Images
  • bas
    Dua bas SBS Transit dan sebuah bas Go-Ahead terbabit dalam kemalangan di Tampines. (Gambar-Gambar: Singapore Bus Drivers Community/Facebook)

11 dibawa ke hospital ekoran kemalangan berantai di Tampines libatkan 3 bas

SINGAPURA: Seramai 11 orang dihantar ke hospital menyusuli kemalangan melibatkan tiga bas di Tampines pada Rabu (12 Feb).

Menurut polis, mereka terdiri daripada seorang pemandu bas dan 10 penumpang yang berusia antara 21 dengan 65 tahun. Kesemua mangsa berada dalam keadaan sedar semasa dihantar ke Hospital Besar Changi.

SBS Transit pada Khamis (13 Feb) mengesahkan bahawa ia mengendalikan dua daripada bas terbabit, iaitu khidmat bas nombor 19 dan 37.

"Pada sekitar 6.45 pagi semalam, dua daripada bas kami iaitu khidmat bas nombor 19 dan 37, melakukan perhentian di persimpangan antara Tampines Avenue 7 dengan Tampines Avenue 9 bagi mematuhi isyarat lampu trafik merah.

"Bas khidmat nombor 37 dilanggar oleh sebuah bas, iaitu khidmat bas nombor 34, dari belakang sekali gus menyebabkannya melanggar khidmat bas nombor 19.

"Mujur, para pemandu bas dan penumpang dari kedua-dua bas yang dikendalikan kami tidak mengalami kecederaan," kata naib presiden kanan perhubungan korporat SBS Transit, Tammy Tan.


Syarikat pengendali Go-Ahead Singapore juga mengesahkan bahawa salah sebuah basnya terbabit dalam nahas tersebut.

"Sebuah bas Go-Ahead Singapore iaitu khidmat bas nombor 34 terlibat dalam satu kemalangan pada sebelah pagi 12 Februari apabila ia melanggar sebuah lagi kenderaan di Tampines Avenue 7.

"Kami sudahpun menghubungi para penumpang yang cedera untuk menghulurkan bantuan sepenuhnya.

"Kami mengucapkan terima kasih kepada jabatan kecemasan atas tindak balas pantas dan kami memberi kerjasama kepada pihak berkuasa sedang siasatan diteruskan."

Siasatan polis sedang dijalankan. 

- CNA/AI/ai

Top