selesai divaksin sepenuhnya dan mereka kini sakit teruk, menurut MOH.

"Terdapat bukti berterusan yang menunjukkan bahawa vaksinasi berupaya membantu mencegah penyakit serius jika seseorang terjangkit," tekan kementerian itu.

"Sepanjang 28 hari lalu, 15 kes tempatan memerlukan sokongan oksigen tambahan, dimasukkan ke ICU atau meninggal dunia. Enam daripada mereka tidak divaksin, sembilan belum lengkap divaksin dan tiada yang sudah divaksin sepenuhnya."

Terdapat juga lapan kes import, yang sudah dikenakan Notis Jangan Keluar Rumah (SHN) atau diasingkan sebaik tiba di sini. Empat daripada jangkitan itu dikesan sebaik tiba di Singapura, sementara empat lagi jatuh sakit semasa menjalani SHN atau pengasingan.

Secara keseluruhannya, Singapura melaporkan 125 kes baru COVID-19 pada Ahad.

Seorang wanita berusia 83 tahun meninggal dunia ekoran komplikasi akibat jangkitan COVID-19 pada Sabtu, menjadikannya kematian ke-37 di Singapura akibat jangkitan koronavirus itu.

Wanita warga Singapura itu tidak divaksin dan dikaitkan dengan kelompok Bukit Merah View 121, menurut MOH.

Dalam sebuah video yang dimuat naik ke laman media sosial pada Sabtu, Perdana Menteri Lee Hsien Loong menggesa warga emas supaya mendapatkan vaksin bagi melawan COVID-19, dengan memberi jaminan bahawa vaksin-vaksin tersebut selamat.

"Jangan tunggu sehingga terlambat," kata PM Lee. "Ramai orang yang sebaya dengan anda sudah divaksin, termasuk ramai rakan dan jiran anda. Lindungilah diri anda, dan juga keluarga anda."

Setakat Ahad, Singapura melaporkan 64,182 kes COVID-19 dan 37 kematian akibat jangkitan virus tersebut.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan