Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

11 pelajar jurusan perubatan antara penerima biasiswa SMEF berjumlah S$71,000

Jumlah rekod sejumlah S$71,000 diagihkan hari ini (3 Mac) kepada 24 pelajar oleh Dana Pendidikan Muslim Singapura (SMEF).

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Jumlah rekod sejumlah S$71,000 diagihkan hari ini (3 Mac) kepada 24 pelajar oleh Dana Pendidikan Muslim Singapura (SMEF).

Buat pertama kalinya juga, jumlah terbesar seramai 11 pelajar universiti jurusan perubatan menerima agihan terbesar sebanyak $5,000 setiap seorang.

Permohonan daripada pelajar diploma juga merupakan yang terbesar.

SMEF yang dilancarkan pada tahun 2013 - baru berusia lima tahun - ditubuhkan hasil inisiatif sekumpulan aktivis masyarakat yang mahu mengatasi kurangnya karyawan Melayu/Islam dalam bidang Undang-Undang dan Perubatan.

Ia diuruskan oleh Angkatan Karyawan Islam (AMP) selaku pengamanahnya.

'ADA BANYAK PILIHAN LAIN SELAIN NUS'

Bermula dengan dua penerima pada 2013, berkat sokongan meningkat para penderma, dana itu kini membantu jumlah terbesar pelajar perubatan di luar negara.

"Mahu belajar perubatan, kita mahu fikir tahun ini kita harus ingatkan diri kalau tidak dapat tempat di NUS, jangan putus asa. Ada banyak pilihan lain - boleh belajar di luar negara. Kalau di luar mahal, ada sedikit bantuan di sini," kata Dr Ameen Talib, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan SMEF.

Menurutnya lagi, para pelajar yang ingin melanjutkan pelajaran tetapi tidak mendapat bantuan yang mencukupi, juga boleh berikhtiar untuk alternatif-alternatif lain. Misalnya dua di antara pelajar yang menerima anugerah SMEF hari ini memutuskan untuk belajar di Jerman kerean universiti di negara tersebut tidak mengenakan sebarang bayaran.

Meskipun begitu, para pelajar di universiti berkenaan perlu mempelajari Bahasa Jerman.

ILYAS SYAHMI - TEKAD BELAJAR BIDANG PERUBATAN MESKI KOS PENGAJIAN TINGGI

Antara penerima biasiswa hari ini (3 Mac) ialah Mohammad Ilyas Syahmi Mustaffa, yang kini dalam tahun keempat pengajian sarjana muda perubatan di Universiti Kebangsaan Ireland Galway. Kos pengajiannya mencecah setengah juta dolar.

"Memang cita-cita saya ialah untuk kembali ke Singapura untuk menjadi pakar dalam bahagian perubatan kecemasan dan menyumbang kembali kepada masyarakat di Singapura," kata Ilyas.

Ilyas akan menggunakan wang $5,000 itu untuk antara lain membiayai kertas kajiannya berhubung perubatan kecemasan.

Ini, selain meneruskan kerja-kerja bantuan kemanusiaan yang dilakukannya di luar negara.

Bukan itu sahaja, Ilyas Syahmi berazam untuk mempunyai klinik kecilnya sendiri di kawasan perumahan.

Tiga pelajar undang-undang yang sedang menuntut di luar negara pula, mendapat Biasiswa SMEF-Profesor Ahmad Ibrahim bernilai $3,000 seorang.

SUMBANGAN JADI MOTIVASI BAGI PELAJAR CAPAI KEJAYAAN

Sementara itu, biasiswa SMEF-Leftenan Adnan mengagihkan $700 kepada setiap 10 penerimanya, setelah menyaksikan jumlah terbesar - 51 pemohon yang layak, tahun ini.

Biasiswa ini mengiktiraf para pelajar yang mengalami cabaran kewangan serta beberapa cabaran lain tetapi berjaya mengatasinya untuk mengejar pendidikan.

Antara pelajar yang menerima termasuklah pelajar tahun pertama, Diploma Pengurusan Pengalaman Pelanggan bersama Perniagaan, Politeknik Republic, Nurina Majdah, yang hidup sukar kerana ibu bapanya berpisah dan ibunya pula menghidap ketumbuhan otak.

Namun beliau terus cemerlang dalam bidang kepimpinan di sekolah dan pendidikannya.

"Ia memberi saya motivasi untuk sentiasa melakukan yang terbaik dan jangan berputus asa untuk mencapai kejayaan yang saya impikan," kata Nurina.

AMRIN: PENERIMA AKAN MENJADI SUMBER INSPIRASI KELAK

Turut hadir di acara itu ialah Setiausaha Parlimen Dalam Negeri merangkap Kesihatan Amrin Amin.

Berucap di acara itu, beliau mengingatkan agar para penerima bantuan hari ini menjadikan sikap dermawan dan baik budi para penderma sebagai rangsangan bagi mereka melakukan hal yang sama pada masa depan.

"Satu hari nanti kamu juga boleh menjadi inspirasi kepada generasi muda seterusnya dalam masyarakat anda," ujar Encik Amrin kepada para pemerina biasiswa hari ini.

Pihak SMEF komited untuk terus membantu lebih ramai pelajar meningkatkan pencapaian pelajaran mereka, dengan mengagihkan jumlah bantuan yang sama jika tidak lebih, pada tahun depan. 

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan