Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

100 pemimpin muda antarabangsa bincang isu-isu perpaduan, keagamaan

Dengan ancaman pengganasan berbaur perkauman yang berleluasa, pemahaman tentang perbezaan agama dan perpaduan memang sangat dialukan.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Dengan ancaman pengganasan berbaur perkauman yang berleluasa, pemahaman tentang perbezaan agama dan perpaduan memang sangat dialukan.

Itulah antara isu yang dibincangkan sekitar 100 delegasi belia tempatan, ASEAN dan antarabangsa semasa satu Program Pemimpin Muda atau The Young Leaders' Programme (YLP) yang diadakan di Pusat Konvensyen Raffles City dari 18 hingga 19 Jun.

Program itu bersempena dengan Persidangan Antarabangsa mengenai Masyarakat Bersepadu (ICCS) yang diadakan buat julung-julung kalinya.

Petang tadi (19 Jun), mereka berkongsi idea yang dijana serta isu-isu yang dibincangkan sejak program yang bermula semalam itu bersama Presiden Halimah Yacob menerusi satu sembang santai.

Presiden Halimah Yacob dan Menteri Negara Kanan Ehwal Luar merangkap Pertahanan, Dr Mohamad Maliki Osman, di Program Pemimpin Muda atau The Young Leaders' Programme (YLP) yang diadakan di Pusat Konvensyen Raffles City dari 18 hingga 19 Jun. (Gambar: Syawal Yusoff)

Menteri Negara Kanan Ehwal Luar merangkap Pertahanan Dr Mohamad Maliki Osman pula memegang peranan sebagai moderator bagi sesi dialog itu.

TANGANI TANGGAPAN SATU AGAMA LEBIH BAIK DARI AGAMA LAIN

Bertemakan keharmonian antara agama, identiti dan perpaduan sosial, antara isu-isu yang dibincangkan termasuk bagaimana memastikan perpaduan sosial boleh bertahan menjangkaui generasi sedia ada dan cara menangani tanggapan bahawa satu agama lebih baik daripada satu agama yang lain.

“Mereka akur bahawa ini adalah cabaran hari ini kerana terdapat banyak pengaruh-pengaruh yang mungkin dapat memecahkan masyarakat. Sebagai pemimpin muda apakah peranan mereka? Apa yang boleh mereka lakukan dan bagaimana mereka boleh mempelajari misalannya apa yang kita lakukan di Singapura ini?

“Bagaimana kita memupuk satu masyarakat yang bersepadu, yang unik walaupun berbilang kaum, berbilang agama, tapi berupaya mempunyai satu keharmonian di sini?” rumus Dr Maliki tentang pandangan para pemimpin muda di sesi tersebut.

Menurut Dr Maliki lagi, para peserta cuba mempelajari huraian-huraian kepada persoalan-persoalan tersebut dan apabila pulang ke negara-negara masing-masing, akan cuba melihat bagaimana mereka juga boleh memupuk keadaan sedemikian.

“Saya rasa yang penting juga adalah bagaimana para pemimpin belia kita (dari Singapura) juga dapat mempelajari daripada pengalaman negara-negara lain,” ujar Dr Maliki.

Dianjurkan oleh Sekolah Kajian Antarabangsa S. Rajaratnam (RSIS), program YLP itu menyediakan wadah bagi para pemimpin belia dari sektor, keagamaan, kemasyarakatan, awam dan korporat untuk bertukar-tukar idea dan berpeluang bergabung untuk memartabatkan perpaduan sosial dan pembangunan masyarakat. 

Sumber : BERITA Mediacorp/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan