Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

100% kohort IBDP pertama Madrasah Aljunied lulus dengan cemerlang; markah purata atasi prestasi global

Madrasah Aljunied Al-Islamiah merakamkan satu lagi detik bersejarah. Kesemua 25 pelajar pertamanya yang mengikuti Program Diploma International Baccalaureate (IB) lulus dengan cemerlang.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Madrasah Aljunied Al-Islamiah merakamkan satu lagi detik bersejarah. Kesemua 25 pelajar pertamanya yang mengikuti Program Diploma International Baccalaureate (IB) lulus dengan cemerlang.

Malah markah purata yang diraih adalah 34.8 mata - melepasi markah purata global (29.81) dan setara dengan markah purata pada peringkat serantau (34.83).

Dengan pencapaian luar biasa ini, pilihan bagi pengajian tinggi kohort IB pertama Madrasah Aljunied terbuka lebih luas. Ini kerana sijil IB juga boleh digunakan untuk memasuki kebanyakan universiti di merata dunia - termasuk universiti-universiti tempatan.

"Sebenarnya sasaran kami adalah untuk mencapai 100% kelulusan dengan purata 29 mata. Tapi masyaAllah, kami amat bangga kerana mereka dapat mencapai prestasi markah purata 34.8. Ini adalah jangkauan yang tidak kami fikirkan," kata mudirah Madrasah Aljunied, Cik Khairiana Zainal Abiden, yang sebak semasa berkongsi berita gembira itu.

SEPERTI APA LALUAN PENDIDIKAN BAGI PELAJAR IB MADRASAH?

Ini hakikatnya. Mengambil program diploma IB bukanlah mudah bagi para pelajar.

Mereka perlu mengikuti dua kurikulum berbeza secara serentak - sekitar enam subjek utama di bawah IB dan lagi lapan subjek ukhrawi. Jadi kesemuanya, ada lebih 14 subjek yang perlu diambil pelajar IB. 

Pada sisi lain, pelajar madrasah yang tidak mengikuti program IB, tidak belajar subjek-subjek sekular selepas menduduki Peperiksaan GCE 'O'. Ini kerana mereka akan fokus kepada mata pelajaran ukhrawi sebagai persiapan untuk melanjutkan pengajian di Universiti Al-Azhar.

Pelajar IB Madrasah pula tidak perlu mengambil Peperiksaan GCE 'O'. Sebaliknya, mereka perlu membuat persiapan bagi peperiksaan IB mahupun Aliyah pada peringkat posmenengah - sebelum dapat melangkah ke universiti.

Maka itu tidak hairanlah, program diploma IB hanya dibuka kepada pelajar cemerlang sahaja.

Bagi Madrasah Aljunied, kohort pertamanya dikenal pasti berdasarkan prestasi akademik akhir tahun Menengah 2.

PRESTASI KOHORT PERTAMA MADRASAH ALJUNIED

Perjalanan kohort pertama pelajar madrasah yang mengikuti program IB boleh dikatakan cukup mencabar.

Selain perlu bijak mengimbangi masa, mereka juga tidak ada 'senior' untuk bertanya-tanya di sekolah. Sukar untuk menjangkakan seperti apa peperiksaan IB ini.

Namun, para pelajar Madrasah Aljunied tidak sahaja mencatat keputusan membanggakan. Prestasi mereka dalam setiap subjek juga amat memberangsangkan.

25 pelajar IBDP Madrasah Aljunied mendapat keputusan mereka pada 4 Jan 2021. (Gambar: Afiqah Hussain) 

Bagi mata pelajaran politik global sahaja, 96 peratus mencapai Gred 5 dan ke atas. Keputusan pelajar dinilai menggunakan Gred 1-7 dengan 7 merupakan gred tertinggi.

"Kami rasa ini adalah pencapaian yang sangat-sangat baik kerana cabarannya kami tidak terjangkau," tambah Cik Khairiana.

ABDUL HAKAM MUNCUL ANTARA PELAJAR TERBAIK

Antara pelajar terbaik Madrasah Aljunied bagi IB kali ini adalah Abdul Hakam Nor Razak.

Ketua pelajar ini meraih 42 dari 45 mata bagi keputusan IB dan kini menaruh harapan untuk menceburi bidang sains selepas tamat pengajian di madrasah.

"Dari aspek kerjaya, keputusan ini membuka banyak pintu untuk saya. Banyak peluang bagi saya dan saya juga melihatnya dari aspek lebih luas, iaitu untuk madrasah saya dan generasi masa depan," ujar Hakam.

"Ia menjadi bukti bahawa kita mampu mempunyai keseimbangan dalam subjek-subjek akademik yang biasa dan juga subjek-subjek ukhrawi."

Lebih daripada itu, mengikuti dua kurikulum berbeza secara serentak memberi pendedahan luas kepada Hakam dan rakan-rakannya.

"Banyak aspek positif tapi yang saya paling suka adalah ia holistik. Semua ini membina diri saya. Dan saya amat menghargai pengalaman begini," tambah Hakam.

Abdul Hakam Nor Razak antara pelajar IB terbaik Madrasah Aljunied. 

Menurut pihak madrasah, Hakam yang dahulunya pendiam, kini juga memaparkan ciri-ciri seorang "pelajar IB" - iaitu dapat berfikiran kritikal dalam konteks luas.

TIDAK INGIN LEKA MESKI PRESTASI PELAJAR BAIK

Madrasah Aljunied kini mempunyai tiga kohort pelajar IB.

Kohort kedua yang akan menjadi kumpulan pelajar yang menduduki peperiksaan IB tahun ini, terdiri daripada 16 pelajar.

Ditanya jika ada penyesuaian yang ingin pihak madrasah jalankan selepas ini, Cik Khairiana ringkas menjawab: "Kita tidak boleh terlalu leka. Kita harus bekerja lebih keras."

Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Masagos Zulkifli.

Gambar fail.

Aturan mengikut dua kurikulum berbeza secara serentak diumumkan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Masagos Zulkifli, semasa perbahasan Jawatankuasa Peruntukan (COS) pada awal 2019.

"Ia bertujuan melengkapi asatizah masa depan dengan pengetahuan dan kemahiran yang lebih luas, demi membimbing masyarakat selanjutnya," kata Encik Masagos di Parlimen ketika itu.

Pendedahan seperti itu juga diharap dapat membangunkan para pelajar yang berpengetahuan agar dapat menjadi asatizah berkemahiran yang berupaya menangani cabaran-cabaran global yang pesat berubah-ubah. 

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan