Images

11 firma didenda kerana tidak utamakan WFH; pemeriksaan akan dipertingkat

SINGAPURA: Sebanyak 11 syarikat didenda kerana gagal memastikan bekerja dari rumah (WFH) dijadikan sebagai aturan kerja pilihan bagi para pekerja yang berupaya berbuat demikian, menurut Kementerian Tenaga Manusia (MOM) dan Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) pada Isnin (24 Mei).

Syarikat-syarikat yang didenda adalah antara lebih 530 tempat kerja yang diperiksa antara 8 Mei hingga 21 Mei, menurut kedua-dua kementerian itu dalam satu kenyataan bersama.

Pada 8 Mei, Singapura mengurangkan jumlah pekerja yang dibenarkan pulang ke tempat kerja kepada 50 peratus, berbanding 75 peratus sebelum itu.

Sejak 16 Mei pula, ia diperketatkan lagi kepada aturan bekerja dari rumah (WFH) sebagai aturan kerja yang digalakkan.

Menurut MOM dan MTI, kedua-dua pihak akan mempertingkatkan pemeriksaan di tempat kerja untuk memastikan garis panduan terkini dilaksanakan dengan betul.

"Semua kakitangan yang tugas mereka boleh dilakukan dari rumah mesti berbuat demikian. Majikan mesti menyediakan kemudahan yang diperlukan dan mengarahkan kakitangan mereka supaya bekerja dari rumah seberapa mungkin," tegas kedua-dua kementerian itu.

Hanya para kakitangan yang tidak dapat bekerja dari rumah disebabkan oleh ciri-ciri tugas mereka, seperti memerlukan akses kepada peralatan yang hanya terdapat di tempat kerja, dapat terus bekerja di tempat kerja masing-masing, tambah kedua-dua pihak berkuasa.

MOM dan MTI juga mengingatkan semua majikan yang menjalankan operasi di premis mereka sendiri supaya mengisytiharkan perincian tenaga kerja masing-masing secara online sebelum 28 Mei dan mengemas kini maklumat setiap kali terdapat perubahan yang ketara.

"Tanpa mengira jumlah pekerja yang diisytiharkan, ia menjadi tanggungjawab setiap majikan untuk memastikan agar semua kakitangan (bekerja dari rumah) jika mereka boleh berbuat demikian," menurut kementerian-kementerian itu.

Tindakan penguatkuasaan akan diambil terhadap pihak majikan sekiranya pekerja yang boleh bekerja dari rumah didapati bekerja di tempat kerja mereka. Ini walaupun bilangan pekerja di lokasi adalah pada atau di bawah jumlah yang diisytiharkan, menurut kedua-dua kementerian tersebut.

Di bawah peraturan yang diperketatkan itu, yang berkuat kuasa sehingga 13 Jun, perhimpunan sosial di tempat kerja juga tidak dibenarkan.

Para kakitangan boleh makan di tempat kerja tetapi ia mesti dilakukan secara sendirian dan pada waktu berperingkat.

Majikan juga perlu terus menjarakkan waktu mula kerja bagi para kakitangan mereka yang perlu bertugas di tempat kerja dan melaksanakan waktu kerja fleksibel.

Para pekerja juga tidak boleh bergaul dengan pekerja dari tempat kerja atau tapak kerja lain.

Pelitup mesti terus dipakai di tempat kerja pada setiap masa.

Pelanggaran langkah-langkah keselamatan di tempat kerja boleh dilaporkan melalui aplikasi SnapSAFE. Identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan, menurut kedua-dua kementerian itu.

- CNA/TQ/tq

Top